Part 9
[88]
Ketua-ketua yang
sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya kami akan
mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi
pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama
kami". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang
demikian) sekalipun kami tidak menyukainya?
[89]
"Sesungguhnya
(bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada ugama kamu
sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah
kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya.
Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah
kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan
kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".
[90]
Dan berkatalah pula
Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai):
"Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang
demikian menjadilah orang-orang yang rugi".
[91]
Maka mereka
dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di
tempat masing-masing.
[92]
Orang-orang yang
mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami
negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang
yang rugi.
[93]
Kemudian Nabi Syuaib
meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah
menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi
nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang
kafir (yang telah binasa itu)".
[94]
Dan (Tuhan
berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang
didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan
(kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah
diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).
[95]
Setelah (mereka
tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka
kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya):
"Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan
kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)". Lalu Kami timpakan mereka
(dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.
[96]
Dan (Tuhan berfirman
lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami
akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya,
dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami
timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
[97]
Patutkah penduduk
negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab
Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
[98]
Atau patutkah
penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada
kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka
bermain-main?
[99]
Patutkah mereka
(bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab)
yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan
buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang
rugi.
[100]
Adakah (yang
demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi
negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa
kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab
disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga
mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?
[101]
Negeri-negeri (yang
telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya
kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka
Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah
itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya
dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.
[102]
Dan Kami tidak
mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak
mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.
[103]
Kemudian Kami
mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami
kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan
ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat
kerosakan.
[104]
Dan berkatalah Nabi
Musa: "Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan
sekalian alam.
[105]
"Sudah
semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.
Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari
Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku (ke Palestin).
[106]
Firaun menjawab:
"Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah
dia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang
benar".
[107]
Nabi Musa pun
mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang
jelas nyata.
[108]
Dan Nabi Musa
mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi
orang-orang yang melihatnya.
[109]
Berkatalah
Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang
ahli sihir yang mahir.
[110]
"Ia bertujuan
hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu". (Firaun bertanya): "Oleh
itu, apa yang kamu syorkan?"
[111]
Mereka berkata:
"Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman)
serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan
(ahli-ahli sihir);
[112]
"Yang kelak
akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir".
[113]
Dan datanglah
ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: "Sungguhkah kami akan
beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?"
[114]
Firaun menjawab:
"Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari
orang-orang yang damping (denganku)".
[115]
Mereka berkata:
"Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau
kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?"
[116]
Nabi Musa menjawab:
"Campakkanlah kamu (dahulu)!" Maka apabila mereka mencampakkan
(tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan
menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang
besar (keadaan dan caranya).
[117]
Dan Kami wahyukan
kepada Nabi Musa: "Campakkanlah tongkatmu!" Maka tiba-tiba tongkat
itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
[118]
Maka sabitlah
kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
[119]
Oleh itu, kalahlah
Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan
yang hina.
[120]
Dan (kemenangan Nabi
Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka
sujud,
[121]
Sambil berkata:
"Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
[122]
"(Iaitu) Tuhan
bagi Nabi Musa dan Nabi Harun".
[123]
Firaun berkata:
"Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu?
Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini
kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan
mengetahui (akibatya).
[124]
"Demi
sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, kemudian
aku akan memalang kamu semuanya".
[125]
Mereka menjawab:
"Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya
kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya).
[126]
"Dan tidaklah
engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami
beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami".
(Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami,
dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu)".
[127]
Dan berkatalah pula
Ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak
membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan
meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab:
"Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup
anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan)
mereka".
[128]
(Pengikut-pengikut
Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: "Mintalah pertolongan
kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya
kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik
adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".
[129]
Mereka berkata:
"Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang
kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami". Nabi Musa menjawab:
"Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu
khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan
kamu?"
[130]
Dan sesungguhnya
Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan
buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.
[131]
Kemudian apabila
datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha
kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan
malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan
berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di
tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[132]
Dan mereka berkata:
"Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa
kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami
tidak sekali-kali akan beriman kepadamu".
[133]
(Allah berfirman):
Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak,
dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga
tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.
[134]
Dan apabila azab
yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: "Wahai
Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi
yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul).
Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan
beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil
(pergi) bersamamu".
[135]
(Tuhan berfirman):
Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang
tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya
[136]
Maka Kami pun
membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut dengan sebab mereka
mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[137]
Dan Kami wariskan
kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi
(Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat
padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum
Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan
Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang
mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)
[138]
Dan Kami bawakan
Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum
yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka
(Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan
(berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa
menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
[139]
"Sesungguhnya
mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka
berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang
mereka kerjakan itu".
[140]
Nabi Musa berkata
lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Ia
telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan
berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?"
[141]
Dan (Tuhan
berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang
menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya; mereka
membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu;
dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari
Tuhan kamu.
[142]
Dan kami telah
janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh
malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu
sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan
berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima
Taurat): "Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah
(keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan
orang-orang yang melakukan kerosakan".
[143]
Dan ketika Nabi Musa
datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata
dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku!
Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat
melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup
melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di
tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya
"Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka)
"TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun
jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau
(wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama
beriman (pada zamanku)
[144]
Allah berfirman:
"Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada
pada zamanmu), dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu;
oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari
orang-orang yang bersyukur".
[145]
Dan Kami telah
menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis
nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan
hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan
bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang
sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu
akan negeri orang-orang yang fasik - derhaka".
[146]
Aku akan memalingkan
(hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang
benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka
(yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti),
mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa
kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui.
Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya
sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan
ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[147]
Dan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal
mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat)
melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat).
[148]
Dan kaum Nabi Musa,
sesudah ia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas
perhiasan mereka, (patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah
berfirman): "Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata
dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka
menjadikannya (berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang
yang melakukan kezaliman".
[149]
Dan setelah mereka
menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah
sesat, berkatalah mereka: "Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi
rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari
orang-orang yang rugi".
[150]
Dan apabila Nabi
Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia:
"Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa
kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?" Dan ia meletakkan
Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut)
kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata:
"Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan
nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu,
janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku,
dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang
zalim".
[151]
Nabi Musa berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan
masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha
Mengasihani dari segala yang lain mengasihani".
[152]
Sesungguhnya
orang-orang yang menyembah (patung) anak lembu itu, akan ditimpa kemurkaan dari
Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas
orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar.
[153]
Dan orang-orang yang
melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka)
sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[154]
Dan apabila
kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun mengambil Lauh-lauh Taurat itu yang dalam
naskhahnya terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang
bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada melanggar perintahNya).
[155]
Dan Nabi Musa
memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung
Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh
gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jika Engkau
kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini.
Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh
orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu
hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau
kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau
jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada
kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun.
[156]
"Dan
tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat,
sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman:
"AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu
meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang
bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada
ayat-ayat Kami.
[157]
"Iaitu
orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka
dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada
di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan
melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia
menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka
segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan
belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman
kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya)
yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[158]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah
kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi,
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan
mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi
yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah
dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".
[159]
Dan di antara kaum
Nabi Musa, ada satu golongan yang memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan
perkara-perkara yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
[160]
Dan kami
membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua belas suku, sebagai
golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya
meminta air kepadanya: "Pukulah batu itu dengan tongkatmu." Maka
terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka)
mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami
turunkan kepada mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami
berfirman): "Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada
kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka),
tetapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri.
[161]
Dan (ingatlah)
ketika dikatakan kepada mereka: "Tinggalah dalam bandar ini dan makanlah
dari makanannya apa sahaja yang kamu sukai, dan berdoalah dengan berkata: `
(Wahai Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami) ', dan masuklah melalui pintu
(bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa
kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi orang-orang yang berbuat
kebaikan".
[162]
Maka orang-orang
yang zalim di antara mereka menukarkan perintah itu dengan perkataan yang tidak
dikatakan kepada mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa
mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.
[163]
Dan bertanyalah
kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi
laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada
mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang
kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak
pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu)
kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
[164]
Dan (ingatlah)
ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang
Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat
berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat
itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya
mereka bertaqwa".
[165]
Maka ketika mereka
melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami
selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami
timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan
mereka berlaku fasik (derhaka).
