Part 1
Al- Faatihah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2]
Segala puji tertentu
bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]
Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[4]
Yang
Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5]
Engkaulah
sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon
pertolongan.
[6]
Tunjukilah
kami jalan yang lurus.
[7]
Iaitu
jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan
(jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan)
orang-orang yang sesat.
Al- Baqarah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Kitab Al-Quran ini,
tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang
sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
[3]
Iaitu
orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan
(mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga orang-orang
yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai
Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka
yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
[5]
Mereka itulah yang
tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang
berjaya.
[6]
Sesungguhnya orang-orang
kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada
mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran,
mereka tidak akan beriman.
[7]
(Dengan
sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran
mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula
disediakan azab seksa yang amat besar.
[8]
Dan di antara
manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari
akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
[9]
Mereka
hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya
memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
[10]
Dalam hati mereka
(golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah
tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta
(dan mendustakan kebenaran).
[11]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di
muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya
kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
[12]
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya
membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
[13]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu
telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman
sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[14]
Dan apabila mereka
bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "
Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada
syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap
bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang
beriman)".
[15]
Allah
(membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan
mereka (yang melampaui batas itu).
[16]
Mereka
itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka
tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk
hidayah.
[17]
Perbandingan hal
mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba)
Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam
gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
[18]
Mereka
(seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak
dapat kembali (kepada kebenaran).
[19]
Atau
(bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit,
bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke
dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut
mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan)
Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.
[20]
Kilat
itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap
kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam
cahayanya.
Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan
bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya
dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[21]
Wahai sekalian
manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah
menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu
(menjadi orang-orang yang) bertaqwa.
[22]
Dia lah yang
menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala
isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air
hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi
Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan
Yang Maha Esa).
[23]
Dan kalau kamu ada
menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami
(Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan
Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu
selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
[24]
Maka kalau kamu
tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka
peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan
untuk orang-orang kafir.
[25]
Dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka
beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka
diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata:
"Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka
diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan
disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang
sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
[26]
Sesungguhnya Allah
tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti)
nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada
hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui
bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir
pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan
dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan
banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak
orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat
dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;
[27]
(Iaitu)
orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan,
dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah
orang-orang yang rugi.
[28]
Bagaimana kamu
tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir),
kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia
menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
[29]
Dia lah (Allah) yang
menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan
kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan
sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[30]
Dan
(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku
hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat
ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan
mensucikanMu?". Tuhan berfirman:
"Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
[31]
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda
dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman:
"Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan
yang benar".
[32]
Malaikat itu
menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan
selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami;
sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
[33]
Allah berfirman:
"Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua
kepada mereka". Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda
itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada
kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku
mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".
[34]
Dan (ingatlah)
ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada
Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan
yang kafir.
[35]
Dan kami berfirman:
"Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga,
dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan
janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim".
[36]
Setelah itu maka
Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka
dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami
berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada
sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi,
serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
[37]
Kemudian
Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat
yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah
yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
[38]
Kami berfirman lagi:
"Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika
datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang
diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya
tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita".
[39]
Dan
orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[40]
Wahai Bani Israil!
Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan
sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu
dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan
kepada sesuatu yang lain).
[41]
Dan berimanlah kamu
dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang
ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir
(ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai
harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada
Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
[42]
Dan janganlah kamu
campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang
benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
[43]
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu
semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
[44]
Patutkah kamu
menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan
diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu
berakal?
[45]
Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan
sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyuk;
[46]
(Iaitu) mereka yang
percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan
mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
[47]
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu,
dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat
dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
[48]
Dan peliharalah diri
kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat
melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak
diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang
tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan
diberi sebarang pertolongan.
[49]
Dan
(kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang
sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih
anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang
kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari
Tuhan kamu.
[50]
Dan (kenangkanlah)
ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari
angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun
bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
[51]
Dan (kenangkanlah)
ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu
sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).
[52]
Kemudian sesudah itu
kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
[53]
Dan
(kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan
keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang
benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
[54]
Dan (kenangkanlah)
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai
kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri
dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu
kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang
menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi
Maha Mengasihani".
[55]
Dan (kenangkanlah)
ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan
beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata
kepala kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu
semua melihatnya.
[56]
Kemudian
kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu),
supaya kamu bersyukur.
[57]
Dan Kami telah
menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di
[58]
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah
dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang
kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri);
dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami '; supaya
kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala
orang-orang yang berbuat baik".
[59]
Kemudian orang-orang
yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan
kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas
orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka
sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
[60]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman:
"Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), folalu
terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami
berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan
janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".
[61]
Dan (kenangkanlah)
ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan
makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari
sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang
dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu
mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?
Turunlah kamu ke bandar kerana di
[62]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora
(Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada
Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka
pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
[63]
Dan (ingatlah), ketika
Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di
atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat yang telah Kami
berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah
(jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.
[64]
Kemudian sesudah itu
kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka
kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu
(dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan
orang-orang yang rugi.
[65]
Dan sesungguhnya
kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu
yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka:
"Jadilah kamu kera yang hina".
[66]
Maka Kami jadikan
apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada
pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[67]
Dan (ingatlah),
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh
supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah
engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab:
"Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan
yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".
[68]
Mereka berkata pula:
"Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami
bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya
Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak
terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka
kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
[69]
Mereka berkata lagi:
"Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami
apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman:
Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi
menyukakan orang-orang yang melihatnya".
[70]
Mereka berkata lagi:
"Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami
lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu
kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan
mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".
[71]
Nabi Musa menjawab:
"Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu)
ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah
bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia
juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata:
"Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang
sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan
hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
[72]
Dan (ingatlah),
ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama
sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu
sembunyikan.
[73]
Maka Kami (Allah)
berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu
sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah
Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu
tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
[74]
Kemudian sesudah
itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.
Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai
daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar
mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana
takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu
kerjakan.
[75]
(Sesudah kamu -
wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang
Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman
kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada
satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka
mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka
mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
[76]
Dan apabila mereka
(orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang
beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila mereka
berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada
mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada
kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk
menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu?
Tidakkah kamu berakal?"
[77]
(Mereka berani
berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa
yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
[78]
Dan di antara mereka
pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab
Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan
mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
[79]
Kecelakaan besar
bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah
Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini
ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli
keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa
yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang
mereka usahakan itu.
[80]
Dan mereka berkata:
"Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa
hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah
mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi
janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu
mengetahuinya?"
[81]
(Apa yang kamu
katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia
diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka,
mereka kekal di dalamnya.
[82]
Dan orang-orang yang
beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
[83]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan
berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah
kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang
miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan
dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling
membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu;
dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.
[84]
Dan (ingatlah),
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah
kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu
usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu
telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi
saksi (yang mengakui kebenarannya).
[85]
Kemudian kamu ini
(wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu
puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu
(dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan
penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan,
kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu.
Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab
Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi
orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika
hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa
yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
kamu lakukan.
[86]
Mereka itulah
orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya)
dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam
kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari
kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
[87]
Dan sesungguhnya Kami
telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian
daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni
Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus
(Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul
membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu
(dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
[88]
Dan mereka (kaum
Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima
Islam)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah
melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar
mereka yang beriman.
[89]
Dan ketika datang
kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada
pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada
Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi
pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia
mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya;
maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar
itu.
[90]
Sejahat-jahat
perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya
sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana
dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa
yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w).
Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu,
dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
[91]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan
oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya
beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal
Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu membunuh
Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang
beriman?".
[92]
Dan sesungguhnya telah
datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian
kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan
itu) adalah orang-orang yang zalim.
[93]
Dan (ingatlah)
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit
Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah
ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan
mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami
menderhaka". Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah
mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman
kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman".
[94]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada kaum Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu telah
menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri
oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah
mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang
benar".
[95]
Dan sudah tentu
mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab
dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan
orang-orang yang zalim itu.
[96]
Demi sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada
hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi
loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia
boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat
melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
[97]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu
menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan
kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya),
serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang
beriman".
[98]
Sesiapa memusuhi
Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi
Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail,
(maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi
orang-orang kafir.
[99]
Dan sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas
nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang
yang fasik.
[100]
Patutkah (mereka
ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat
perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan
kebanyakan mereka tidak beriman.
[101]
Dan apabila datang
kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah
diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah
mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
[102]
Mereka
(membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan
oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi
Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah
yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua
malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua
tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan
berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu),
oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam
pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang
boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak
akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu
seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara
yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan
demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa
yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di
akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri
mereka, kalaulah mereka mengetahui.
[103]
Dan kalau sebenarnya
mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala);
sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka
mengetahui.
[104]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "raaina", (ketika kamu
berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna",
dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah,
bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.
[105]
Orang-orang kafir
dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya
diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu
Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
[106]
Apa sahaja ayat
keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau
tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang
sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu?
[107]
Tidakkah engkau mengetahui
bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan
tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat
memberi pertolongan.
