Part 7
[82]
Demi sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada
orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan
demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih
mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata:
"Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu,
disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan
kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
[83]
Dan apabila mereka
mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau
melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui
(melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata:
"Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci
Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi
saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[84]
"Dan tidak ada
sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang
sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya
Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang
soleh"
[85]
Lalu Allah
memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang
telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang
demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka
itulah ahli neraka.
[87]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah
dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa
yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melampaui batas.
[88]
Dan makanlah dari
rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan
bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira
salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk
bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang
sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah
memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu
(biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau
memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda
yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah
denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah
sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
[90]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan
mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji)
dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu
berjaya.
[91]
Sesungguhnya Syaitan
itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah
dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada
melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu
kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai
menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan
menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya
kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas
nyata.
[93]
Tidak ada dosa bagi
orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah
mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal
yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap
bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.
[94]
Wahai orang-orang
yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram)
dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan
(mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa
yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat orang.
Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab
yang tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu
sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja,
maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang
buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di
antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan
dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu
memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang
diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari
perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi
(kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa,
lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.
[96]
Dihalalkan bagi kamu
binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi
kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam
pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama
kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu
akan dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan
Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan
ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan
binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian
itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di
langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
[98]
Ketahuilah oleh
kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan
derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi
orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).
[99]
Tidak ada kewajipan
yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan
(perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu
lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
[100]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya
yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai
orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
[101]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang
jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya
mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu.
Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang
tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha
penyabar.
[102]
Sesungguhnya
perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh
suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab
pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).
[103]
Allah tidak
sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah dan
tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan
perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal
fikirannya
[104]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan
oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka
menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami
mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek
mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?
[105]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang
oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu
apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan
Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu
semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu
telah lakukan.
[106]
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia
mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di
antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan kamu, jika kamu
dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut.
Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan
mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan
nama Allah (dengan berkata: "Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah
kami untuk mendapat sesuatu harta benda, walaupun orang itu dari kaum kerabat,
dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi
(sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami
menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang
yang berdosa".
[107]
Kemudian jika didapati
bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan dosa (kerana berdusta
atau mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi saksi itu), maka hendaklah
dua orang yang lain menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati lebih
dekat, yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang sebenarnya),
kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata): "Demi
sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada persaksian kedua
saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami tidak melampaui batas, (kerana
jika kami berbuat demikian) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan
orang-orang yang zalim.
[108]
(Hukum-hukum dan
peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang lebih dekat untuk
mereka memberi keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau untuk
mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati)
sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu
bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan
(ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[109]
(Ingatlah) hari
(kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya:
"Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu,
ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?" Rasul-rasul itu menjawab:
"Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang
tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui
akan segala perkara yang ghaib"
[110]
(Ingatlah) ketika
Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan
kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau
dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan
sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan
hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika
engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau
tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah
ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan
(ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan
(ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika
engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat),
lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: "Bahawa ini hanyalah
sihir yang terang nyata"
[111]
Dan (ingatlah) ketika
Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa):
"Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab:
"Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang
Islam (yang menyerah diri kepada Allah)"
[112]
Dan (ingatlah)
ketika orang orang Hawariyyiin berkata: "Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah
kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari
langit?" Nabi Isa menjawab: "Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar
kamu orang-orang yang beriman".
[113]
Mereka berkata:
"Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat),
dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan
yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya
menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri"
[114]
Isa ibni Maryam (pun
berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah
kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi
kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang
kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan
kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau
jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".
[115]
Allah berfirman:
"Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu,
kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu),
maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku
seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk".
[116]
Dan (ingatlah)
ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata
kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? '
" Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak
bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada
mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa
yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu;
kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang
ghaib.
[117]
"Aku tidak
mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku
mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan
adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan
menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian
apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi
keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.
[118]
"Jika Engkau
menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya
mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka
sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
[119]
Allah berfirman:
"Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur
kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia.
Itulah kejayaan yang amat besar".
[120]
Allah jualah yang
menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua
yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Al An'aam
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Segala puji tertentu
bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam
pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.
[2]
Dia lah yang
menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu
ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk
dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih
ragu-ragu (tentang hari pembalasan).
[3]
Dan Dia lah Allah
(yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Ia mengetahui
apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Ia juga mengetahui apa
yang kamu usahakan.
[4]
Dan tidak ada
sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari
keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling
daripadanya (enggan menerimanya).
