Al-Anbiyaa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Telah hampir
datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam
kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.
[2]
Tidak datang kepada
mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu:
satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka
mempermain-mainkannya -
[3]
Dengan keadaan hati
mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang
zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: "Bukankah
(Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu
turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan
mengetahui karutnya?"
[4]
(Bagi menjawab
mereka, Nabi Muhammad) berkata: "Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan
(yang dilahirkan atau disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan di
bumi; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
[5]
(Mereka bukan sahaja
menyifatkan Al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata:
"Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara
yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. (Kalaulah
ia sebenarnya seorang Rasul) maka hendaklah ia membawa kepada kita satu
mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah
diutus dahulu".
[6]
Tidak ada penduduk
sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang telah beriman
kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang meminta
mukjizat itu mahu beriman?
[7]
Dan Kami tidak mengutus
Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami
wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada
AhluzZikri" jika kamu tidak mengetahui.
[8]
Dan Kami tidak
menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka
pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia).
[9]
Kemudian Kami tepati
janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka dan sesiapa yang Kami
kehendaki, dan (sebaliknya) Kami binasakan orang-orang yang melampaui batas.
[10]
Sesungguhnya Kami
telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara
yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak
memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?
[11]
Dan berapa banyak
Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk negeri yang melakukan
kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai
gantinya.
[12]
Maka ketika mereka
merasai (kedatangan) azab Kami, mereka dengan serta-merta lari keluar dari
negeri itu.
[13]
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Janganlah kamu lari, dan sebaliknya kembalilah kepada
kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat tinggal
kamu, supaya kamu dapat ditanya mengenai apa yang berlaku".
[14]
(Akhirnya) mereka
berkata: "Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang
berlaku zalim!"
[15]
Maka demikianlah
seterusnya jeritan dan keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur
lebur dan sunyi-sepi.
[16]
Dan (ingatlah)
tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya,
secara main-main.
[17]
Sekiranya Kami
hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari
sisi Kami; Kami tidak melakukannya.
[18]
Bahkan Kami sentiasa
mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka
dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa
kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).
[19]
Dan (ingatlah)
segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan
malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan
daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih.
[20]
Mereka beribadat
malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.
[21]
Adakah benda-benda
dari bumi yang mereka jadikan tuhan-tuhan itu, dapat menghidupkan semula
sesuatu yang mati?
[22]
Kalau ada di langit
dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.
Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan
yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
[23]
Ia tidak boleh
ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.
[24]
Patutkah mereka
menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah (wahai Muhammad):
"Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi
peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-umat
yang dahulu daripadaku". (Kaum musyrik tidak mempunyai sebarang
keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana yang benar dan mana
yang salah, dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar.
[25]
Dan Kami tidak
mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan
kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu".
[26]
Dan mereka (yang
musyrik) berkata: "(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak". Maha Sucilah
Ia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya
yang dimuliakan.
[27]
Mereka tidak
mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang
diperintahkanNya.
[28]
Allah mengetahui apa
yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang
mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan
bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada
ditimpa azabNya.
[29]
Dan (jika ada)
sesiapa di antara mereka berkata: "Sesungguhnya aku ialah tuhan selain
dari Allah", maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya
dengan (azab) neraka jahannam; demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
[30]
Dan tidakkah orang-orang
kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu
pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan
antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka
mengapa mereka tidak mahu beriman?
[31]
Dan Kami telah
menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak
menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan
lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan
jasmani.
[32]
Dan Kami telah
menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka
(yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang
ada padanya.
[33]
Dan Dia lah (Tuhan)
yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap
satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa
lepas).
[34]
Dan Kami tidak
menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka
kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup
selama-lamanya?
[35]
Tiap-tiap diri akan
merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai
cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.
[36]
Dan apabila orang-orang
kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan
itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama sendiri: "Inikah dia
orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu?" (Mereka berkata demikian) sedang
mereka sendiri kufur ingkar kepada Al-Quran yang mengandungi peringatan Allah
yang melimpah-limpah rahmatNya.