[108]
Adakah kamu pula
hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh
kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka
sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.
[109]
Banyak di antara
Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan
kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri
mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w).
Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah
datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[110]
Dan dirikanlah oleh
kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari
kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi
Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
[111]
Dan mereka (Yahudi
dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan
orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah
angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari
keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu,
jika betul kamu orang-orang yang benar".
[112]
(Apa yang kamu
katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada
Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya,
maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan
(dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula
tidak akan berdukacita.
[113]
Dan orang-orang
Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan
(ugama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata:
"Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang
benar)"; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan
Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak
berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka
Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa
yang mereka berselisihan padanya.
[114]
Dan siapakah yang
lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan
masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan
ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang
demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan
rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan
itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di
akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
[115]
Dan Allah jualah
yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat
untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya
Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
[116]
Dan mereka
(orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci
Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala
yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
[117]
Allah jualah yang
menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia
berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya:
"Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.
[118]
Dan (orang-orang
musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: "Alangkah eloknya kalau
Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada
kami sesuatu keterangan (mukjizat)?" Demikian pula orang-orang (kafir) yang
terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati
mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami
telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti)
kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
[119]
Sesungguhnya Kami
telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi)
pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada
orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau
tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
[120]
Orang-orang Yahudi
dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai
Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).
Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam
itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan
kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah
(sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
[121]
Orang-orang yang Kami
berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar
bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang
yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah
orang-orang yang rugi.
[122]
Wahai Bani Israil,
kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku
telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain
(yang ada pada zamannya).
[123]
Dan peliharalah diri
kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat
mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima
daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang
syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab
sengsara).
[124]
Dan (ingatlah),
ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan
larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah
berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan)
bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya
Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku
(pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu
diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang
zalim."
[125]
Dan (ingatlah)
ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia
(untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam
Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan
Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid
Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf,
dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang
yang rukuk dan sujud".
[126]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah
(negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari
berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:"
(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan
beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia),
kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah)
seburuk-buruk tempat kembali".
[127]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas
(tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
[128]
"Wahai Tuhan
kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu,
dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri)
kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan
terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani;
[129]
"Wahai Tuhan
Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang
akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi
kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati
dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
[130]
Tidak ada orang yang
membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri,
kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan
sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh
yang (tertinggi martabatnya).
[131]
(Ingatlah) ketika
Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai
Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat)
kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
[132]
Dan Nabi Ibrahim pun
berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub
(berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya
Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu
mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
[133]
(Demikianlah wasiat
Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)!
Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada
anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka
menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan
Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami
berserah diri (dengan penuh iman)".
[134]
Mereka itu adalah
satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka
telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu
tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka
lakukan.
[135]
Dan mereka (kaum
Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau
pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah
(wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu
katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar
Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik".
[136]
Katakanlah (wahai
orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang
diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan
juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil),
dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak
membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi
dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri,
tunduk taat) kepada Allah semata-mata".
[137]
Maka kalau mereka
beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya),
maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling
(serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka
akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu
(janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan
umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
[138]
(Katakanlah wahai
orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya
ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak
Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap
percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
[139]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan
terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dia lah Tuhan
kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah)
amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas
kepadaNya;
[140]
"Atau patutkah
kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi
Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau
Nasrani, (padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau
ugama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang
lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang
menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah
kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
telah kamu lakukan.
[141]
Mereka itu adalah
satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah
mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu
tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah
lakukan.
Part 2
[142]
Orang-orang bodoh
(yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata:
"Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang
mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Timur
dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan
Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk
hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus".
[143]
Dan demikianlah
(sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu
(wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak
menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar
dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat
kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya
dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta
membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya)
dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk
diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk
hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada
orang-orang (yang beriman).
[144]
Kerap
kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit,
maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu
palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di
mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan
sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab,
mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang
benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan
apa yang mereka lakukan.
[145]
Dan demi
sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran
perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan
engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari
mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang
kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau,
jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
[146]
Orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya
(Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka
sendiri.
Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu,
sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).
[147]
Kebenaran
(yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu
(wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali
engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
[148]
Dan bagi tiap-tiap
umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah
kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap
akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan);
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[149]
Dan
dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah
mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat
ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak
sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
[150]
Dan
dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah
mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka
hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi
orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara
mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah
kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku
(semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya
kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).
[151]
(Nikmat berkiblatkan
Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami
mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang
membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan
syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta
Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.
[152]
Oleh itu ingatlah
kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas
kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
[153]
Wahai sekalian
orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)
dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah
menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
[154]
Dan janganlah kamu
mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah
itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan
hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
[155]
Demi sesungguhnya!
Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)
kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156]
(Iaitu) orang-orang
yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami
kembali."
[157]
Mereka
itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan
mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk
hidayahNya.
[158]
Sesungguhnya
"Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar
(lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah
atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia
bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang
bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi
balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.
[159]
Sesungguhnya
orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari
keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada
manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian
makhluk.
[160]
Kecuali orang-orang
yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku
terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani.
[161]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan
kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta
manusia sekaliannya.
[162]
Mereka kekal di
dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula
tidak diberikan tempoh atau perhatian.
[163]
Dan
Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain
dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[164]
Sesungguhnya pada
kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada)
kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat
kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit
lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia
biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada)
peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di
antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda
(yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan
rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
[165]
(Walaupun
demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk
menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya)
sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih
cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan
kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat
kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi
Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka
tidak melakukan kezaliman itu).
[166]
(Iaitu)
ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang
mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan
(ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.
[167]
Dan (pada masa yang
mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah
eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka
sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!"
Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang
mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.
[168]
Wahai sekalian
manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal
lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya
Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
[169]
Ia hanya menyuruh kamu melakukan
kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata
(dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).
[170]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh
Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa
yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka
menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula
mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
[171]
Dan
bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman
itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat
memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah
orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat
menggunakan akalnya.
[172]
Wahai orang-orang
yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang
halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika
betul kamu hanya beribadat kepadanya.
[173]
Sesungguhnya Allah
hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan
binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa
(memakannya kerana darurat) sedang ia tidak
mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan
itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[174]
Sesungguhnya
orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan
Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan
dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka
selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada
hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[175]
Mereka
itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama
Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan
mereka menanggung seksa api neraka itu.
[176]
(Segala
balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan
mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya
orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka
adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah
Allah).
[177]
Bukanlah perkara
kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi
kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan
segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang
akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak
yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan
kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan
mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan
orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan
ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa
kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang
benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang
yang bertaqwa.
[178]
Wahai orang-orang
yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan
yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka
dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.
Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak
yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si
pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan
sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan
dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah
itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
[179]
Dan di dalam hukuman
Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran,
supaya kamu bertaqwa.
[180]
Kamu diwajibkan,
apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada
meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum
kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu
kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.
[181]
Kemudian sesiapa
yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia
mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang
mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[182]
Tetapi sesiapa yang
mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa
(dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka
(waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka
tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[183]
Wahai orang-orang
yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[184]
(Puasa yang diwajibkan
itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit,
atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian
wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain;
dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan
sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih
dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun
demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau
kamu mengetahui.
[185]
(Masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu
yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir
maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang
ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu)
Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu
cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah
kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
[186]
Dan apabila
hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya
Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang
yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi
perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik
serta betul.
[187]
Dihalalkan bagi
kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu
pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu
mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat
kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah
isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi
kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya
siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian
sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);
dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di
masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah
kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan
ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
[188]
Dan janganlah kamu
makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan
yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah)
kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta
manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
[189]
Mereka
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran)
anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya
ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian
belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi
kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu)
itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu
berjaya."
[190]
Dan perangilah
kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan
orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan
memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang menceroboh.
[191]
Dan bunuhlah mereka
(musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah
mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa
angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah
kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi
kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ),
maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi
orang-orang yang kafir.
[192]
Kemudian
jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[193]
Dan perangilah
mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu
semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka
tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
[194]
(Mencabuli)
bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan
yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada
balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu
maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang
dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah:
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
[195]
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan
(dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan)
perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.
[196]
Dan
sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong
(dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu
bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah
kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai
(dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu
yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur
rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau
menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka
sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus
menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang
mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam),
maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari
lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari)
cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal
menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan
hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha
berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
[197]
(Masa untuk
mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang
termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah
mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh
mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar,
dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua
kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu
membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah
memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai
orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
[198]
Tidaklah menjadi
salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan
ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari
[199]
Selain dari itu
hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan
beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[200]
Kemudian apabila
kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu
menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu
dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan
yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan)
berkata: "Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia".
(orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun
kebaikan di akhirat.
[201]
Dan di antara mereka
pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami
kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab
neraka".
[202]
Mereka itulah yang
akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah
amat cepat hitunganNya.