[5]
Sesungguhnya mereka
telah mendustakan kebenaran (Al-Quran) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh
itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang
mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana).
[6]
Tidakkah mereka
memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan
sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di
muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu,
dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan
sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan
sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?
[7]
Dan kalau Kami
turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas,
lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir
itu berkata: "Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata".
[8]
Dan mereka berkata:
"Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? " padahal kalau Kami
turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil
dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan
dengan bala bencana secara mengejut).
[9]
Dan kalau (Rasul)
itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki
(supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian)
menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran
(tentang kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[10]
Dan demi
sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang
yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang
mereka telah perolok-olokkan itu.
[11]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah
bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan
(Rasul-rasul) itu."
[12]
Bertanyalah (wahai
muhammad): "Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di
bumi?" Katakanlah: "(Semuanya itu) adalah milik Allah. Ia telah
menetapkan atas diriNya memberi rahmat. Demi sesungguhnya Ia akan menghimpunkan
kamu pada hari kiamat yang tidak ada sebarang syak padanya". Orang-orang
yang merugikan diri sendiri (dangan mensia-siakan pengurniaan Allah), maka
mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.
[13]
Dan bagi Allah
jualah apa yang ada pada waktu malam dan siang; dan Dia lah Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[14]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Patutkah aku mengambil (memilih) pelindung yang lain dari
Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan Ia pula yang memberi makan dan
bukan Ia yang diberi makan?" Katakanlah: "Sesungguhnya aku
diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri kepada
Allah (Islam), dan (aku diperintahkan dengan firmanNya): `Jangan sekali-kali
engkau menjadi dari golongan orang-orang musyrik itu. ' "
[15]
Katakanlah:
"Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan)
azab hari yang besar (hari kiamat)".
[16]
Sesiapa yang
dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesugguhnya Allah telah memberi
rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata.
[17]
Dan jika Allah
mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa
pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan
(melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[18]
Dan Dia lah yang
Berkuasa atas sekalian hambaNya (dangan tadbir dan takdir); dan Dia lah Yang
Maha Bijaksana serta Amat Mendalam PengetahuanNya.
[19]
Bertanyalah (wahai
Muhammad): "Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?" (Bagi
menjawabnya) katakanlah: "Allah menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan
diwahyukan kepadaku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada
kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Quran itu.
Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain
bersama-sama Allah?" Katakanlah: "Aku tidak mengakuinya". Katakanlah
lagi: "Hanyasanya Dia lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku
adalah berlepas diri apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wa
Jalla)".
[20]
Orang-orang (Yahudi
dan Nasrani) yang telah Kami berikan kitab kepada mereka, mereka mengenalinya
(Nabi Muhammad), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri.
Orang-orang yang merugikan diri sendiri (dengan mensia-siakan pengurniaan
Allah), maka mereka (dengan sebab yang tersebut) tidak beriman.
[21]
Dan siapakah lagi
yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta
terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya
orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.
[22]
Dan (ingatlah), hari
(kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman
kepada orang-orang musyrik: "Manakah orang-orang dan benda-benda yang
dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?"
[23]
Kemudian tidaklah
ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: "Demi
Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan
Allah (dengan sesuatu yang lain)".
[24]
Lihatlah bagaimana
mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya
dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.
[25]
Dan di antara mereka
ada yang mendengarkanmu (membaca Al-Quran), pada hal Kami telah jadikan tutupan
berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya,
dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak);
dan kalaupun mereka melihat tiap-tiap keterangan (dan mukjizat yang membuktikan
kebenaran Rasul), mereka tidak juga akan beriman kepada keterangan itu;
sehingga apabila mereka datang kepadamu, sambil membantahmu, berkatalah
orang-orang yang kafir itu: "Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng
orang-orang dahulu".
[26]
Dan mereka pula
melarang orang ramai dari mendengar Al-Quran dan mereka juga menjauhkan diri
daripadanya, padahal mereka (dengan perbuatan yang demikian) hanyalah
membinasakan diri sendiri (dengan bala bencana dan azab yang disediakan untuk
mereka di dunia dan di akhirat kelak), sedang mereka tidak menyedarinya.
[27]
Dan sungguh ngeri
jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya
yang tidak terperi), lalu mereka berkata: "Wahai kiranya kami dikembalikan
ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami,
dan menjadilah kami dari golongan yang beriman".
[28]
(Mereka mengatakan
yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada
mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan
ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka
dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.