[37]
Jenis manusia
dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku (Allah) akan
perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka janganlah kamu meminta
disegerakan (kedatangannya).
[38]
Dan (kerana tabiat
terburu-burunya) mereka berkata: "Bilakah berlakunya janji azab itu, jika
betul kamu orang-orang yang berkata benar?".
[39]
Kalaulah orang-orang
kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika mereka tidak dapat
menahan atau mengelakkan api neraka dari muka dan belakang mereka, dan mereka
pula tidak diberi pertolongan, (tentulah mereka segera beriman, dan tidak
berkata demikian).
[40]
(Mereka tidak
diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada
mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak
akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat.
[41]
Dan demi
sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang
yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang
mereka telah perolok-olokkan itu.
[42]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu pada malam dan
siang daripada azab Tuhan yang bersifat Maha Pemurah?" (Mereka tidak
memikirkan yang demikian) bahkan mereka tetap berpaling ingkar dari pengajaran
Tuhan mereka.
[43]
Tidak ada bagi
mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi mereka dari azab Kami. Mereka yang
dipertuhankan itu tidak dapat menolong dirinya sendiri, dan tidak pula mereka
dibantu dengan pertolongan dari pihak Kami.
[44]
(Bukan benda-benda
yang dipertuhankan itu yang memberi kesenangan kepada mereka) bahkan Kami
biarkan mereka dan datuk-nenek mereka menikmati (kesenangan hidup) hingga berlanjutanlah
umur mereka (dalam keadaan yang menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini
mereka). Maka tidakkah mereka melihat bahawa kami datangi daerah bumi yang
mereka kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit dari
sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka adakah mereka yang akan
menang?
[45]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada kamu dengan
wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu orang-orang
yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi amaran, (maka
janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan amatlah berat).
[46]
Dan demi
sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit sahaja dari azab Tuhanmu, sudah
tentu mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami! Sebenarnya kami adalah
orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)!"
[47]
Dan (ingatlah) Kami
akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal
makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya
sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami
akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai
Penghitung.
[48]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Kitab (Taurat)
yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya
yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu
bertaqwa.
[49]
Iaitu mereka yang
takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang, dan mereka
pula gerun cemas akan (peristiwa-peristiwa yang mengerikan pada) hari kiamat.
[50]
Dan Al-Quran ini
juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan
keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?
[51]
Dan demi sesungguhnya,
Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam
bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.
[52]
Ketika ia berkata
kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu
bersungguh-sungguh memujanya?"
[53]
Mereka menjawab:
"Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya".
[54]
Ia berkata:
"Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang
nyata".
[55]
Mereka bertanya:
"Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang
Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?"
[56]
Ia menjawab:
"(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah
Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku
adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian
itu.
[57]
"Dan demi
Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu
pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".
[58]
Lalu ia memecahkan
semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar
(dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.
[59]
(Setelah melihat
kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang
demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang
yang zalim".
[60]
(Setengah dari)
mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim,
mencacinya".
[61]
(Ketua-ketua) mereka
berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka
menyaksikan (tindakan mengenainya).
[62]
(Setelah ia dibawa
ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada
tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?"
[63]
Ia menjawab:
"(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara
mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat
berkata-kata".
[64]
Maka mereka
(penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu
berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang
zalim".
[65]
Kemudian mereka terbalik
fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai
Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat
berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?"
[66]
Nabi Ibrahim
berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah
sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga
tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?
[67]
"Jijik
perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa
kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"
[68]
(Setelah tidak dapat
berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah
tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!"
[69]
Kami berfirman:
"Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!
".
[70]
Dan mereka (dengan
perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu
Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).
[71]
Dan Kami selamatkan
dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk
umat manusia.
[72]
Dan Kami kurniakan
kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya) sebagai tambahan; dan
tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang yang soleh.