[203]
Dan sebutlah kamu
akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang
tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada
hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan
(meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah)
bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan
ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.
[204]
Dan di antara
manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan
engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa)
Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang
yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
[205]
Kemudian apabila ia
pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan
bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang
ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
[206]
Dan apabila
dikatakan kepadanya: "Bertaqwalah engkau kepada Allah" timbulah
kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu
padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya,
(neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
[207]
Dan di antara
manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah
semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
[208]
Wahai orang-orang
yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala
hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya
Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[209]
Maka kalau kamu
tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu),
sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah
bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[210]
(Orang-orang yang
ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka
dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang
menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang
menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
[211]
Bertanyalah kepada
Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang telah Kami berikan kepada
mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan sesiapa menukar nikmat keterangan
Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai
kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab
seksaNya.
[212]
Kehidupan dunia (dan
kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan)
orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah
kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan
imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari
kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang
dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
[213]
Pada mulanya manusia
itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka
berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira
(kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran
(kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah
menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi
keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia
mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang
melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka
Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama
sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah
kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya.
Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
[214]
Adakah patut kamu
menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu
(ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan
serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga
berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah
(datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah
itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
[215]
Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada
siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu
belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan
anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam
perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan,
maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan
sebaik-baiknya).
[216]
Kamu diwajibkan
berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara
yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi
kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan
(ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak
mengetahuinya.
[217]
Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang
dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,
tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan
kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid
Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu)
adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah
itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang
dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga
mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan
yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari
ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang
yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di
akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya
(selama-lamanya).
[218]
Sesungguhnya orang-orang
yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah
(untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan
rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[219]
Mereka bertanya
kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada
keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa
keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu:
Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah -
apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan
kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
[220]
Mengenai
(urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu
(wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah:
"Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika
kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu
ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang
merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan
jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan
bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[221]
Dan janganlah kamu
berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman
(memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman
itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik
hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan
lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan
sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang
lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah
kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga
dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya
(keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat
mengambil pelajaran (daripadanya).
[222]
Dan mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid
itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab
itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan
isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri
mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah
bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah
kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,
dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
[223]
Isteri-isteri kamu
adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu
menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri
kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan
menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad)
kepada orang-orang yang beriman.
[224]
(Dan janganlah kamu
jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu
daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama
manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
[225]
Allah tidak mengira
kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah),
tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab
sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah).
Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[226]
Kepada orang-orang
yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh
empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[227]
Dan jika mereka
berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah
Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
[228]
Dan isteri-isteri
yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari
berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka
menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam
kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan)
isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak
berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang
ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak
dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu)
mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan
(ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[229]
Talak (yang boleh
dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan)
memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan
(menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil
balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri
yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat
menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa
kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah
mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri
untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah
aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang
melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[230]
Sesudah (diceraikan
dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak
halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.
Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka
mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali
(maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan
aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya
kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.
[231]
Dan apabila kamu
menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya
maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan
mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula
dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap
mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya
dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu
sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan
kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab
(Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan
bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
[232]
Dan apabila kamu
menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka janganlah
kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan
(bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju
sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah
diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi
kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik
untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
[233]
Dan ibu-ibu
hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang
yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi
makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah
diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan
seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan)
seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung
kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami
isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai
oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak
ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu
dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah,
sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.
[234]
Dan orang-orang yang
meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri
hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan
sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada
salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara
yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
[235]
Dan tidak ada
salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk
meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang
kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui
bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu
tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di
dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.
Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad
nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah
mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan
kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Penyabar.
[236]
Tidaklah kamu
bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan
isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum)
kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu
memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan
itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran
kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai
pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas
orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
[237]
Dan jika kamu
ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu
sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat
separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka
memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu
memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu
bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya
Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.
[238]
Peliharalah kamu
(kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu,
khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam
sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
[239]
Dan jika kamu takuti
(sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian
apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan
mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah
mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.
[240]
Dan orang-orang yang
(hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat
untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan
tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat
tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan
kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati)
mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari
perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[241]
Dan isteri-isteri
yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah pemberian saguhati) dengan cara yang
patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.
[242]
Demikianlah Allah
menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.
[243]
Tidakkah engkau
ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari
kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya?
Maka Allah berfirman kepada mereka:" Matilah kamu " kemudian Allah
menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya
kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
[244]
Dan berperanglah
kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran ugamaNya); dan
ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[245]
Siapakah orangnya
yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang
ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda
banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan
(pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
[246]
Tidakkah engkau
ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah
(wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka:
"Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang
(bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab:
"Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan
berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang
pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan
(dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka,
mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
[247]
Dan Nabi mereka pula
berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi
raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah
kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia
pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:"
Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya
kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan
(ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi
meliputi ilmuNya.
[248]
Dan Nabi mereka,
berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang
menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang
mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan
(berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi
Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa
kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul
kamu orang-orang yang beriman".
[249]
Kemudian apabila
Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah
akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang
meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai
airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu
cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum
juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari
mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai
itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari
ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula
orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak
(yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang
banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang
sabar".
[250]
Dan apabila mereka
(yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan
teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang
kafir"
[251]
Oleh sebab itu,
mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang
turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah
memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat
kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak
menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain
(yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah
sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
[252]
Itulah ayat-ayat
keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar;
dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan
oleh) Allah.
Part 1
Al- Faatihah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Dengan nama Allah,
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2]
Segala puji tertentu
bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3]
Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[4]
Yang Menguasai
pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5]
Engkaulah sahaja (Ya
Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6]
Tunjukilah kami
jalan yang lurus.
[7]
Iaitu jalan
orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan)
orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang
sesat.
Al- Baqarah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Kitab Al-Quran ini,
tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya);
ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
[3]
Iaitu orang-orang
yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan)
sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami
berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga orang-orang
yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai
Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka
yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
[5]
Mereka itulah yang
tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang
berjaya.
[6]
Sesungguhnya
orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama
ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak
akan beriman.
[7]
(Dengan sebab
keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran
mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula
disediakan azab seksa yang amat besar.
[8]
Dan di antara
manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari
akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
[9]
Mereka hendak
memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya
memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.
[10]
Dalam hati mereka
(golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka
Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan
mendustakan kebenaran).
[11]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di
muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya
membuat kebaikan".
[12]
Ketahuilah! Bahawa
sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana
dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.
[13]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu
telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman
sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya
merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
[14]
Dan apabila mereka
bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah
beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka,
mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya
kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
[15]
Allah (membalas)
memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang
melampaui batas itu).
[16]
Mereka itulah
orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah
beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.
[17]
Perbandingan hal
mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api;
apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya
(yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak
dapat melihat (sesuatu pun).
[18]
Mereka (seolah-olah
orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali
(kepada kebenaran).
[19]
Atau (bandingannya)
seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan
gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga
masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan
mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi
orang-orang yang kafir itu.
[20]
Kilat itu pula
hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali
kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam
cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu
dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya
pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[21]
Wahai sekalian
manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan
orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang
yang) bertaqwa.
[22]
Dia lah yang
menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala
isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air
hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi
Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan
Yang Maha Esa).
[23]
Dan kalau kamu ada
menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami
(Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan
Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu
selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
[24]
Maka kalau kamu
tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah
diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu
(berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
[25]
Dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka
beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka
diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata:
"Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka
diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan
disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang
sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
[26]
Sesungguhnya Allah
tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu
yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau
orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu
benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan
berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?"
(Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan
itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan
Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan
orang-orang yang fasik;
[27]
(Iaitu) orang-orang
yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan
memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula
membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang
rugi.
[28]
Bagaimana kamu
tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir),
kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia
menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
[29]
Dia lah (Allah) yang
menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan
kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan
sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[30]
Dan (ingatlah)
ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak
menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat
ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan
mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan
apa yang kamu tidak mengetahuinya".
[31]
Dan Ia telah
mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian
ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu
nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
[32]
Malaikat itu
menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan
selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah
yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
[33]
Allah berfirman:
"Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka".
Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah
berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku
mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu
nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?".
[34]
Dan (ingatlah)
ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada
Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
[35]
Dan kami berfirman:
"Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari
makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu
hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari
golongan orang-orang yang zalim".
[36]
Setelah itu maka
Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka
dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami
berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada
sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi,
serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".
[37]
Kemudian Nabi Adam
menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang
diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang
Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
[38]
Kami berfirman lagi:
"Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu
petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada
mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada
kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula
tidak akan berdukacita".
[39]
Dan orang-orang
kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka,
mereka kekal di dalamnya.
[40]
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah
kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah
perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu;
dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada
sesuatu yang lain).