[29]
Dan tentulah mereka
akan berkata pula: "Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di
dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati".
[30]
Dan sungguh ngeri
jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah
berfirman: "Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka
menjawab: "Benar, demi Tuhan kami!" Allah berfirman lagi: "Oleh
itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar".
[31]
Sesungguhnya telah
rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila
hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai
kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka
memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa
yang mereka pikul itu.
[32]
Dan tidak
(dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang
melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang
yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
[33]
Sesungguhnya Kami
mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (wahai
Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya
mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari
ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).
[34]
Dan demi
sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar
terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka,
sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada
sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan
demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita
Rasul-rasul itu.
[35]
Dan jika perbuatan
mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa
amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi
(untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya
engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau
sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas
hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah
engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.
[36]
Hanyasanya
orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu
menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula
(pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima
balasan.
[37]
Dan mereka (golongan
kafir musyrik) berkata: "Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad
satu mukjizat dari Tuhannya?" Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan mukjizat", akan tetapi
kebanyakan mereka tidak mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau
mereka enggan beriman).
[38]
Dan tidak seekor pun
binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan
kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan
sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan
dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
[39]
Dan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam
gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut
peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya atas
jalan yang betul lurus.
[40]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah,
atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari
Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?"
[41]
Bahkan Dia lah (Allah)
yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia
kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa
kamu ditimpa bahaya itu).
[42]
Dan demi
sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu
daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan
kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri
(serta insaf dan bertaubat).
[43]
Maka alangkah
eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan
bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka
keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada
(pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.
[44]
Kemudian apabila
mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan
kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila
mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada
mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang
membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang
pertolongan).
[45]
Lalu kaum yang zalim
itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah
kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): "Segala puji tertentu bagi
Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam".
[46]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran
serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan
selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?" Lihatlah
bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan
berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling - ingkar.
[47]
Katakanlah:"
Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba,
atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan
kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?".
[48]
Dan tiadalah Kami
utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa
amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan
berdukacita.
[49]
Dan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan
sebab mereka berlaku fasik.
[50]
Katakanlah (wahai
Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah
ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku
juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak
menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada
mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah
kamu mahu berfikir?"
[51]
Dan berilah amaran
dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan
dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi
mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya
mereka bertaqwa.
[52]
Dan janganlah engkau
usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang,
sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau
bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga
tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya)
engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.
[53]
Dan demikianlah Kami
uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang
fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir
miskin yang beriman): "Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat
oleh Allah kepada mereka di antara kami? " (Allah berfirman): "Bukankah
Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?"
[54]
Dan apabila
orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu
(dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah:
"Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi
diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di
antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia
bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
[55]
Dan demikianlah Kami
terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan
supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.
[56]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah
yang lain dari Allah". Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa
nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku
dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".
[57]
Katakanlah:
"Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan)
bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya.
Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah
jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik
yang memberi keputusan".
[58]
Katakanlah:
"Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta
disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang
berbangkit) antaraku dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan
orang-orang yang zalim".
[59]
Dan pada sisi Allah
jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang
mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat
dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan
tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan
yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz)
yang terang nyata.
[60]
Dan Dia lah yang
menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada
siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk
disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian
kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang
kamu lakukan.
[61]
Dan Dia lah yang
berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Ia mengutuskan kepada kamu
pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan),
sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu
diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula
(malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).
[62]
Kemudian mereka
(yang diambil nyawanya itu) dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang
sebenar (yang akan membalas dengan adil). Ketahuilah, bagi Allah jua lah kuasa
menetapkan hukum (pada hari kiamat itu), dan Dia lah secepat-cepat Pengira -
Penghitung.
[63]
Katakanlah:
"Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di
laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara
terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): "Demi sesungguhnya jika
Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang
yang bersyukur".
[64]
Katakanlah:
"Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala
jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan
sesuatu yang lain)".
[65]
Katakanlah:
"Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana),
dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu
bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian
daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain".
Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan
kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.
[66]
Dan kaum engkau
(wahai Muhammad) mendustakannya (Al-Quran), padahal ia adalah benar.
Katakanlah: "Aku bukanlah orang yang ditugaskan menjaga urusan kamu, (aku
hanya seorang Rasul yang menyampaikan perintah-perintah Allah kepada
kamu)".
[67]
Tiap-tiap khabar
berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau
dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.
[68]
Dan apabila engkau
melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek
ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal
yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama
mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu,
sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).