[166]
Maka setelah mereka
berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang
mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang
hina".
[167]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan
kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan
menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan
kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksaNya,
dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[168]
Dan Kami
pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di
merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga
yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik
dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).
[169]
Maka mereka
kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab
(Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata:
"Akan diampunkan kelak dosa kami" Padahal jika datang kepada mereka
kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah
diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka
tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah
mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui
bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah
kamu mahu mengerti?
[170]
Dan orang-orang yang
berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya
Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki
(keadaan hidupnya).
[171]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika Kami mengangkat gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil)
seolah-olah gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa
gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman kepada mereka):
"Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab Taurat) yang telah Kami
berikan kepada kamu dan ingatlah (amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya,
supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa"
[172]
Dan (ingatlah wahai Muhammad)
ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang)
belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri,
(sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?"
Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi
saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak:
"Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat
tauhid) ini".
[173]
Atau supaya kamu
tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik
dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada
mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami
disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?"
[174]
Dan demikianlah Kami
menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala
kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran).
[175]
Dan bacakanlah
kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya
(pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya
terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya),
maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
[176]
Dan kalau Kami
kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan)
ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa
nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia
menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga
menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka
berfikir.
[177]
Amatlah buruknya
bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku
zalim kepada diri merela sendiri.
[178]
Sesiapa yang diberi
petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh
petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya)
maka merekalah orang-orang yang rugi.
[179]
Dan sesungguhnya
Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai
hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan
yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan
nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi;
mereka itulah orang-orang yang lalai.
[180]
Dan Allah mempunyai
nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan
menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari
kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan
mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
[181]
Dan di antara orang-orang
yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran,
dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
[182]
Dan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi
sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.
[183]
Dan Aku memberi
tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.
[184]
Patutkah mereka
(ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat
mereka (Muhammad) tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang
mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi
amaran yang jelas.
[185]
Patutkah mereka
(membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang
diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal
kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya
Kalamullah Al-Quran) itu mereka mahu beriman?
[186]
Sesiapa yang
disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang
akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba
(dengan bingung) dalam kesesatan mereka.
[187]
Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa
datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya
hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan
kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah
berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak
datang kepada kamu melainkan secara mengejut". Mereka bertanya kepadamu
seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya
pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui".
[188]
Katakanlah:
"Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat
menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui
perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya
benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa
kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran
(bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang
beriman".
[189]
Dia lah (Allah) yang
menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan
daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan
hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah
ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu
waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami
isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau
(wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi
orang-orang yang bersyukur".
[190]
Kemudian ketika
Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik (sebagaimana yang mereka
pohonkan), mereka berdua menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya
nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang
mereka sekutukan itu.
[191]
Patutkah mereka
sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun,
sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?
[192]
Dan benda-benda itu
tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
[193]
Dan jika kamu (hai
kaum musyrik) menyeru benda-benda itu untuk memperoleh petunjuk (daripadanya),
mereka tidak dapat menurut (menyampaikan hajat) kamu; sama sahaja bagi kamu,
sama ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.
[194]
Sesungguhnya
benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu.
Oleh itu, (cubalah) menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan
permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[195]
Adakah benda-benda
(yang kamu sembah) itu mempunyai kaki yang mereka dapat berjalan dengannya,
atau adakah mereka mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa)
dengannya, atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat melihat
dengannya, atau adakah mereka mempunyai telinga yang mereka dapat mendengar
dengannya? Katakanlah (wahai Muhammad): "Panggilah benda-benda yang kamu
jadikan sekutu Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku, serta
jangan pula kamu bertangguh lagi.
[196]
"Sesungguhnya
pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua
yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan"
[197]
Dan benda-benda yang
kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat
menolong dirinya sendiri.
[198]
Dan jika kamu
menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu untuk mendapat petunjuk
(daripadanya), mereka tidak dapat mendengarnya; dan engkau nampak benda-benda
itu memandangmu padahal mereka tidak melihat.
[199]
Terimalah apa yang
mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah
(jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).
[200]
Dan jika engkau
dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada
Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[201]
Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan
dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak
(jalan yang benar).