[41]
Dan berimanlah kamu
dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang
ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir
(ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai
harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada
Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
[42]
Dan janganlah kamu
campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang
benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
[43]
Dan dirikanlah kamu
akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah)
bersama-sama orang-orang yang rukuk.
[44]
Patutkah kamu
menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu
sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
[45]
Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan
sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyuk;
[46]
(Iaitu) mereka yang
percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka
akan kembali kepadaNya.
[47]
Wahai Bani Israil!
Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan
(ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat
dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).
[48]
Dan peliharalah diri
kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat
melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak
diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang
tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
[49]
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa
menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak
lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang
demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
[50]
Dan (kenangkanlah)
ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari
angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun
bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
[51]
Dan (kenangkanlah)
ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah
ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu
menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim
(terhadap diri sendiri).
[52]
Kemudian sesudah itu
kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
[53]
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan
(yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah),
supaya kamu mendapat petunjuk.
[54]
Dan (kenangkanlah)
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu
telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak
lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu
bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang
menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah
Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".
[55]
Dan (kenangkanlah)
ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu
sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala
kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
[56]
Kemudian kami
bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu),
supaya kamu bersyukur.
[57]
Dan Kami telah
menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di
[58]
Dan (kenangkanlah)
ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah
dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang
kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri);
dan (mintalah ampun dengan) berkata: ' Ya Allah ampunilah dosa kami '; supaya
kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala
orang-orang yang berbuat baik".
[59]
Kemudian orang-orang
yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan
kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas
orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka
sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
[60]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman:
"Pukulah batu itu dengan tongkatmu", (ia pun memukulnya), folalu
terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami
berfirman): "Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan
janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi".
[61]
Dan (kenangkanlah)
ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan
makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari
sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang
dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu
mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik?
Turunlah kamu ke bandar kerana di
[62]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora
(Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada
Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka
pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
[63]
Dan (ingatlah),
ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung
Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): "Terimalah Taurat yang telah
Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan
ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.
[64]
Kemudian sesudah itu
kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka
kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu
(dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan
orang-orang yang rugi.
[65]
Dan sesungguhnya
kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu
yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka:
"Jadilah kamu kera yang hina".
[66]
Maka Kami jadikan
apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada
pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[67]
Dan (ingatlah),
ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh
supaya kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah
engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab:
"Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan
yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".
[68]
Mereka berkata pula:
"Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami
bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya
Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu
tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka
kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
[69]
Mereka berkata lagi:
"Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami
apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman:
Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi
menyukakan orang-orang yang melihatnya".
[70]
Mereka berkata lagi:
"Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami
lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu
kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan
mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".
[71]
Nabi Musa menjawab:
"Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu)
ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah
bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia
juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata:
"Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang
sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan
hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
[72]
Dan (ingatlah),
ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama
sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu
sembunyikan.
[73]
Maka Kami (Allah)
berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu
sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah
Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu
tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
[74]
Kemudian sesudah
itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.
Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai
daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar
mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana
takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu
kerjakan.
[75]
(Sesudah kamu -
wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati
orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan
beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah
ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka
mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka
mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
[76]
Dan apabila mereka
(orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang
beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila mereka
berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada
mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada
kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk
menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu?
Tidakkah kamu berakal?"
[77]
(Mereka berani
berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa
yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?
[78]
Dan di antara mereka
pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat
selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka
hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
[79]
Kecelakaan besar
bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah
Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini
ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli
keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa
yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang
mereka usahakan itu.
[80]
Dan mereka berkata:
"Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa
hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah
mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi
janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu
mengetahuinya?"
[81]
(Apa yang kamu
katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia
diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka,
mereka kekal di dalamnya.
[82]
Dan orang-orang yang
beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
[83]
Dan (ingatlah wahai Muhammad),
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman):
"Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada
kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang
miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan
dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling
membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu;
dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.
[84]
Dan (ingatlah),
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah
kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu
usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu
telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi
saksi (yang mengakui kebenarannya).
[85]
Kemudian kamu ini
(wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu
puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu
(dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan
penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan,
kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu.
Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab
Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi
orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika
hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa
yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
kamu lakukan.
[86]
Mereka itulah
orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya)
dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam
kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari
kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
[87]
Dan sesungguhnya
Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian
daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni
Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus
(Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul
membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu
(dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
[88]
Dan mereka (kaum
Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima
Islam)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah
melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar
mereka yang beriman.
[89]
Dan ketika datang
kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada
pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada
Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa
Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui
kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan
yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.
[90]
Sejahat-jahat
perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya
sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana
dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa
yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w).
Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu,
dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
[91]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan
oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)", mereka menjawab: "Kami hanya
beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal
Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian mengapa kamu membunuh
Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang
beriman?".
[92]
Dan sesungguhnya
telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat)
kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan
perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
[93]
Dan (ingatlah)
ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit
Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): "Ambilah (dan amalkanlah
ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan
mematuhinya)". Mereka menjawab: "Kami dengar, dan kami
menderhaka". Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah
mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad):" Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman
kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman".
[94]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada kaum Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu telah
menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri
oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah
mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang
benar".
[95]
Dan sudah tentu
mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab
dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan
orang-orang yang zalim itu.
[96]
Demi sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada
hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi
loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia
boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat
melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.
[97]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu
menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan
kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta
menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang
beriman".
[98]
Sesiapa memusuhi
Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi
Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka
ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi
orang-orang kafir.
[99]
Dan sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas
nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang
yang fasik.
[100]
Patutkah (mereka
ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat
perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan
kebanyakan mereka tidak beriman.
[101]
Dan apabila datang
kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah
diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah
mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
[102]
Mereka
(membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan
oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi
Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah
yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua
malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua
tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan
berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu),
oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam
pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang
boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak
akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu
seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari
perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka.
Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa
sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik
di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri
mereka, kalaulah mereka mengetahui.
[103]
Dan kalau sebenarnya
mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala);
sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka
mengetahui.
[104]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "raaina", (ketika kamu
berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna",
dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan
(ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[105]
Orang-orang kafir
dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya
diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu Padahal
Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah
(jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
[106]
Apa sahaja ayat
keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau
tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang
sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu?
[107]
Tidakkah engkau
mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi?
Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang
dapat memberi pertolongan.
[108]
Adakah kamu pula
hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh
kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka
sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.
[109]
Banyak di antara
Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat
mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang
timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi
Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka),
sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[110]
Dan dirikanlah oleh
kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari
kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi
Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
[111]
Dan mereka (Yahudi
dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan
orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah
angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari
keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu,
jika betul kamu orang-orang yang benar".
[112]
(Apa yang kamu
katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada
Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya,
maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan
(dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula
tidak akan berdukacita.
[113]
Dan orang-orang
Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan
(ugama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata:
"Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang
benar)"; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan
Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak
berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka
Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa
yang mereka berselisihan padanya.
[114]
Dan siapakah yang
lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan
masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan
ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang
demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan
rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan
itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di
akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
[115]
Dan Allah jualah
yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat
untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya
Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
[116]
Dan mereka
(orang-orang musyrik) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci
Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala
yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
[117]
Allah jualah yang
menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia
berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya:
"Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia.
[118]
Dan (orang-orang
musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: "Alangkah eloknya kalau
Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada
kami sesuatu keterangan (mukjizat)?" Demikian pula orang-orang (kafir)
yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka;
hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami
telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti)
kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
[119]
Sesungguhnya Kami
telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi)
pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran
(kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu),
engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
[120]
Orang-orang Yahudi
dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai
Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).
Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah
petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak
hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu
(tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun)
yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
[121]
Orang-orang yang
Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar
bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang
yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah
orang-orang yang rugi.
[122]
Wahai Bani Israil,
kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku
telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain
(yang ada pada zamannya).
[123]
Dan peliharalah diri
kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat
mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima
daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang
syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab
sengsara).
[124]
Dan (ingatlah),
ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan
larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah
berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan)
bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya
Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku
(pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu
diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang
zalim."
[125]
Dan (ingatlah)
ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia
(untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam
Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan
Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid
Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf,
dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang
yang rukuk dan sujud".
[126]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah
(negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai
jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:"
(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan
beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia),
kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah)
seburuk-buruk tempat kembali".
[127]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas
(tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
[128]
"Wahai Tuhan
kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu,
dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri)
kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan
terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;
[129]
"Wahai Tuhan
Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang
akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi
kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati
dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
[130]
Tidak ada orang yang
membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri,
kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan
sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh
yang (tertinggi martabatnya).
[131]
(Ingatlah) ketika
Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai
Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat)
kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
[132]
Dan Nabi Ibrahim pun
berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub
(berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya
Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu
mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
[133]
(Demikianlah wasiat Nabi
Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu
tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada
anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka
menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan
Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami
berserah diri (dengan penuh iman)".
[134]
Mereka itu adalah
satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka
telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu
tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka
lakukan.
[135]
Dan mereka (kaum
Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau
pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah
(wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu
katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar
Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik".
