Part 22
[31]
Dan sesiapa di
antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal
yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan
Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
[32]
Wahai isteri-isteri
Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu
tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja
(semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan
keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada
kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
[33]
Dan hendaklah kamu
tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang
dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang
serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya
Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak
menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai
"AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari
segala perkara yang keji).
[34]
Dan ingatlah (serta
amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan
hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus
tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[35]
Sesungguhnya
orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang
lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang
lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki
yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang
sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang
merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri
(kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang
perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta
orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan
orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang
perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi
mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
[36]
Dan tidaklah harus
bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan
RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus
mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan
sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia
telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
[37]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah
(dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya:
"Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil
engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan
engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak
engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis
kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau
dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk
berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak
angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu
menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap
berlaku.
[38]
Tidaklah ada
sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan perkara yang
telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan
Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu. Dan
(ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya.
[39]
(Nabi-nabi yang
telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka
takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun
melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang
dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).
[40]
Bukanlah Nabi
Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi
seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan
segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.
[41]
Wahai orang-orang
yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah
dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
[42]
Dan bertasbihlah
kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
[43]
Dia lah yang memberi
rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan
kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang
(iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada
orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).
[44]
Sambutan
penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah
ucapan "Salam" (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk
mereka pahala balasan yang mulia.
[45]
Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa
berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada
orang-orang yang ingkar).
[46]
Dan juga sebagai
penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq yang
diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi.
[47]
Dan (dengan itu)
sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa
sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.
[48]
Dan janganlah engkau
menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah engkau
hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara
keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).
[49]
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman,
kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu
berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan
masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada
mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
[50]
Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan
maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah
dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan
bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa
saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari
sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta
anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah
bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan
yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan
tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan
yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang
beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan
kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba
perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan
(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[51]
Engkau boleh
menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh
mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak
mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah
menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila
diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan
menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa
yang engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia
mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi
Maha Penyabar.
[52]
Tidak halal bagimu
berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang
ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri
yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali
hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa
Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
[53]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana
hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan
dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka
masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka
hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan
berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi
sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah
tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang
harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik
tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu
tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan
isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang
tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.
[54]
(Awasilah
keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu sembunyikan
dia, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.
[55]
Tidak ada salahnya
kepada perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi anggota yang
haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka, dan anak-anak
lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki
saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan
mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka, serta hamba-hamba yang dimiliki
oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah sentiasa
Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[56]
Sesungguhnya Allah
dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada
Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu
kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
[57]
Sesungguhnya
orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah
melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab
seksa yang menghina.
[58]
Dan orang-orang yang
mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang
perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan
sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul
kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.
[59]
Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai
perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[60]
Demi sesungguhnya,
jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam
hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu
tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan
mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran
denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,
[61]
serta mereka tetap
ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh
habis-habisan.
[62]
Yang demikian adalah
menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu;
dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi
"Sunnatullah" itu.
[63]
Manusia bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah:
"Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. "
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak
lama lagi.
[64]
Sesungguhnya Allah
telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang
marak menjulang, -
[65]
kekalah mereka di
dalamnya selama-lamanya; mereka pula tidak akan memperoleh sesiapapun yang akan
menjadi pelindung atau penolong.
[66]
Pada masa muka
mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya):
"Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah
serta taat kepada Rasul Allah.
[67]
Dan mereka berkata
lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak
ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan
yang benar.
[68]
"Wahai Tuhan
kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka
dengan laknat yang sebesar-besarnya!"
[69]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah
mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka
katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.
[70]
Wahai orang-orang
yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat -
benar (dalam segala perkara),
[71]
[72]
Sesungguhnya Kami
telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang
tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk
memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya)
sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah
suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut
dikerjakan.
[73]
(Dengan kesanggupan
manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang
lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang
lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah
akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang
perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Segala puji tertentu
bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada
di bumi, dan bagiNyalah juga segala puji di akhirat; dan Dia lah sahaja Yang
Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[2]
Ia mengetahui apa
yang masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya, dan apa yang turun dari
langit serta apa yang naik kepadanya; dan Dia lah jua yang Maha Mengasihani,
lagi Maha Pengampun.
[3]
Dan orang-orang yang
kafir berkata:" Hari kiamat itu tidak akan datang kepada kami".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang
mengetahui segala perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang
kepada kamu". Tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang seberat debu
yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu atau
yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.
[4]
(Kedatangan hari
kiamat itu) supaya Tuhan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh;
mereka itu akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
[5]
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami
sambil menyangka dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), - mereka itu akan
beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[6]
Dan orang-orang yang
diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa
keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari
kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.