[73]
Dan Kami jadikan
mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan
perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan
mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat
kepada Kami.
[74]
Dan kepada Nabi Lut,
Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu; dan Kami selamatkan dia dari bandar
yang penduduknya selalu melakukan perkara-perkara yang keji; sesungguhnya
mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka.
[75]
Dan Kami masukkan Nabi
Lut dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari
orang-orang yang soleh.
[76]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi
yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan
pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.
[77]
Dan Kami membelanya
dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya adalah mereka
kaum yang jahat; lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (sehingga mati lemas
dengan taufan).
[78]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum
mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu
malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.
[79]
Maka Kami beri Nabi
Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing
(dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan
Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi
Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.
[80]
Dan Kami mengajar
Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu
dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?
[81]
Dan (Kami mudahkan)
bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke
negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
[82]
Dan (Kami mudahkan)
sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan
kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada
melanggar perintahnya).
[83]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
"Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih
mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
[84]
Maka Kami
perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya,
serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya,
sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang
taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
[85]
Dan (demikianlah
pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari
orang-orang yang sabar.
[86]
Dan Kami masukkan
mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah
dari orang-orang yang soleh.
[87]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah,
yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan
atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru
dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan
(yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada
melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang
yang menganiaya diri sendiri".
[88]
Maka Kami kabulkan
permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya;
dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang
beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).
[89]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak
meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".
[90]
Maka Kami
perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami
perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya.
(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana)
sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan
sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka
pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.
[91]
Dan (sebutkanlah
peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami
tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai
satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat manusia.
[92]
Sesungguhnya ugama
Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu;
maka sembahlah kamu akan Daku.
[93]
(Kebanyakan manusia masih
berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan ugama mereka; (ingatlah) mereka
semuanya akan kembali kepada kami (untuk menerima balasan).
[94]
Dengan yang
demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman,
maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap
menulisnya.
[95]
Dan mustahil kepada
penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali
(kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak).
[96]
(Demikianlah keadaan
mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta
mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
[97]
Dan hampirlah
datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata
orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas):
"Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang
melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi
orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
[98]
Sesungguhnya kamu dan
apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang
dilimparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.
[99]
Kalaulah mereka
(yang kamu sembah) itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalam
neraka; dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah dan yang disembah) akan
kekal dalam neraka selama-lamanya.
[100]
Mereka mendayu-dayu
(kesakitan) di dalam neraka, dan mereka pula di situ tidak dapat mendengar
sesuatu yang menyenangkan.
[101]
Sesungguhnya orang-orang
yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka
dijauhkan dari neraka itu.
[102]
Mereka tidak
mendengar suara (julangan) api neraka itu, dan mereka akan kekal selama-lamanya
di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.
[103]
Huru-hara besar yang
amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak merunsingkan mereka, dan
(sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata:
"Inilah hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu
(di dunia) dahulu".
[104]
(Ingatlah) hari Kami
menggulung langit seperti menggulung lembaran
[105]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah
ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh
hamba-hambaKu yang soleh".
[106]
Sesungguhnya
Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang
(cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan berilmu).
[107]
Dan tiadalah Kami
mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi
sekalian alam.
[108]
Katakanlah: "Sesungguhnya
yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah
Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan
kepadaku?"
[109]
Sekiranya mereka
berpaling ingkar maka katakanlah: "Aku telah memberitahu kepada kamu (apa
yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama; dan
aku tidak mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran
kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.
[110]
Sesungguhnya Allah
mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia
mengetahui apa yang kamu sembunyikan (di dalam hati).
[111]
"Dan aku tidak
mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan kepada kamu itu)
jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan di
samping itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang
tertentu".
[112]
(Nabi Muhammad
merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di antara kami dengan
mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah Yang Melimpah-limpah rahmatNya
yang dipohonkan pertolonganNya terhadap apa yang kamu sifatkan itu".