[136]
Katakanlah (wahai
orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang
diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan
juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil),
dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak
membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi
dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri,
tunduk taat) kepada Allah semata-mata".
[137]
Maka kalau mereka
beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya),
maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling
(serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka
akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu
(janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan
umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
[138]
(Katakanlah wahai
orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya
ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak
Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap
percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
[139]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan
terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dia lah Tuhan
kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah)
amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas
kepadaNya;
[140]
"Atau patutkah kamu
mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi
Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau
Nasrani, (padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau
ugama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang
lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang
menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah
kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang
telah kamu lakukan.
[141]
Mereka itu adalah
satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah
mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu
tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah
lakukan.
Part 3
[253]
Rasul-rasul Kami
lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan
kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah
berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka
beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa
keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus
(Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian
daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka
bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang
yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak
berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.
[254]
Wahai orang-orang
yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada
kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak
ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan
syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.
[255]
Allah, tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal
selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan
tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada
sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan
izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di
belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan)
ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya
Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah
menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah
Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
[256]
Tidak ada paksaan
dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari
kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula
beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan
(tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
[257]
Allah Pelindung
(Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka
dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir,
penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya
(iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya.
[258]
Tidakkah engkau
(pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi
Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang
itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang
menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh
menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya
Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari
barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan
(ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.
[259]
Atau (tidakkah
engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah
negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana
Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak
binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah)
selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya
kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab:
"Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah
berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan
demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan
minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada
keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah
untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan
lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali
kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas
kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya
(dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[260]
Dan (ingatlah)
ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku!
Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang
mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada
kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan
yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku
(yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian),
ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah
semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian
daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang
kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
[261]
Bandingan (derma)
orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti
sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula
mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala
bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi
Meliputi ilmu pengetahuanNya.
[262]
Orang-orang yang
membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak
mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit
(pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi),
mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita.
[263]
(Menolak
peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka)
adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan
atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi
Maha Penyabar.
[264]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan
membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal
sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada
manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka
bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak
bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu)
mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan.
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
[265]
Dan bandingan
orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan
kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka,
adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,
lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat
maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
[266]
Adakah seseorang di
antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur,
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu
segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu
yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api
sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu
keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
[267]
Wahai orang-orang
yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu
yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk
kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu
dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak
sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu),
kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha
Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[268]
Syaitan itu
menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu
bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji
(bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan
daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah
rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[269]
Allah memberikan
Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka
sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat
mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan
akal fikirannya.
[270]
Dan (ketahuilah),
apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan
maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim
itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
[271]
Kalau kamu zahirkan
sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana
menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu
serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi
kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan
kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu
lakukan.
[272]
Tidaklah engkau
diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk
(kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang
memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya
(menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu
belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri
kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana
menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal,
akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu
pula) tidak dikurangkan.
[273]
Pemberian sedekah
itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan
menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak
berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu
disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka
menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat)
sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai
dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari
harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.
[274]
Orang-orang yang
membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara
sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak
ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka,
serta mereka pula tidak akan berdukacita.
[275]
Orang-orang yang
memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti
berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan
(Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa
sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah
menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa
yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia
berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum
pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada
Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka
itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[276]
Allah susutkan
(kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan
(berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak
suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu
melakukan dosa.
[277]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta
memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.
[278]
Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi)
saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu
orang- orang yang beriman.
[279]
Oleh itu, kalau kamu
tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah
kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak
menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya)
ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim
kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
[280]
Dan jika orang yang
berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga
ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu
(kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang
besar yang kamu akan dapati kelak).
[281]
Dan peliharalah diri
kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada
Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang
telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
[282]
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang
yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu
menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di
antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis
enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia
menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang
itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan
janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang
berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan
(isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan
hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian
kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua
orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika
yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat
diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila
mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang
yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian
itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan
saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali
perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka
tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu
berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan
kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian
adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar
kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[283]
Dan jika kamu berada
dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang
kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk
dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang
percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang
gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu
menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia
bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang
menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa yang
menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
[284]
Segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan
apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan
menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa
yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[285]
Rasulullah telah
beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga
orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan
Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata):
"Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain
Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami
pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat
kembali".
[286]
Allah tidak
memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala
kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai
Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat
sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang
kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah
dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu,
tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
A-li 'Imraan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Allah tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal
selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
[3]
Ia menurunkan
kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang
mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan
Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
[4]
Sebelum (Al-Quran
diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan
Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka
azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak
membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
[5]
Sesungguhnya Allah
tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di
langit.
[6]
Dia lah yang
membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya.
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[7]
Dia lah yang
menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari
Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata
maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok)
isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat"
(yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang
berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada
dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa
yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya
(memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang
mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan
orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu
ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi
Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan
orang-orang yang berfikiran.
[8]
(Mereka berdoa
dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah
rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah
pemberianNya.
[9]
"Wahai Tuhan
kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk
(menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak
padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
[10]
Sebenarnya harta
benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan
menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah
bahan bakaran api neraka.
[11]
(Keadaan orang-orang
kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu
dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa
mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab
seksaNya.
[12]
Katakanlah (wahai Muhammad)
kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan
akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat yang disediakan".
[13]
Sesungguhnya telah
ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah
bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada
jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari
golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan
pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan
Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan
pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang
memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).
[14]
Dihiaskan (dan
dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini
nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak
bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi
terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu
ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat
kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
[15]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik
daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi
Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka
kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci
bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah
sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
[16]
(Iaitu) orang-orang
yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah
beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab
neraka";
[17]
(Dan juga)
orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang
benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan
perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan
Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.
[18]
Allah menerangkan
(kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam)
dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui
dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya ugama
(yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan
enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah
tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki
yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan
ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya.
[20]
Oleh sebab itu jika
mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah:
"Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang
mengikutku". Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi
dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang "Ummi"
(orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama
Islam yang aku bawa itu)?" Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka
sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak
mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan
(dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku)
sekalian hambaNya.
[21]
Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh
Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang
menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan
mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22]
Mereka itulah
orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan
mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
[23]
Tidakkah engkau
pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang
telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah
supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di
antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak
(seruan dan hukum Kitab Allah itu).
[24]
Yang demikian ialah
disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-kali akan
disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh
dihitung". Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh
dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
[25]
Oleh itu, bagaimana
pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang
tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap
seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak
akan dianiaya.
[26]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang
memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah
yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah
juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina
sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[27]
"Engkaulah
(wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah
yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang
mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang
mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang
memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan
hisabnya".
[28]
Janganlah
orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan
meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan)
yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu
apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti
dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu
beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah
jualah tempat kembali.
[29]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu
melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[30]
(Ingatlah) hari
(kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang
telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya);
dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu
tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya
dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat
terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat
belas kasihan kepada hamba-hambaNya.
[31]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya
Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[32]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling
(menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.
[33]
Sesungguhnya Allah
telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan
keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).
[34]
(Mereka kembang biak
sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang
lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
[35]
(Ingatlah) ketika
isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak
yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia
untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya
Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
[36]
Maka apabila ia
melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah
melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak
lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan
memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku
telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian
juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan
disingkirkan)".
[37]
Maka ia (Maryam yang
dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan
dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara
oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di
Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi
Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan)
ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah
memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".
[38]
Ketika itu Nabi
Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah
kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa
Mendengar (menerima) doa permohonan".
[39]
Lalu ia diseru oleh
malaikat sedang ia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya
Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak
lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan
menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi
seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".
[40]
Nabi Zakaria
berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak,
padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah
berfirman: "Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang
dikehendakiNya".
[41]
Nabi Zakaria berkata
lagi: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan
isteriku mengandung)". Allah berfirman: "Tandamu itu ialah engkau
tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam)
melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir)
banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang),
pada waktu malam dan pada waktu pagi".
[42]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah
memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
[43]
"Wahai Maryam!
Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang)
bersama-sama orang-orang yang rukuk ".
[44]
Peristiwa yang
demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu
(wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka
yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada
bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan
memelihara Maryam).
[45]
(Ingatlah) ketika
malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan
semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni
Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari
orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).
[46]
"Dan ia akan
berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa
ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh."
[47]
Maryam
berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak,
padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah
berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya;
apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman
kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."
[48]
Dan Allah akan
mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan
kitab-kitab Taurat dan Injil.
[49]
Dan (akan
melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan
kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa
satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari
tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia
seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan
orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali
orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada
kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.
Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda
(mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang
diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
[50]
"Dan juga (aku
datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang
diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari
perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada
kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu
kepada Allah dan taatlah kepadaku.
[51]
"Sesungguhnya
Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya.
