Yunus
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam Raa' ini
ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran
yang tetap teguh.
[2]
Tidaklah patut
adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah
wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan
berfirman kepadanya): "Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar,
dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada
orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia
di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan).
(Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang
mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu:
"Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata."
[3]
Sesungguhnya Tuhan
kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia
bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang
dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian)
itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka
tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu - setelah
mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?
[4]
KepadaNyalah
kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah
yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup
semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal
soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka
minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya,
disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.
[5]
Dia lah yang
menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan
Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada
tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan
tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan
adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya
(tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat
sesuatu yang dijadikanNya).
[6]
Sesungguhnya pada
pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh
Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang
dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.
[7]
Sesungguhnya
orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat
untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia
semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak
mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -
[8]
Mereka yang demikian
keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka;
disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.
[9]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka
dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang)
sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang
penuh nikmat.
[10]
Doa ucapan mereka di
dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan
ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa
mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam!
[11]
Dan kalau Allah
menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan,
sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah
mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang
dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu
meraba-raba dalam kesesatannya.
[12]
Dan apabila
seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala
keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala
Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya
seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang
kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu)
demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang
mereka lakukan.
[13]
Dan sesungguhnya
Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka
berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan,
dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang
melakukan kesalahan.
[14]
Kemudian Kami
jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan
mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan
bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.
[15]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang
yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): "Bawalah
Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia ". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku
hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku
takut, - jika aku menderhaka kepada Tuhanku, - akan azab hari yang besar (soal
jawabnya)".
[16]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini
kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah
Ia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana
sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan
kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran
ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?"
[17]
Dengan yang
demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap
Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang
berdosa itu tidak akan berjaya.
[18]
Dan mereka menyembah
yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada
mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula
berkata: "Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat
kepada kami di sisi Allah". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu
hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di
langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah
dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan."
[19]
Dan (ketahuilah
bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama
Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka
berselisihan. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari
Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah
diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa
yang mereka perselisihkan itu.
[20]
Dan mereka yang
ingkar itu berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu
mukjizat dari Tuhannya? "Maka jawablah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya perkara yang ghaib itu tertentu bagi Allah; oleh itu
tunggulah (hukuman Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang
menunggu.
[21]
Dan apabila Kami
beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan,
mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat
keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai
Muhammad): "Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!"
Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu
daya yang kamu jalankan itu.
[22]
Dia lah yang
menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan
berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan
bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan
angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah
kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa
dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya;
pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan
mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): "Demi
sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap
menjadi orang-orang yang bersyukur".
[23]
Kemudian bila sahaja
Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka
di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia!
Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri
kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia
(bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami
akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.
[24]
Sesungguhnya bandingan
kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu
(tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang
dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan berpaut-pautan
(pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap
sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang
berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat
berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah
perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang
hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu.
Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum
yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).
[25]
(Itulah dia
kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat
kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya
kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke
jalan yang betul lurus (yang selamat itu).
[26]
Untuk orang-orang
yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu
tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh
sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di
dalamnya selama-lamanya.
[27]
Dan untuk
orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu
kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan
kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam
legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari
malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[28]
Dan (ingatlah) masa
Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada
orang-orang musyrik: "Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan
makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu"; sesudah itu kami putuskan
perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka
sembah itu (sebagai berlepas diri): "Bukanlah kami - yang kamu puja dan
taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!
[29]
"(Allah
mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara
kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau
penyembahan kamu (kepada kami)".
[30]
Pada masa itu
tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan
dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang
akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka
apa yang mereka ada-adakan.
[31]
Bertanyalah kepada
mereka (yang musyrik itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari
langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan
siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan
mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang
mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu)
maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata:
"Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu, katakanlah:
"(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu
bertaqwa?
[32]
Maka yang demikian
(sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya;
sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada
itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari
kebenaran?
[33]
(Sebagaimana
benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah
ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya
mereka tidak beriman.
[34]
Bertanyalah (kepada
mereka wahai Muhammad): "Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu
sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian
kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? "Katakanlah:
Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan
adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan
(kepada menyembah yang lain)?"