[69]
Dan tidaklah ada
tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa
orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang
Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.
[70]
Dan jauhkanlah diri
dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan
mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka)
dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus
(ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan
yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi
syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan
segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya.
Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab
apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas
yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka
kufur ingkar (semasa hidupnya).
[71]
Katakanlah:
"Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang
tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat
kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir
musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam),
seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat
yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat
yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): "Marilah
bersama-sama kami. "Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah
sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada
Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
[72]
Dan (diperintahkan):
Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan
yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).
[73]
Dan Dia lah yang
menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada
masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: "Jadilah", lalu
terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan
pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang
nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.
[74]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah
menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan
kaummu dalam kesesatan yang nyata".
[75]
Dan demikianlah Kami
perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di
bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan
sepenuh-penuh yakin.
[76]
Maka ketika ia
berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar),
lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu
terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam
hilang".
[77]
Kemudian apabila
dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah
Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi
sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya
menjadilah aku dari kaum yang sesat".
[78]
Kemudian apabila dia
melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia:
"Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia
berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa
yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
[79]
"Sesungguhnya
aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi,
sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang
menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".
[80]
Dan ia dibantah oleh
kaumnya, ia pun berkata: "Patutkah kamu membantahku mengenai Allah,
padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula
tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah,
kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan
Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil
pelajaran?
[81]
"Dan
bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang
tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah
sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan
kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih
berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?"
[82]
Orang-orang yang beriman
dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka
itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang
mendapat hidayah petunjuk.
[83]
Dan itulah hujah
(bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya.
Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki.
Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
[84]
Dan Kami telah
kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan
(cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk,
dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari
keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan
Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada
orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.
[85]
Dan (dari
keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas;
semuanya dari orang-orang yang soleh.
[86]
Dan (dari keturunannya
juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu
semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).
[87]
Dan (Kami juga
lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka,
dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah
pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
[88]
Yang demikian itu
ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari
hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)
nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal
yang baik).
[89]
Mereka itulah
orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu
pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu
mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain)
yang tidak akan mengingkarinya.
[90]
Mereka (Nabi-nabi)
itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu
(wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah
kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu
tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.
[91]
Dan tiadalah mereka
(kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya
ketika mereka berkata: "Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada
manusia". Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): "Siapakah
yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan
petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil
kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu
sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan
pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh
kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?" Katakanlah
(kepada mereka): "Allah jualah (yang menurunkannya)", kemudian,
biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.
[92]
Dan ini ialah Kitab
(Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah
dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan
sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk
"Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya;
dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada
Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.
[93]
Dan siapakah yang
lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah,
atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak
diberikan sesuatu wahyupunr kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan
menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri)
sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan
"sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat
pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil
berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari
tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina
(kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah
dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan
ayat-ayat keteranganNya".
[94]
Dan demi
sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan
bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan
di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak
melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa
mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah
putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada
kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).
[95]
Sesungguhnya Allah
jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji
(buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang
mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka
bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu
jadikan sekutuNya)?
[96]
Allah jualah Yang
membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam
untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu
(menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang
Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[97]
Dan Dia lah yang
menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam
kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan
tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.
[98]
Dan Dia lah yang
mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat
tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam
rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda
kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).
[99]
Dan Dia lah yang
menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala
jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang
menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang
bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami
keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami
jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan
(bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada
buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang
beriman.
[100]
Dan mereka
menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin
itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak
lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan.
Maha Suci Allah dan Maha
[101]
(Dia lah) yang
menciptakan langit dan bumi.
[102]
Yang demikian
(sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka
beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan
segala-galanya.
[103]
Ia tidak dapat
dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan
mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus
(melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam
pengetahuanNya.
[104]
(Katakanlah wahai
Muhammad): "Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan
(dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran
itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan
sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas
dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi
kamu".
[105]
Dan demikianlah Kami
menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk
menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu
dengan) berkata: "Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain)
", dan supaya kami menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang yang (mahu)
mengetahui.
[106]
Ikutlah apa yang
telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.
[107]
Dan kalau Allah
menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan
engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah
wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada
Allah semata-mata).
[108]
Dan janganlah kamu
cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak,
akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.
Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal
perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu
Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
[109]
Dan mereka pula
bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka
bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu
mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman
kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan
mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak
menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka
minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
[110]
Dan kami palingkan
hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu)
beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya,
dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.