Hud
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Raa'.
Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian
dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah
dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[2]
(Al-Quran yang
demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah
sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku
diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang
(ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).
[3]
Dan hendaklah kamu
meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah
kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan
hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat
pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam
sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling
(membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan
beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).
[4]
Kepada Allah jualah
kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[5]
Ketahuilah!
Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk
menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah.
Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah
mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan;
sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[6]
Dan tiadalah
sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah
yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia
disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada
malaikat-malaikat yang berkenaan).
[7]
Dan Dia lah yang menjadikan
langit dan bumi dalam masa, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Ia
menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih
baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata:
"Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati" tentulah
orang-orang yang ingkar akan berkata: "Ini tidak lain, hanyalah seperti
sihir yang nyata (tipuannya)".
[8]
Dan demi
sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu
masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek):
"Apakah yang menghalangnya?" Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu
kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah
mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
[9]
Dan demi
sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami
kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat
berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.
[10]
Dan demi
sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita
kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala
kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu)
riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).
[11]
Kecuali orang-orang
yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan
dan pahala yang besar.
[12]
Jangan-jangan engkau
(wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan
kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang
yang ingkar itu berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad)
perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya
malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?" Kerana sesungguhnya engkau
hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah
jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri
kepadaNya).
[13]
Bukan itu sahaja
kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad)
yang mereka-reka Al-Quran itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika
demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan
yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu
sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang
benar".
[14]
Oleh itu, jika
mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk
membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa
Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak
ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang
demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?
[15]
Sesiapa yang keadaan
usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan
tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan
sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan
sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah
orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab
neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan
batalah apa yang mereka telah kerjakan.
[17]
Jika demikian,
adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan
bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan
diikuti oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan - sebagai saksi dari pihak
Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa
diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)?
Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui - menerima Al-Quran; dan sesiapa
ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah
dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad)
menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu
adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya
kepadanya.
[18]
Dan tidak ada yang
lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta
terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan
mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat,
Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): "Inilah orang-orang
yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka". Ketahuilah (sesungguhnya)
laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!
[19]
Orang-orang yang
menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha
supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari
akhirat;
[20]
Mereka itu tidak
akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di
dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang
dapat menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk mereka akan
digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama Allah), sehingga mereka
tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.
[21]
Merekalah
orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan hilang lenyaplah dari mereka apa
yang mereka ada-adakan.
[22]
Tidak syak lagi,
bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak.
[23]
Sesungguhnya orang-orang
yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan
ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka
kekal di dalamnya.
[24]
Bandingan dua
golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta
serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu
tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah
kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?
[25]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu ia memberitahu kaumnya dengan
berkata: "Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata
kepada kamu.
[26]
"Iaitu
janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu
menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya
pada hari pembalasan".
[27]
Maka berkatalah
ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh)
melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan
yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran
singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang
kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang
pendusta".
[28]
Nabi Nuh berkata:
"Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku,
serta Ia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian bukti yang
nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu yang
telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima
bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?
[29]
Dan (ketahuilah)
wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah
menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah
semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana
yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka (dan
pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi aku
nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.
[30]
Dan lagi wahai
kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau
mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?
[31]
Dan aku tidak pernah
berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku
mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa
aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman
yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada
mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka.
Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari
orang-orang yang zalim".
[32]
Mereka berkata:
"Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu
engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada
kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika
betul engkau dari orang-orang yang benar".
[33]
Nabi Nuh menjawab:
"Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azabNya itu kepada kamu
jika Ia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa
Allah!
[34]
Dan tidak ada
gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah
hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan
kepadaNya kamu akan kembali".
[35]
(Mereka terus
berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja
mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya.
Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: "Kalau aku yang
mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu,
dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku".
[36]
Dan (setelah itu) diwahyukan
kepada Nabi Nuh: "Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu
melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau
berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.
[37]
Dan buatlah bahtera
dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang
cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang
zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan
taufan)".
[38]
Dan Nabi Nuh pun
membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia
membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: "Jika
kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami
juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan
kamu.
[39]
Maka kamu akan
mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan
yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak".
[40]
(Nabi Nuh terus
bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air
memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami
berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap
sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah
ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah
orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut
bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.
[41]
Dan (ketika itu)
berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah
kamu ke bahtera itu sambil berkata: ' Dengan nama Allah bergerak lajunya dan
berhentinya '. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."
[42]
(Mereka semua naik)
dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti
gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada
di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama
kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".
[43]
Anaknya menjawab:
"Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku
daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak
ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang
dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan
antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang
yang ditenggelamkan oleh taufan.
