Ar-R'ad
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Miim, Raa'.
Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai
Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu)
beriman.
[2]
Allah jualah yang
menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu
melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari
dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya
beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan
segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya
kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).
[3]
Dan Dia lah yang
menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri
kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis
buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang
dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda
kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
[4]
Dan di bumi ada
beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan
padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar
(kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang
sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada
bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta
memahaminya.
[5]
Dan jika engkau
merasa hairan (wahai Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka
yang kafir itu (yang mengatakan): "Adalah apabila kami telah menjadi tanah
betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?"
Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah
yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan merekalah juga
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[6]
Dan mereka meminta
kepadamu menyegerakan kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan) sebelum
mereka memohon kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka
peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir seperti
mereka. dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah keampunanNya bagi
manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu
juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).
[7]
Dan berkatalah
orang-orang yang kafir: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad)
sesuatu mukjizat dari Tuhannya?" Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad)
hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan
tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.
[8]
Allah mengetahui
akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari
yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah
ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.
[9]
Dia lah yang
mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha
Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya).
[10]
Sama sahaja
kepadaNya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan
yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar
berjalan pada waktu siang.
[11]
Bagi tiap-tiap
seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari
belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah
Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila
Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan
kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau
menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat
menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.
[12]
Dia lah yang
memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir), dan
memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang
berat (dengan air).
[13]
Dan Dia lah juga
yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia
lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada
sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta
mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat
kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.
[14]
Kuasa menerima
ibadat yang benar adalah tertentu bagi Allah; dan benda-benda yang mereka
sembah yang lain dari Allah, tidak akan dapat menyahut atau memberikan
sesuatupun kepada mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak
tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu
tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang-orang
kafir itu melainkan dalam kesesatan.
[15]
Dan kepada Allah
jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada
dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka;
pada waktu pagi dan petang.
[16]
Bertanyalah (wahai
Muhammad): "Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan
bumi?" Jawablah: "Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau
demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai
Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi
dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah
lagi: "Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah
sama, gelap-gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka
jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya,
sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?" Katakanlah:
"Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha
Esa, lagi Maha Kuasa".
[17]
Ia menurunkan air
(hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut
kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu
membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam
api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul
buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara
yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut
terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap
tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.
[18]
Bagi orang-orang
yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik-baiknya; dan
orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka
mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi,
tentulah mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu disediakan baginya
hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah neraka
jahanam; dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.
[19]
Maka adakah orang
yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu
(wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya?
Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang
berakal sempurna.
[20]
Orang-orang yang
menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang
telah diperteguhkan itu; -
[21]
Dan orang-orang yang
menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan
yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran
yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat); -
[22]
Dan orang-orang yang
sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan
sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka,
secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan
dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan
yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -
[23]
Iaitu Syurga yang
kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan
amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak
mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap
pintu; -
[24]
(Memberi hormat
dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan
kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
[25]
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya
dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan,
serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, - mereka itu
beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang
seburuk-buruknya.
[26]
Allah memewahkan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan
mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia
itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding
dengan kesenangan hari akhirat.
[27]
Dan orang-orang yang
kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat
dari Tuhannya? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah menyesatkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi
petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, -
[28]
"(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia.
[29]
Orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan
tempat kembali yang sebaik-baiknya.
[30]
Demikianlah, Kami
utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya
beberapa umat yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang
Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman
Katakanlah: "Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan
kamu semuanya)".
[31]
Dan kalaulah ada
mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak
dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi
kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab
kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang
mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah menurut
kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah
orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah
Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya, (lalu menjadikan mereka
semuanya beriman). Dan orang-orang yang kafir itu (dengan sebab kekufuran
mereka) sentiasa ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka);
atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan
tempat tinggal mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah
datang janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak
memungkiri janjiNya.
[32]
Dan sesungguhnya
telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad),
lalu aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu
masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab; maka tidaklah
terperi seksanya azabKu itu.
[33]
Setelah diketahui
demikian maka tidaklah patut disamakan Allah Tuhan yang berkuasa mengawas,
tiap-tiap diri dan mengetahui akan apa yang telah diusahakan oleh diri-diri
itu, (dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam pada itu, mereka yang
kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu bagi Allah. Katakanlah
(wahai Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu sembah itu).
Atau adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan apa yang tidak
diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang lahir
(sedang pada hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan sebenarnya telah
diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu
daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka
daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh
Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat
memberi hidayah petunjuk kepadanya.
[34]
Mereka beroleh azab
dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih menyeksakan
lagi; dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi mereka dari
azab Allah itu.
[35]
Sifat Syurga yang
dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya
sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan
naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa,
sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka.
[36]
Dan orang-orang yang
Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu
(wahai Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang mengingkari
sebahagiannya. Katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya
menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang
lain: kepadaNyalah aku menyeru (manusia semuanya untuk menyembahNya), dan
kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya untuk menerima balasan)".
[37]
Dan demikianlah Kami
menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya,
jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah
datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau
peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan
kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).
[38]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk
mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi
seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin
Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan hukum yang telah
ditentukan oleh "Suratan Azali".
[39]
Allah menghapuskan
apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya.
Dan (ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".
[40]
Sama ada Kami
perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang Kami janjikan
untuk mereka (yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka
tidaklah menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang
kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal mereka.
[41]
Mengapa mereka yang
kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami
sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit
demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya? Dan (ingatlah) Allah menghukum menurut
apa yang dikehendakiNya; tiada sesiapapun yang dapat menghalang hukumNya, dan
dia lah juga yang amat cepat hitungan hisabNya.
[42]
Dan sesungguhnya
orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap
Nabi-nabi mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah
jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang
diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan mengetahui bagi
siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari akhirat kelak.
[43]
Dan orang-orang yang
kafir itu berkata: "Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah".
Katakanlah (kepada mereka): "Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan
kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai
Kitab Allah".