[35]
Bertanyalah (wahai
Muhammad): "Adakah di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan
Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran?
"Katakanlah: "Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada
kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk
kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi
sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah
alasan sikap kamu itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan
perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?"
[36]
Dan kebanyakan
mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya
sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran
(iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
[37]
Dan bukanlah
Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi
Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang
diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak
yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada
Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan
sekalian alam.
[38]
(Orang-orang kafir
tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dia
lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding
dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya,
yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang
benar!".
[39]
Bahkan mereka pula
terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi
segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang
menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka
mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah
bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana
yang membinasakan mereka).
[40]
Dan di antara mereka
ada yang beriman kepada Al-Quran, dan ada di antaranya yang tidak beriman
langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang
yang melakukan kerosakan.
[41]
Dan jika mereka terus-menerus
mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: "Bagiku amalku, dan bagi
kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan,
dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan".
[42]
Dan di antara mereka
(yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat
faedah sedikitpun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak
berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka
menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya.
[43]
Dan di antara mereka
pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi
mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai
Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga
kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau
tunjukkan itu).
[44]
Sesungguhnya Allah
tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya
diri mereka sendiri.
[45]
Dan (ingatlah) masa
Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai
seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja
dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya
rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima
balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup
di dunia).
[46]
Dan jika Kami
perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang
Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka
kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan
mengenai apa yang mereka lakukan.
[47]
Dan bagi tiap-tiap
satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul
masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun
dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya.
[48]
Dan mereka (yang
kafir) bertanya: "Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika
betul kamu orang-orang yang benar?"
[49]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa
mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi
tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat
mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya".
[50]
Katakanlah:
"Sudahkah kamu nampak jalan keluar jika datang kepada kamu azab Tuhan itu,
pada waktu malam atau pada waktu siang? "Azab manakah yang orang-orang
berdosa itu minta disegerakan (sedang sebarang azab wajib ditakuti)?
[51]
Patutkah (kamu
mengingkari azab itu), kemudian apabila ia menimpa kamu, kamu mengakui
benarnya? (Sedang pengakuan pada masa itu tidak diterima bahkan dikatakan
kepada kamu): "Sekarangkah baharu kamu mengakui benarnya, padahal sebelum
ini kamu telah menunjukkan keingkaran dengan meminta disegerakan
kedatangannya?"
[52]
Kemudian dikatakan
lagi kepada orang-orang yang berlaku zalim itu: "Rasakanlah azab yang
kekal. Tidaklah kamu dibalas melainkan dengan apa yang kamu usahakan (di
dunia)".
[53]
Dan mereka (yang
meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
"Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar? "Jawablah:
"Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu tidak
sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya".
[54]
Dan pada masa itu
sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau
kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela
menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan
mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu;
dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan
dianiaya dengan keputusan itu.
[55]
Ingatlah!
Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah.
Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia
tidak mengetahui.
[56]
Dia lah yang menghidupkan
dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima
balasan.
[57]
Wahai umat manusia!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari
Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di
dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta
membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
[58]
Katakanlah (wahai
Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia
Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya
mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada
apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak
kekal)".
[59]
Katakanlah (kepada
kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): "Sudahkah kamu nampak
baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga
dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?"
Katakanlah lagi (kepada mereka): "Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat
demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?".
[60]
Dan apakah sangkaan
orang-orang yang mengada-adakan kata-kata dusta terhadap Allah, (tidakkah mereka
akan diazabkan) hari kiamat kelak? Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan
kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberianNya dan hukum-hukum Syarak yang
diturunkanNya), tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.
[61]
Dan tidaklah engkau
(wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam
membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai
umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami
menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang
lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan
yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan
tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang
terang nyata.
[62]
Ketahuilah!
Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[63]
(Wali-wali Allah itu
ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
[64]
Untuk mereka
sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada
(sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang
besar.
[65]
Dan janganlah engkau
(wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu;
kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha
Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
[66]
Ingatlah!
Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi
dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya,
mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan
semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.
[67]
Dia lah yang
menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang
terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang
itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang
mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran
daripadanya).
[68]
Mereka berkata:
"Allah mempunyai anak" Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan
itu)! Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi
adalah kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang
membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap
Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?