[7]
Dan orang-orang yang
kafir pula berkata (sesama sendiri secara mengejek-ejek): "Mahukah, kami
tunjukkan kepada kamu seorang lelaki yang memberitakan kepada kamu: ` (Bahawa
apabila kamu dihancurkan sehancur-hanurnya sesudah mati), sesungguhnya kamu
akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian yang baru? '
[8]
"Adakah ia
berdusta terhadap Allah, atau ia kena penyakit gila?" (Tidak ada satupun)
bahkan orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat tetap beroleh (di
[9]
(Setelah mereka
mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang
ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi
(dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan
mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan
serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya
yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap
hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).
[10]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami
(sambil Kami berfirman): "Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap
tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah
bersama-sama dengannya)!" Dan juga telah melembutkan besi baginya;
[11]
(Serta Kami wahyukan
kepadanya): "Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah
jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu)
amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu
kerjakan".
[12]
Dan Kami kurniakan
kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi
perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang
perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan
baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk
bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang
menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api
neraka.
[13]
Golongan jin itu
membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang
tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti
kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami
perintahkan): "Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!"
Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.
[14]
Setelah Kami
tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada
mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan
tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu,
bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka
tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.
[15]
Demi sesungguhnya,
adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan
Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang
luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung
mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian
Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang
baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.
[16]
Maka mereka
berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan,
dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan
kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang
jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
[17]
Demikianlah Kami
membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak
menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.
[18]
Dan - di antara
tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri
Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami adakan
beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui
jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat
dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): "
Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam
dan siang, dalam keadaan yang aman".
[19]
(Maka kamakmuran dan
kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: "Wahai
Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan
yang lain)", dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu
Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta
kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang
tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap
seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.
[20]
Dan sesungguhnya
Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya,
kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada
hasutannya).
[21]
Dan sememangnya
tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk
menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang
benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu
terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap
sesuatu.
[22]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu
dakwakan sebagai tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat
debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian
(dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah
pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka".
[23]
Dan tidak berfaedah
syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka
orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh
perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut
dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan
bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan
kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan
kebenaran"; dan Dia lah jua Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
kekuasaanNya.
[24]
Bertanyalah (wahai
Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki
kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah
Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli
tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari
dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam
kesesatan yang jelas nyata ".
[25]
(Oleh itu)
katakanlah (wahyu Muhammad): "Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang
kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang
apa yang kamu kerjakan".
[26]
Katakanlah
lagi:" Tuhan kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat),
kemudian Ia akan menyelesaikan perselisihan yang ada di antara kita dengan
penyelesaian yang benar; dan Dia lah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang
Maha Mengetahui segala-galanya".
[27]
Katakanlah lagi:
"Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat ketuhanan yang ada pada makhluk-makhluk
yang kamu hubungkan dengan Allah sebagai sekutu-sekutuNya. Tidak ada pada
sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu, bahkan yang mempunyai sifat-sifat
ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
[28]
Dan tiadalah Kami
mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai
Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi
amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui (hakikat itu).
[29]
Dan mereka (yang
ingkar) bertanya: "Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika
betul kamu orang-orang yang benar?"
[30]
Jawablah (wahai
Muhammad): "Untuk kamu disediakan satu hari yang kamu tidak dapat
melambatkannya sesaat pun, dan tidak pula kamu dapat menyegerakannya".
[31]
Dan orang-orang yang
kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan
tidak juga kepada Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya". Dan
(sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa
berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh
antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada
orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): "Kalaulah tidak
kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi
orang yang beriman".
[32]
Orang-orang yang
sombong takbur itu menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah yang
telah menghalang kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang
kepada kamu? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri
sendiri menjadi orang-orang yang berdosa".
[33]
Dan berkata pula
orang-orang yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu:
"Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan
kamu memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur
kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam
sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan
Kami pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka
tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.
[34]
Dan Kami tidak
mengutus kepada sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran melainkan
orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata:
"Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan
membawanya".
[35]
Dan mereka berkata
lagi: "Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak
akan diseksa".
[36]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang
dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
[37]
Dan bukanlah harta
benda kamu dan tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami
walau sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka
mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka
telah kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga)
dengan aman sentosa.
[38]
Dan orang-orang yang
berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka
dapat melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan berada di dalam azab
seksa.
[39]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya;
dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah
jua sebaik-baik Pemberi rezeki".
[40]
Dan (ingatkanlah)
masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya
kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu
dahulu?"
[41]
Malaikat menjawab:
"Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang
kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada
hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada
kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula
percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan
dipatuhi)".
[42]
Maka pada hari ini,
masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada
kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya; dan Kami
katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu: "Rasalah
azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya".
[43]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah
mereka (sesama sendiri): "Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang
lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah
oleh datuk nenek kamu"; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain
hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka"; dan berkatalah orang-orang
yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: "ini tidak
lain hanyalah sihir yang terang nyata".