[202]
Sedang saudara
(pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan
kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat
lagi menyesatkan itu).
[203]
Dan apabila engkau
(wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu ayat Al-Quran (sebagaimana
yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): "Mengapa
engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu?" Katakanlah:
"Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku.
Al-Quran ini ialah panduan-panduan - yang membuka hati - dari Tuhan kamu, dan
petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman".
[204]
Dan apabila Al-Quran
itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat
ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
[205]
Dan sebutlah serta
ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan
takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada
waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
[206]
Sesungguhnya mereka
(malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada
beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua
mereka sujud.
Al-Anfaal
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Mereka bertanya kepadamu
(wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta
rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan
pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah
keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya,
jika betul kamu orang-orang yang beriman".
[2]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila
disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan
kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
[3]
Iaitu orang-orang
yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami
kurniakan kepada mereka.
[4]
Merekalah
orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat
pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah
kurnia yang mulia (di Syurga).
[5]
Sebagaimana (harta
rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu
(wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan
kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu
(sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).
[6]
Mereka membantahmu tentang
kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau
janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat
(sebab-sebabnya).
[7]
Dan (ingatlah)
ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi
untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan)
bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu
(menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama
Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir
seluruhnya;
[8]
Supaya Allah
menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik),
sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.
[9]
(Ingatlah) ketika
kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu
(dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu
(bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.
[10]
Dan Allah tidak
menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya
hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[11]
(Ingatlah) ketika
kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah
(untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada
kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari
kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan
dengannya tapak pendirian (kamu di
[12]
(Ingatlah) ketika
Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu
(memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku
akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu,
pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka"
[13]
(Perintah) yang
demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya; dan
sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat
azab seksaNya.
[14]
Itulah (azab dunia)
maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang yang kafir
disediakan baginya azab neraka (di akhirat).
[15]
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara
menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.
[16]
Dan sesiapa
berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu - kecuali ia bergerak ke
arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan
diri dengan pasukan yang lain - maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat
kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam
ialah seburuk-buruk tempat kembali.
[17]
Maka bukanlah kamu
yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan
mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau
melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan
orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan
pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[18]
Demikianlah (caranya
nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah sentiasa
melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.
[19]
Jika kamu (hai
orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar)
maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan
disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad,
s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali
(memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan
(angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu
sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana)
sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.
[20]
Wahai orang-orang
yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya,
sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).
[21]
Dan janganlah kamu
menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: "Kami
dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan
mematuhinya).
[22]
Sesungguhnya
sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah
orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan
akal fikirannya).
[23]
Dan kalaulah Allah
mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka dapat
mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan
keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan
diri.
[24]
Wahai orang-orang
yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia
menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan
ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara
seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan
dihimpunkan.
[25]
Dan jagalah diri
kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja
akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan
menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab
seksaNya.
[26]
Dan ingatlah ketika
kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang
menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan
diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari
rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.
[27]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan
(janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui
(salahnya).
[28]
Dan ketahuilah
bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan
sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[29]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu
(petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan
menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan
Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.
[30]
Dan ingatlah (wahai
Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya
terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka
menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah
sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.
[31]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami
telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata)
seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita
dongeng orang-orang dahulu kala".
[32]
Dan (ingatlah)
ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul
(Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu
dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi
sakitnya".
[33]
Dan Allah tidak
sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara
mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar
(meminta ampun).
[34]
Dan mengapa mereka
tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) dari
masjid Al-Haraam, padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya
(kerana mereka kafir musyrik)? Sebenarnya orang-orang yang berhak menguasainya
hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[35]
Dan tiadalah
sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk
tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab
kekufuran kamu.
[36]
Sesungguhnya orang-orang
kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari
jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang
dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka
dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam
neraka jahanam.
[37]
Kerana Allah hendak
membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang
beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya
yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka
Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.
[38]
Katakanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari
kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika
mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana
sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu
kala.
[39]
Dan perangilah
mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu
seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari
kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik)
kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.
[40]
Dan jika mereka
berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka
ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia lah sebaik-baik Pelindung dan
sebaik-baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).