[44]
Dan (setelah
binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata:
"Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan
hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah
(Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi"
serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah
akhirnya bagi orang-orang yang zalim".
[45]
Dan Nabi Nuh merayu
kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu
dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah
sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya".
[46]
Allah berfirman:
"Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia
telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya
bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu
sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku
melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
[47]
Nabi Nuh berkata:
"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon
sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak
mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari
orang-orang yang rugi".
[48]
Allah berfirman:
Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami
kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada
umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam
kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak
terperi sakitnya".
[49]
(Kisah Nabi Nuh) itu
adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai
Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh
itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di
dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
[50]
Dan kepada kaum Aad,
Kami utuskan saudara mereka: Nabi hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah
kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. kamu
hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap
Allah).
[51]
Wahai kaumku!
Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan)
itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak
mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?
[52]
Dan wahai kaumku!
Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia
menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di
samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan
seruanku dengan terus melakukan dosa!
[53]
Mereka berkata:
"Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang
membuktikan kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan
tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali
percaya kepadamu!
[54]
" Kami hanya
boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu
penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)".
Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang
kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa perbuatan
syirik kamu -
[55]
" Menyembah
yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku,
kemudian jalankan terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan
diri.
[56]
" Kerana
sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah
sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah
jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.
[57]
Dalam pada itu, jika
kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana
aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk
menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain
(setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat membahayakanNya
sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap
sesuatu."
[58]
Dan apabila datang
azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan
rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.
[59]
Dan itulah peristiwa
kaum Aad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka
menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua
yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.
[60]
Dan mereka ditimpa
laknat (yang tidak putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat.
Ketahuilah Sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka
ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi Hud.
[61]
Dan kepada kaum
Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai
kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain
daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta
menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan
syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya
Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".
[62]
Mereka menjawab
dengan berkata: "Wahai Soleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang
yang diharap dalam kalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah engkau
melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan
(ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan
tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya".
[63]
Nabi Soleh berkata:
"Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran
yang berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Ia pula
mengurniakan rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripadaNya, maka
siapakah yang akan menolongku dari azab Allah kalau aku menderhaka kepadaNya?
Oleh itu, kamu tidak menambah sesuatu kebaikan pun bagiku selain daripada
perkara yang merugikan.
[64]
" Dan wahai
kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat)
yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi
Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau
kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya".
[65]
Mereka kemudiannya
menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka:
Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang
demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan".
[66]
Maka ketika datang azab
kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari
Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu.
Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
[67]
Dan orang-orang yang
zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu
menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
[68]
(Mereka punah-ranah)
seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum
Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah
akhirnya bagi kaum Thamud.
[69]
Dan sesungguhnya
telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa
berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Salam
sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)". Nabi Ibrahim menjawab: "Salam
sejahtera kepada kamu". Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa
jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.
[70]
Maka apabila ia
melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal
mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka
berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus
kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)".
[71]
Dan isterinya pada
ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan
takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya
(melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan
sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.
[72]
Isterinya berkata:
"Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku
sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu
perkara yang menghairankan".
[73]
Malaikat-malaikat
itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah
ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah
kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha
Melimpah kebaikan dan kemurahanNya".
[74]
Maka apabila hilang
perasaan takut dari hati Nabi Ibrahim, dan sampai kepadanya berita yang
mengembirakan itu, (mulailah) ia membantah (utusan-utusan) kami tentang (azab
yang akan menimpa) kaum Nabi Lut.
[75]
Sesungguhnya Nabi
Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah
dengan mengerjakan amal bakti.
[76]
(Malaikat-malaikat
itu berkata): "Wahai Ibrahim! Janganlah dihiraukan hal ini. Sesungguhnya
telah datang perintah Tuhanmu (menghukum mereka), dan sesungguhnya mereka akan
didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh bantahan atau doa
permohonan)".
[77]
Dan apabila datang
utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka,
dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil
berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan".
[78]
Dan kaumnya pun
datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang
mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata:
"Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi
kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah,
dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada
di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi
nasihat)?"
[79]
Mereka menjawab:
"Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang
hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan
apa yang kami kehendaki."
[80]
Nabi Lut berkata:
"Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu
ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku
akan membinasakan kamu)".
[81]
(Mendengarkan yang
demikian tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah
malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan
dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari
sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun
di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan
ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka).
Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah
waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?"
[82]
Maka apabila datang
(masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu
diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami
menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya
bertalu-talu.
[83]
Batu-batu itu
ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah
jauh dari orang-orang yang zalim itu.
[84]
Dan kepada penduduk
"Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Ia berkata:
"Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi
kamu selain daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.
Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku
bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah).