Inilah jalan yang lurus".
[52]
Maka ketika Nabi Isa
merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum
Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku)
kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang
"Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah
penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan
saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang
berserah bulat-bulat kepada Allah).
[53]
"Wahai Tuhan
kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami
mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi
saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)".
[54]
Dan orang-orang
(Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa),
dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak
yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
[55]
(Ingatlah) ketika
Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan
sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari
orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu
mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari
kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum
(memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan".
[56]
Adapun orang-orang
kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di
dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat
menolong.
[57]
Adapun orang-orang
yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan
pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[58]
Demikianlah (perihal
Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia)
sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan
dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi
sentiasa terpelihara).
[59]
Sesungguhnya
perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian)
Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya:
"Jadilah engkau!" maka menjadilah ia.
[60]
Perkara yang benar
ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari
orang-orang yang ragu-ragu.
[61]
Kemudian sesiapa
yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan
yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak
kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta
perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah
ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta".
[62]
Sesungguhnya ini
ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[63]
Kemudian kalau
mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui
akan orang-orang yang berbuat kerosakan.
[64]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan
antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan
kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari
kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja
dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab
itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka:
"Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
[65]
Wahai Ahli Kitab!
Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat
dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim;
patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?
[66]
Ingatlah! Kamu ini
orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu
ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat),
maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu
sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui
(hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
[67]
Bukanlah Nabi
Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama
Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang
Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah
dari orang-orang musyrik.
[68]
Sesungguhnya
orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi
ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini
serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah
ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.
[69]
Segolongan dari Ahli
Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka
tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak
menyedari (akibat yang buruk itu).
[70]
Wahai Ahli Kitab!
Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu
menyaksikan kebenaranNya?
[71]
Wahai Ahli Kitab!
Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula
menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
[72]
Dan berkatalah
segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada
Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah
pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu,
lalu) kembali menjadi kafir semula".
[73]
Dan (mereka berkata
lagi): "Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut
ugama kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk yang
sebenar benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula:
"Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa
yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu
di sisi Tuhan kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi
pengetahuanNya.
[74]
Allah menentukan
pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah),
Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[75]
Dan di antara Ahli
Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta
sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di
antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan
mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang
demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya kami
menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata
dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
[76]
Bahkan (mereka berdosa
memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak
orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
bertaqwa.
[77]
Sesungguhnya
orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak
janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian
yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka
dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan
membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
[78]
Dan sesungguhnya, di
antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya
semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu
menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu.
Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi
Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak
berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah
berdusta).
[79]
Tidaklah patut bagi
seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta
pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai:
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan
perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata):
"Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah
Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan
isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
[80]
Dan ia tidak pula
patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan.
Patutkah ia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?
[81]
Dan (ingatlah)
ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya):
"Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu,
kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada
pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu
bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada
mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan
janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar
(mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian,
maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."
[82]
Kemudian sesiapa
yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah
orang-orang yang fasik.
[83]
Patutkah sesudah
(mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah?
Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di
bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka
dikembalikan.
[84]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah
diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi:
Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa
yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi
dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka,
dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)".
[85]
Dan sesiapa yang
mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia
pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
[86]
Bagaimana Allah akan
memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka
beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad)
itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk
hidayahNya kepada kaum yang zalim.
[87]
Mereka itu
balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian
orang-orang (yang beriman).
[88]
Mereka kekal di
dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak
diberi tempoh atau perhatian;
[89]
Kecuali orang-orang
yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[90]
Sesungguhnya orang-orang
yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak
sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang yang
sesat.
[91]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak
sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi,
walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan
mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan
beroleh seorang penolong pun. JUZUK KEEMPAT
[92]
Kamu tidak
sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang
sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan
sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
Part 4
[93]
Segala jenis makanan
dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh
Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika ada makanan yang diharamkan kepada
kamu - wahai Bani Israil - sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu
Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang
benar.
[94]
(Jika tidak) maka
sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian
itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[95]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu
akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari
orang-orang musyrik.
[96]
Sesungguhnya Rumah
Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah
Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat
manusia.
[97]
Di situ ada
tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya
ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah
dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi
Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur
(ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak
berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
[98]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan
Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?"
[99]
Katakanlah:
"Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman
daripada menurut jalan jalan (ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah
itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? "Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
[100]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu
menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
[101]
Dan bagaimana kamu
akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran),
dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang
teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah
ke jalan yang betul (lurus).
[102]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan
jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
[103]
Dan berpegang
teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu
bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara
hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah
kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu
telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa
jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam
juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya,
supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
[104]
Dan hendaklah ada di
antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan
Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada
segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah
orang-orang yang berjaya.
[105]
Dan janganlah kamu
menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan
berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan
mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.
[106]
(Ingatlah akan) hari
(kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada
muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam
legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu
kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka
disebabkan kekufuran kamu itu".
[107]
Adapun orang-orang
yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah
(Syurga), mereka kekal di dalamnya.
[108]
Itulah ayat-ayat
keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan
(ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian
makhlukNya.
[109]
Dan bagi Allah
jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada
Allah jualah dikembalikan segala urusan.
[110]
Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada
Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)
itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik
bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka:
orang-orang yang fasik.
[111]
Mereka (kaum Yahudi
dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti
(perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka
memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan
sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.
[112]
Mereka ditimpakan
kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan
adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya
mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari
segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar
akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi
dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan
mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).
[113]
Ahli-ahli Kitab itu
tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap
(berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah
(Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).
[114]
Mereka beriman
kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka
pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang
demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
[115]
Dan apa sahaja
kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau
disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui
akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
[116]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak
sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan
mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
[117]
Bandingan apa yang
mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik),
samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman
kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah),
Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[118]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan
kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan
berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa
yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan
mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.
Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika
kamu (mahu) memahaminya.
[119]
Awaslah! Kamu ini adalah
orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan
mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. kamu juga beriman kepada segala
Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka
bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami beriman", tetapi apabila
mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram
marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): "Matilah kamu dengan
kemarahan kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala
(isi hati) yang ada di dalam dada.
[120]
Kalau kamu beroleh
kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati
mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau
kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu
sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka
lakukan.
[121]
Dan (ingatlah wahai
Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah),
dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing
untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
[122]
(Ingatlah) ketika
dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk
meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung
mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang
yang beriman itu bertawakal.
[123]
Dan sesungguhnya
Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang
kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat
perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan
kemenangan itu).
[124]
(Ingatlah wahai
Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk
menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah
membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"
[125]
Bahkan (mencukupi.
Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang
menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu
malaikat yang bertanda masing-masing.
[126]
Dan Allah tidak
menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira
kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa)
pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
[127]
(Kemenangan Badar
itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau
menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.
[128]
Engkau tidak berhak
sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana
urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun
Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.
[129]
Dan bagi Allah
jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa
yang dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[130]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat
ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
[131]
Dan peliharalah diri
kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
[132]
Dan taatlah kamu
kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
[133]
Dan segeralah kamu
kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan
kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
[134]
Iaitu orang-orang
yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang
menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan
(ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
[135]
Dan juga orang-orang
yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka
segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya
tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak
meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka
mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
[136]
Orang-orang yang
demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang
beramal.
[137]
Sesungguhnya telah
berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan
Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian
perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).
[138]
(Al-Quran) ini ialah
penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[139]
Dan janganlah kamu
merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah
kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah
orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika
kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
[140]
Jika kamu (dalam
peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik
yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama
(dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini
dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara
sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui
Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga
supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid.
Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[141]
Dan juga supaya
Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan
membinasakan orang-orang yang kafir.
[142]
Adakah kamu
menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya)
orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara
kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal
hati dalam perjuangan)?
[143]
Dan sesungguhnya
kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu
menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan
kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).
[144]
Dan Muhammad itu
tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang
Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau
terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan
(ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan
mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan
memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam
yang tidak ada bandingannya itu).
[145]
Dan (tiap-tiap)
makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan
(ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan
yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya
dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami
berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan
pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
[146]
Dan berapa banyak
dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang
taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah
menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan
tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi
orang-orang yang sabar.
[147]
Dan tidaklah ada
yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang
melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan);
dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
[148]
Oleh itu, Allah
memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala
akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
[149]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan
menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang
rugi.
[150]
(Janganlah kamu
taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah
sebaik-baik Penolong.
[151]
Kami akan isikan
hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka
mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak
menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian)
tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal
bagi orang-orang zalim.
[152]
Dan demi
sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada
kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya,
sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan
kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar
perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu
sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang
menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang
menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka
untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan
kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
[153]
(Ingatlah) ketika
kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah
(yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal
di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh
sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan
(kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan
(Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput
dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu
lakukan.