[69]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang
dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya".
[70]
(Apa yang mereka
beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya
mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan
kufur yang mereka lakukan.
[71]
Dan bacakanlah
kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada
kaumnya: "Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan
peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu,
menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana)
kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu
serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku;
kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara
tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku
dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.
[72]
"Oleh itu, jika
kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku,
kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama
Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama
ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya
menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada
Allah)".
[73]
Mereka tetap juga
mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama
pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka
pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah
semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan
ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.
[74]
Kemudian Kami
utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu
Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan
yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa
yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas
hati orang-orang yang melampaui batas.
[75]
Kemudian Kami
utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan
kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku
sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa
melakukan dosa.
[76]
Oleh sebab itu
ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka:
"Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata".
[77]
(Mendengarkan yang
demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu
kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang
ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya".
[78]
Mereka pula berkata:
"Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan
berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan
kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya
kami tidak akan beriman kepada kamu berdua".
[79]
Dan berkatalah
Firaun (kepada orang-orangnya): "Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir
yang mahir".
[80]
Setelah datang
ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:" Campakkanlah kamu
dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir
itu)!"
[81]
Setelah mereka
campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:" Apa yang kamu datangkan
itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan
mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan
menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
[82]
"Dan Allah juga
sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya,
walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa".
[83]
Maka tidaklah ada
yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan
kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka
menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan
sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.
[84]
Dan Nabi Musa pula
berkata (kepada kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada
Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang
Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".
[85]
Lalu mereka berkata:
"Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.
[86]
" Dan
selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir".
[87]
Dan (setelah itu),
Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah
kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan
jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di
dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman
(bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)".
[88]
Dan Nabi Musa pula
(merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah
memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan
harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan
yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu
(dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda
mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka
dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang
tidak terperi sakitnya.
[89]
Allah berfirman:
"Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu
tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan
orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".
[90]
Dan Kami bawakan
Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya,
dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun
hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya,
bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah
dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".
[91]
(Allah berfirman):
"Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari
dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang
melakukan kerosakan?.
[92]
"Maka pada hari
ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak
bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di
belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya
kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda
kekuasaan Kami!".
[93]
Dan sesungguhnya
Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan
Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka
tidak berselisihan (mengenai Nabi Muhammad melainkan) setelah datang kepada
mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan
menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka
perselisihan itu.
[94]
Oleh sebab itu,
sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami
turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab
yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya).
Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan
sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.
[95]
Dan jangan
sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah,
kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.
[96]
Sesungguhnya
orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab),
mereka tidak akan beriman:
[97]
Walaupun datang
kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan
kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab
yang tidak terperi sakitnya.
[98]
(Dengan kisah Firaun
itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka
ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya
kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian - ketika mereka beriman,
Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari
menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu
masa (yang Kami tentukan).
[99]
Dan (bukanlah
tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika
Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.
(Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu;
kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia
supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?
[100]
Dan tiadalah
sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah
(melalui undang-undang dan peraturanNya); dan Allah menimpakan azab atas
orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).
[101]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari
segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan
kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan
kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah
dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak
menaruh kepercayaan kepadanya.
[102]
Maka orang-orang
yang tersebut tidak menunggu melainkan (azab Allah) sebagaimana
kejadian-kejadian yang berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu
daripada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah, sesungguhnya aku
juga bersama-sama kamu dari orang-orang yang menunggu".
[103]
Kemudian Kami
selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah juga, sebagai
kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman yang menurutmu).
[104]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang
kebenaran ugamaku, maka (ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang
kamu menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah Allah yang
akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku diperintahkan supaya
menjadi dari golongan yang beriman.
[105]
"Serta
(diwajibkan kepadaku): ' Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan
perintah-perintah) ugama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi
dari orang-orang musyrik '."
[106]
Dan janganlah engkau
(wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat
mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat
kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat
itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri
sendiri dengan perbuatan syirik itu).
[107]
Dan jika Allah
mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang
akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau
beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi
limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang
dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.
[108]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran
(Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk
(beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya
sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu
tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang
menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu".
[109]
Dan turutlah apa
yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan
Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan
memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik
Hakim.