[85]
Dan wahai kaumku!
Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan
manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan
bencana kerosakan di muka bumi.
[86]
Limpah kurnia Allah
kepada kamu lebih baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil secara haram itu),
jika betul kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah orang yang menjaga
dan mengawas perbuatan kamu".
[87]
Mereka berkata:
"Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan
kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya
kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta kami?
Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar, lagi bijak
berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan perkara yang
bertentangan dengan kebiasaan kami)?"
[88]
Nabi Syuaib berkata:
"Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang
nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai
pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang
aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada
melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan
tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan
pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku
kembali.
[89]
Dan wahai kaumku!
Janganlah permusuhan kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa bala bencana
sebagaimana yang telah menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud, atau kaum
Nabi Soleh. Dan kaum Nabi Lut pun tidaklah jauh dari kamu (kamu sedia
mengetahui apa yang telah menimpa mereka).
[90]
Dan mintalah ampun
kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku
Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih".
[91]
Mereka berkata:
"Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau
katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam
kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah
melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang
dipandang mulia dalam kalangan kami!"
[92]
Nabi Syuaib berkata:
"Wahai kaumku! (Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum keluargaku
kamu pandang lebih mulia dari pada Allah serta kamu pula jadikan perintahNya
sebagai sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang kamu? Sesungguhnya
Tuhanku Amat Meliputi pengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[93]
" Dan wahai
kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang ugama Allah yang aku
sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh
(untuk mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan didatangi azab
yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta. Dan tunggulah, sesungguhnya
aku juga turut menunggu bersama-sama kamu".
[94]
Dan ketika datang
(masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib beserta dengan
umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan
oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat
yang tersungkur di tempat masing-masing.
[95]
(Mereka punah-ranah)
seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! kebinasaanlah
akhirnya bagi penduduk Madyan, sebagaimana binasanya kaum Thamud.
[96]
Dan sesungguhnya
kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan
bukti (mukjizat) yang nyata:
[97]
Kepada Firaun dan
kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu
bukanlah perintah yang betul.
[98]
Firaun akan
mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa mereka
masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.
[99]
Dan mereka diiringi
oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat.
(Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.
[100]
Yang demikian, ialah
sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan),
kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang
masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur
lebur (dan hilang lenyap).
[101]
Dan tiadalah Kami
menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka
berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong
mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka
lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
[102]
Dan demikianlah azab
Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim.
Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.
[103]
Sesungguhnya pada
kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang
takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan
hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.
[104]
Dan tiadalah Kami
lambatkan hari kiamat itu melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu.
[105]
(Pada) masa
datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk
membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di
antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.
[106]
Adapun orang-orang
yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah
tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu
(seperti suara keldai).
[107]
Mereka kekal di
dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu.
Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
[108]
Adapun orang-orang
yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah
tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang
dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.
[109]
Maka janganlah
engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu tentang sia-sianya apa yang
disembah oleh mereka yang musyrik itu. Mereka tidak menyembah melainkan sama seperti
yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik dahulu. Dan sesungguhnya
Kami akan menyempurnakan bagi mereka bahagian mereka (dari azab yang telah
ditentukan) dengan tidak dikurangi.
[110]
(Janganlah engkau merasa
bimbang wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu) kerana sesungguhnya Kami
telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan
mengenainya. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari
Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu),
tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka. Dan
sesungguhnya mereka masih menaruh perasaan ragu-ragu tentang (kebenaran
Al-Quran) itu.
[111]
Dan sesungguhnya
tiap-tiap seorang akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka;
sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka
kerjakan.
[112]
Oleh itu, hendaklah
engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul
sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk
kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu
melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa
yang kamu kerjakan.
[113]
Dan janganlah kamu
cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku
demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang
penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu
itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
[114]
Dan dirikanlah
sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi
dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan
kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi
orang-orang yang mahu beringat.
[115]
Dan sabarlah (wahai
Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana
sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat
kebaikan.
[116]
Maka sepatutnya ada
di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang
yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan
jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit
sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan
orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan
yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.
[117]
Dan Tuhanmu tidak
sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman
penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.
[118]
Dan kalaulah Tuhanmu
(wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya
menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah
mereka terus-menerus berselisihan.
[119]
Tetapi orang-orang
yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah));
dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan
yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi
neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".
[120]
Dan tiap-tiap berita
dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk
menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini
kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.
[121]
Dan katakanlah
kepada orang-orang yang tidak beriman: "Buatlah apa yang kamu sanggup
melakukannya (dari perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap
mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami).
[122]
Dan tunggulah
(akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu
(akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami)".
[123]
Dan Allah jualah
yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala
urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah),
Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.