[154]
Kemudian sesudah
(kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu
perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu
(yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya
mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak
benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah
bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan
itu?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah
dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya
menurut peraturan yang ditetapkanNya)". Mereka sembunyikan dalam hati
mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama
sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang
dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?"
katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun
nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan
terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (apa yang berlaku di medan
perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada
kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah),
Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[155]
Bahawasanya
orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari
bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu,
sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian
dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang
lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[156]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah
kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di
muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh):
"Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan
tidak terbunuh". (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan
akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang
demikian itu: penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang
menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu
lakukan.
[157]
Demi sesungguhnya!
Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati
biasa - semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah
dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang
kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup).
[158]
Demi sesungguhnya!
jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan
dihimpunkan (untuk menerima balasan).
[159]
Maka dengan sebab
rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau
telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan
kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari
kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan
terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila
engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka
bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang
bertawakal kepadaNya.
[160]
Jika Allah menolong
kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan
kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu
sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah
hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.
[161]
Dan tiadalah patut
bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan
perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa
bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap
seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang
mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).
[162]
Adakah orang yang
menurut keredaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan
dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat kembali.
[163]
Mereka itu (yang
menurut keredaan Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya), mempunyai
tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah
Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.
[164]
Sesungguhnya Allah
telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia
mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri,
yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari
iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah
(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya
mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang
nyata.
[165]
(Patutkah kamu
melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa
kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu
sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam
peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini?
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan
diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[166]
Dan apa yang telah
menimpa kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera - di medan perang
Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak
melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya) beriman.
[167]
Dan juga dengan
tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka:
"Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah
(diri, keluarga dan harta benda kamu)". Mereka menjawab: "Kalaulah
kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut
kamu (turut berperang)". Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih
dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan
mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
[168]
Merekalah juga yang
mengatakan tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang
Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: "Kalaulah mereka
taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri
kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
[169]
Dan jangan
sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada
jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara
istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
[170]
(Dan juga) mereka
bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan
kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai
(saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih
tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu)
bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[171]
Mereka bergembira
dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa
Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.
[172]
Iaitu orang-orang
yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang
menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud).
Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan yang bertaqwa,
ada balasan yang amat besar.
[173]
Mereka juga ialah
yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa
kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu
hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman
mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik
pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
[174]
Setelah (pergi mengejar
musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah,
mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut
keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
[175]
Sesungguhnya (pembawa
berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu
terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu
takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika
betul kamu orang-orang yang beriman.
[176]
Dan janganlah engkau
berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan
diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat
mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi
kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula
beroleh azab seksa yang amat besar.
[177]
Sesungguhnya
orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak
sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan
mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[178]
Dan jangan
sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup
lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka
hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab
seksa yang menghina (di akhirat kelak).
[179]
Allah tidak
sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu
ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu)
sehingga Ia memisahkan yang buruk (manufik) daripada yang baik (beriman). Dan
Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang
Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya
(untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu
berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa,
maka kamu akan beroleh pahala yang besar.
[180]
Dan jangan sekali-kali
orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada
mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi
mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa)
dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah
jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang
nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu
orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?"
[181]
Sesungguhnya Allah
telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya
Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan
perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada
alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: "Rasalah
kamu azab seksa yang sentiasa membakar -
[182]
(Azab seksa) yang
demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang - telah dilakukan oleh tangan kamu
sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim
kepada hamba-hambanya."
[183]
Orang-orang (Yahudi
itulah) yang berkata: "Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya
kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada kami
korban yang dimakan api. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya
telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu
membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan
itu)?
[184]
Oleh itu, jika
mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita),
kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan
juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan
Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang jelas.
[185]
Tiap-tiap yang
bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan
dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa)
kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya)
tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
[186]
Demi sesungguhnya,
kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu
akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu
dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang
menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka
sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki
diambil berat (melakukannya).
[187]
Dan (ingatlah) ketika
Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab
(iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu
kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".
Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta
mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah
buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.
[188]
Jangan sekali-kali
engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan
apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang
mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan
terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi
sakitnya.
[189]
Dan bagi Allah
jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[190]
Sesungguhnya pada
kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan,
kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
[191]
(Iaitu) orang-orang
yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa
mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit
dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari
azab neraka.
[192]
Wahai Tuhan kami!
Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya
Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh
seorang penolong pun;
[193]
Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada
iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman.
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami
kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang
berbakti;
[194]
Wahai Tuhan kami!
Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui
Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya
Engkau tidak memungkiri janji".
[195]
Maka Tuhan mereka
perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan
sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki
atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang
lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang
diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan
berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk
mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) -
sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku
akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang
sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".
[196]
Jangan sekali-kali
engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di
dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).
[197]
(Semuanya) itu
hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat
kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
[198]
Tetapi orang-orang
yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan
tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua
yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat,
yang banyak berbuat kebajikan).
[199]
Dan sesungguhnya di
antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang
diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada
mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat
Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh
pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya.
[200]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan
perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih
daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan
kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada
Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
An-Nisaa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai sekalian
manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula)
dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya
(isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan -
lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu
meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati
(mengawas) kamu.
[2]
Dan berikanlah kepada
anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu
tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta
mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang
demikian) itu adalah dosa yang besar.
[3]
Dan jika kamu takut
tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin
dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari
perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang
tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah
dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.
Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak
melakukan kezaliman.
[4]
Dan berikanlah
kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian
yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu
sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal)
itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
[5]
Dan janganlah kamu
berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta
(mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya
untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka
belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga
berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
[6]
Dan ujilah anak-anak
yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika
kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka)
telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka
hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui
batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan
sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah
ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia
memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan
kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang
menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan
segala yang kamu lakukan).
[7]
Orang-orang lelaki
ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang
perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama
ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang
telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
[8]
Dan apabila kerabat
(yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang
miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada
mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang
baik.
[9]
Dan hendaklah takut
(kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh)
orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula
meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka
akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka;
oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka
mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).
[10]
Sesungguhnya
orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka
itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke
dalam api neraka yang menyala-nyala.
[11]
Allah perintahkan
kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian
seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika
anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga
dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang
sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu
bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang
ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati
tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka
bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa
orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh
si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu,
kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak
manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian
masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah;
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[12]
Dan bagi kamu satu
perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak
mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu
perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang
mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka
(isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak
mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka
(isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan,
sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang
kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak
meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki
(seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari
keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu)
lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat
sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang
diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang
tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap
satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[13]
Segala hukum yang
tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah
dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang
amat besar.
[14]
Dan sesiapa yang
derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan
dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya
azab seksa yang amat menghina.
[15]
Dan sesiapa yang
melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah
empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.
Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut,
maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka
sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar
(dari hukuman itu).
[16]
Dan (mana-mana) dua
orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit
kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka
bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah
mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha
Luas rahmatNya.
[17]
Sesungguhnya
penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang
melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera
bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya;
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[18]
Dan tidak ada
gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga
apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia:
"Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu
sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang
mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[19]
Wahai orang-orang
yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan
paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan
mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah
berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang
nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara
yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan
tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi
kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci
itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
[20]
Dan jika kamu hendak
mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang
kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan
itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta
itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang
menyebabkan) dosa yang nyata?
[21]
Dan bagaimana kamu
tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin
antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun
mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
[22]
Dan janganlah kamu
berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu
kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu
adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi
seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
[23]
Diharamkan kepada
kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan
anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan
saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak
saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan
saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang
dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi
kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun
menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram
juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal
dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk
menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Part 5
[24]
Dan (diharamkan juga
kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya
yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan
hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu
perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari
(isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian
mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi
isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna),
sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa
mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami
isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar
pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[25]
Dan sesiapa di
antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan
perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara
kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba
perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman
kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba - abdi itu)
adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan
mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut.
Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan
bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai
teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin,
lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari
(hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka.
(Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan
hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina
di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba
perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[26]
Allah menghendaki
(dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah
untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan
aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang
soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[27]
Dan Allah hendak
(membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang
(yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu)
hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan
penyelewengan yang besar bahayanya.
[28]
Allah (sentiasa)
hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan
berkeadaan lemah.
[29]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu
dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan
perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah
kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani
kamu.
[30]
Dan sesiapa berbuat
demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api
neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada
sesiapapun yang dapat menghalangnya).
[31]
Jika kamu menjauhkan
dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan
kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat
yang mulia (syurga).
[32]
Dan janganlah kamu
terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan
kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang
lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana
telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan
orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka
berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[33]
Dan bagi tiap-tiap
(lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang
berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan
mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk
bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada
mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[34]
Kaum lelaki itu
adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,
oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa
keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki
telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka
perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya),
dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara)
ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz)
hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka
di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan
pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada
kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[35]
Dan jika kamu
bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah
"orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari
keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang
tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah
akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.