[44]
Dan (tidak ada
sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada
mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak
pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul
pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).
[45]
Dan (ketahuilah
bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya),
sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak: mencapai satu persepuluh (dari
kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri kepada umat-umat yang
terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan Rasul-rasulKu (mereka pun
dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya akibat
kemurkaanKu (menimpa mereka).
[46]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara
sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran
kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau
seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk
mengetahui salah benarnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad)
yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia
hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab
yang berat (di akhirat).
[47]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka
faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi upahku yang sebenar
hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap
sesuatu".
[48]
Katakanlah lagi:
"Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu (kepada Nabi-nabi pilihanNya)
dengan perkara yang benar; Ia sentiasa Mengetahui akan segala perkara yang
ghaib".
[49]
Katakanlah lagi:
"Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan
perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya
di akhirat".
[50]
Katakanlah lagi:
"Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri,
dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang
telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi
Maha Dekat".
[51]
Dan (sungguh ngeri)
jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu) ketika mereka
gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan
mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke
tempat azab).
[52]
Dan (pada ketika
itu) mereka berkata: "Kami sekarang beriman kepada kebenaran yang di bawa
oleh Nabi Muhammad (s.a.w)"; (apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka
dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?
[53]
Pada hal mereka
telah mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu melemparkan
tuduhan-tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh? (sudah tentu
salah).
[54]
Dan disekatlah di
antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana yang telah
dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang
lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang meragukan.
Faatir
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Segala puji tertentu
bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat
utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk
kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[2]
Apa jua jenis rahmat
yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat
menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang
dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
[3]
Wahai umat manusia,
kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama
sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia memberi rezeki kepada
kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela
dipalingkan (dari menyembahnya)?
[4]
Dan jika mereka
mendustakanmu (wahai Muhammad), maka sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu
sebelummu telah juga didustakan (oleh kaumnya masing-masing). Dan (Ingatlah),
kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
[5]
Wahai umat manusia,
sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu
diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar
penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu
kamu lalai dan menderhaka).
[6]
Sesungguhnya Syaitan
adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu
dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari
penduduk neraka.
[7]
Orang-orang yang
kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang-orang yang beriman serta beramal
soleh, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.
[8]
Maka (fikirkanlah)
adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia
memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang
menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya,
atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad)
kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
akan apa yang mereka kerjakan.
[9]
Dan Allah jualah
yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami
halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan
bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula
kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).
[10]
Sesiapa yang mahukan
kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah
Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya
segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan
ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik
(sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya).
Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat
kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat
mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.
[11]
Dan Allah
menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Ia
menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung
seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya
melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui
Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan
seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi.
Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.
[12]
Dan tidaklah sama
keadaan dua laut (sekalipun satu jenisnya), yang satu tawar lagi memuaskan
dahaga serta sesuai diminum, sementara yang satu lagi masin lagi pahit. Dan
(kedua-duanya itu berfaedah kepada kamu): dari tiap-tiap satunya kamu dapat
makan daging yang lembut - hidup-hidup, dan dapat pula kamu mengeluarkan
benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; (selain itu) engkau melihat pula
kapal-kapal membelah air belayar padanya; (diadakan semuanya itu) supaya kamu
dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah, dan supaya kamu bersyukur.
[13]
Allah jua yang
memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti),
dan Ia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari
keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan
semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang
mereka yang kamu sembah - yang lain dari Allah - tidak mempunyai sesuatu pun
walau senipis selaput biji kurma.
[14]
Kalau kamu memohon
kepada mereka (yang kamu sembah itu): mereka tidak mendengar permohonan kamu,
dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu
pohonkan itu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik
kamu. Dan (ingatlah) tidak ada yang dapat memberi tahu kepadamu (wahai
Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha
Mendalam PengetahuanNya.
[15]
(Oleh kerana Allah
menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa
berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang
Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[16]
Jika Ia mahu,
nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu.
[17]
Dan (perlaksanaan)
yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah.
[18]
Dan (ketahuilah),
seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika
seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk
menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun
daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya
sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan
kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak
dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka
mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang
dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya
sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.
[19]
Dan tidaklah sama
orang buat dengan orang yang melihat.
[20]
Dan tidaklah sama
gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang,
[21]
Dan tidaklah sama
suasana yang teduh dengan yang kencang panasnya.
[22]
Dan (Demikianlah
pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati.
Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan
sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta
menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang
yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).
[23]
Engkau tidak lain
hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.
[24]
Sesungguhnya Kami
mengutusmu dengan (Ugama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada
orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar);
dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu
seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.
[25]
Dan jika mereka
(yang kafir itu) mendustakanmu, (maka yang demikian itu tidaklah menjadi hal)
kerana sesungguhnya orang-orang yang terdahulu sebelum mereka telah juga
mendustakan (Rasul masing-masing), mereka telah didatangi Rasul-rasulnya dengan
membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat
pengajaran) serta Kitab-kitab (syariat) yang terang jelas.