[36]
Dan hendaklah kamu
beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan
anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan
jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar,
dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;
[37]
Iaitu orang-orang yang
bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang
Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami telah
sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;
[38]
Dan juga orang-orang
yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan
mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari
akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka
seburuk-buruk kawan ialah syaitan.
[39]
Dan apakah
(kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari
akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan
Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan
mereka.
[40]
Sesungguhnya Allah
tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan
kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan
menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.
[41]
Maka bagaimanakah
(keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan
dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi
terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad)
sebagai saksi terhadap umatmu ini?
[42]
Pada hari itu
orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka
disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat
menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.
[43]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu
dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu
katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub
(berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi
bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di
antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan,
kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah
kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu
dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[44]
Tidakkah engkau
memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari
Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan), dan
mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.
[45]
Dan Allah lebih
mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh
kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah
Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka).
[46]
Di antara
orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab
Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi
Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati):
"Kami tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah
dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka
mengatakan): "Raaeina"; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya
memutar belitkan perkataan mereka dan mencela ugama Islam. Dan kalaulah mereka
berkata: "Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian
kepada kami", tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih
betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh
itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka).
[47]
Wahai orang-orang
yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan
(Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami
menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata -
tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti
rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah
melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka - Yahudi) yang melanggar larangan
bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.
[48]
Sesungguhnya Allah
tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua),
dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu
yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
[49]
Tidakkah engkau
perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang
membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia)
bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya
(atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.
[50]
Lihatlah (wahai
Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap
Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata.
[51]
Tidakkah engkau
perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah
diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda
yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata
kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik
itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi
Muhammad s.a.w).
[52]
(Kaum Yahudi yang
demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan
sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati
sesiapa pun yang boleh menolongnya.
[53]
Patutkah ada bagi
mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak,
bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun
kebaikan kepada manusia.
[54]
Atau patutkah mereka
dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat
Nabi dan ugama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah
kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim:
Kitab (ugama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka
kerajaan yang besar.
[55]
Maka di antara
mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa yang telah di
kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan ada pula di antara
mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan cukuplah dengan neraka
jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa mereka).
[56]
Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan
membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami
gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara
itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[57]
Dan orang-orang yang
beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci
bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.
[58]
Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,
(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
[59]
Wahai orang-orang
yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan
kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah)
RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
[60]
Tidakkah engkau
(hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa
mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada
(Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak
berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar
kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan
kesesatan yang amat jauh.
[61]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang
telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau
melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan
bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.
[62]
Maka bagaimana
halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang
telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil
bersumpah: "Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan
dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)".
[63]
Mereka itulah
orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh
itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta
katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.
[64]
Dan Kami tidak
mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan
kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai
Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun
untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani.
[65]
Maka demi Tuhanmu
(wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan
engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka,
kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa
yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan
sepenuhnya.
[66]
Dan sesungguhnya
kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu
sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak
akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau
mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah
diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan
lebih meneguhkan (iman mereka).
[67]
Dan (setelah mereka
berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka - dari sisi Kami
- pahala balasan yang amat besar;
[68]
Dan tentulah Kami
pimpin mereka ke jalan yang lurus.
[69]
Dan sesiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga)
bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada
mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang
Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi
teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
[70]
Yang demikian itu adalah
limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan
pahalanya).
[71]
Wahai orang-orang
yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh),
kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau
(jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.
[72]
Dan sesungguhnya ada
di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang
lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau kamu ditimpa
kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata: "Sesungguhnya Allah telah
mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang bersama-sama
mereka".
[73]
Dan demi
sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia (kemenangan) dari Allah, sudah
tentu ia mengatakan (dengan sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan kasih
mesra antara kamu dengannya: "Alangkah baiknya kalau aku turut serta
bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang amat besar?"
[74]
Oleh itu,
orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada
(kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah
(untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati
(gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala
yang besar.
[75]
Dan apakah yang
menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk
menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas
dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa
dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah)
ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami
dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah
bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman
musuh)".
[76]
Orang-orang yang
beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang
pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut
Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.
[77]
Tidakkah engkau
(hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan
kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan
perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah
zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka
diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada
manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun
lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami,
mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak
biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?"
Katakanlah (wahai Muhammad): "Harba benda yang menjadi kesenangan di dunia
ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari
akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih
mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit
pun".
[78]
Di mana jua kamu
berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada
dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan
(kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan
kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari
(sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad):
"Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi
Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami
perkataan (nasihat dan pengajaran)?
[79]
Apa jua kebaikan
(nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua
bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami
telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai
seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang
membuktikan kebenaran hakikat ini).
[80]
Sesiapa yang taat
kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa
yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad),
kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka
dari melakukan kesalahan).
[81]
Dan mereka (golongan
munafik) berkata: "(Kami) taat", kemudian apabila mereka keluar dari
majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang
lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah
(perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka
berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang
mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah
menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).
[82]
Patutkah mereka
(bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu
(datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang
banyak di dalamnya.
[83]
Dan apabila datang
kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus
menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada
Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di
antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak
mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana
limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas)
menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya
dan luas ilmunya di antara kamu).
[84]
Oleh itu,
berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari
pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri.
Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang
dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang
yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah
berat azab seksaNya.
[85]
Sesiapa yang
memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala)
daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan
mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[86]
Dan apabila kamu
diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam),
maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau
balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung
tiap-tiap sesuatu.
[87]
Allah, tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu
pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang
lebih benar perkataannya daripada Allah?
[88]
Maka apakah yang
menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu,
padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa
yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi pertunjuk kepada
orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah
disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk
menyelamatkannya.
[89]
. Mereka suka kalau
kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan
yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu
mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga
mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau
mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di
mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang
pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;
[90]
Kecuali orang-orang
yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian
setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu
sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya.
Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu,
kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan
kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi
kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan
bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.
[91]
Kamu juga akan
dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya mereka beroleh
aman dari pihak kamu, dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya) supaya
mereka beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap kali
mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera terjerumus ke
dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu (dan terus mengganggu
atau berpihak kepada musuh), dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu
dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka
hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu
menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan
yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya.
[92]
Dan tidak harus sama
sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan
tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja,
maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang
beriman serta membayar "diah" (denda ganti nyawa) yang diserahkan
kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan
(memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum
(kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si
pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang
beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum
(kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka
wajiblah membayar "diah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta
memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak
dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua
bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima
taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.
[93]
Dan sesiapa yang
membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam,
kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta
menyediakan baginya azab seksa yang besar.
[94]
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela
Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya),
dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan
kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah
Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya)
dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda
kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki
dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak.
Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan
keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah
mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih
dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah
sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.
[95]
Tidaklah sama
keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan
orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran -
dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela
Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang
dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak
turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu
(dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga),
dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal
duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang
amat besar;
[96]
Iaitu beberapa
darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[97]
Sesungguhnya
orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya
diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas
oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:
"Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka
menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi".
Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan
kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu
keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu
adalah seburuk-buruk tempat kembali.
[98]
Kecuali orang-orang
yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang
tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula
mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).
[99]
Maka mereka (yang demikian
sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[100]
Dan sesiapa yang
berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia
akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang
makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada
Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya
telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[101]
Dan apabila kamu
musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan"
(memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.
Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
[102]
Dan apabila engkau
(wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau
mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari
mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka
menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka
hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan
hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana
menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah)
bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta
menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai
lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat
menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa
meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan
disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga.
Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang
amat menghina.
[103]
Kemudian apabila
kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan
mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka
dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya
sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman,
yang tertentu waktunya.
[104]
Dan janganlah kamu
lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau
kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita
sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang
mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[105]
Sesungguhnya Kami
menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran,
supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah
tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela
bagi orang-orang yang khianat.
[106]
Dan hendaklah engkau
memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[107]
Dan janganlah engkau
berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat,
lagi sentiasa berdosa.
[108]
Mereka
menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak
menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada
bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang
tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi
PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
[109]
Sedarlah! Kamu ini
adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah
membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang
akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak?
Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang
disediakan oleh Allah)?
[110]
Dan sesiapa yang
melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat)
kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[111]
Dan sesiapa yang
mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi
bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[112]
Dan sesiapa yang
melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang
yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat
dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.
[113]
Dan kalaulah tidak
kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya
berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak
menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri;
dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan
(selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah
(pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak
mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah
besar.
[114]
Tidak ada kebaikan
pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh
bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan
sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah
Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
[115]
Dan sesiapa yang
menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran
pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan
orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan
(kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan
memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah
seburuk-buruk tempat kembali.
[116]
Sesungguhnya Allah
tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa
jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa
yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah
sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
[117]
Apa yang mereka
sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang
lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan
yang derhaka;
[118]
Yang telah dilaknat
oleh Allah, dan yang telah mengatakan: "Demi sesungguhnya, aku akan
mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi
pengikutku);