[26]
Kemudian Aku
timpakan orang-orang kafir itu dengan azab yang membinasakan, maka
perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).
[27]
Tidakkah engkau
melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan
air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara
gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan
merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;
[28]
Dan demikian pula di
antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang
ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang
dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah
orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
[29]
Sesungguhnya
orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang
serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara
bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan
sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;
[30]
Supaya Allah
menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya
(akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).
[31]
Dan Al-Quran yang
Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang
tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi
Maha Melihat dan memerhatikan.
[32]
Kemudian Kami
jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan
hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya
sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang
bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain)
dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia
yang besar (dari Allah semata-mata).
[33]
(Balasan mereka
ialah) Syurga - syurga " Adn ", yang mereka akan masukinya; mereka
dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan
pakaian mereka di situ adalah dari sutera.
[34]
Dan (sebagai
bersyukur) berkatalah mereka: "Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah
menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha
Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada
orang-orang yang taat);
[35]
Tuhan yang telah
menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya
semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ
tidak akan merasa letih lesu".
[36]
Dan orang-orang yang
kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya
mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka
itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau
kufurnya.
[37]
Dan mereka
menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah
kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain
dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka):
"Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup
untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan
beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran
oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan
beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".
[38]
Sesungguhnya Allah
mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Ia mengetahui akan
segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
[39]
Dia lah yang
menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti; oleh itu
sesiapa yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya
sendiri; dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi
Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang yang kafir
itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.
[40]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan
makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah
selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah ciptakan dari
bahagian bumi ini?. Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan
Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Atau pernahkah Kami memberi
mereka sebuah Kitab (mengakui mereka menjadi kongsi Kami), maka (dengan itu
menjadilah) perkongsian mereka berdasarkan keterangan yang terdapat dari Kitab
itu? "(Tidak ada sesuatu alasan pun) bahkan orang-orang yang zalim itu,
terpedaya dengan kata-kata yang disebutkan oleh setengahnya kepada yang lain,
kata-kata yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.
[41]
Sesungguhnya Allah
menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan
dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak
maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian
selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
[42]
Dan mereka bersumpah
dengan nama Allah dengan sebebar-benar sumpahnya: demi sesungguhnya jika datang
kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, sudah tentu mereka akan
menjadi orang-orang yang lebih betul jalan ugamanya dari sebarang umat yang
lain. Setelah datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran,
(maka kedatangannya itu) hanya menyebabkan mereka bertambah liar dari
kebenaran,
[43]
Sambil bersikap
sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat
(terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan
orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang
mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana
yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak
sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah "
(undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati
sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu.
[44]
(Dan sebagai
buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara
di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir
yang terdahulu dari mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya dari
mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau
dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[45]
Dan kalaulah Allah
mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal
jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka
bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan
serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang
tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas
masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat
keadaan hamba-hambaNya.
Yaa Siin
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Yaa, Siin.
[2]
Demi Al-Quran yang
mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
[3]
Sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,
[4]
Yang tetap di atas
jalan yang lurus (ugama Islam).
[5]
Al-Quran itu,
diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
[6]
Supaya engkau
memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak
diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.
[7]
Demi sesungguhnya,
telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu
beriman.
[8]
Sesungguhnya Kami
jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai)
belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya
belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka
terdongak.
[9]
Dan Kami jadikan
(sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai)
sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan
kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang
menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada
hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak
dapat melihat (jalan yang benar).
[10]
Dan (dengan sebab
itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri
amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.
[11]
Sesungguhnya
peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang
engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut
(melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa
ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang
mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
[12]
Sesungguhnya Kami
menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah
kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan
(ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu
Suratan) yang jelas nyata.
[13]
Dan ceritakanlah
kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar
(yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
[14]
Ketika Kami mengutus
kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan
(kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `
Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.
[15]
Penduduk bandar itu
menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan
Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu
dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".
[16]
Rasul-rasul berkata:
Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus
kepada kamu,
[17]
"Dan tugas Kami
hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata".
[18]
Penduduk bandar itu
berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan
[19]
Rasul-rasul itu
menjawab: "Nahas dan
[20]
Dan (semasa
Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu
dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku!
Turutlah Rasul-rasul itu -
[21]
"Turutlah
orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka
adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
[22]
Dan (apabila
ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa
aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku
dan) kamu semua akan dikembalikan?
[23]
"Patutkah aku
menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut,
kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu
bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka
juga tidak dapat menyelamatkan daku.
[24]
"Sesungguhnya
aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam
kesesatan yang nyata.
[25]
"Sesungguhnya
aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.
[26]
(Setelah ia mati)
lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata;
"Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -
[27]
"Tentang perkara
yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari
orang-orang yang dimuliakan".