Al-Israa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Maha Suci Allah yang
telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di
Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[2]
Dan Kami telah
memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi
Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang
lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)".
[3]
(Wahai) keturunan
orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam
bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.
[4]
Dan Kami menyatakan
kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan
kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku
sombong angkuh dengan melampau.
[5]
Maka apabila sampai
masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan)
itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas
serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan
membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap
berlaku.
[6]
Kemudian (setelah
kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan
mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak
pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
[7]
Jika kamu berbuat
kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan
jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri
kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka
kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu
(dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis)
sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk
menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.
[8]
Mudah-mudahan Tuhan
kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali
(menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami
telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).
[9]
Sesungguhnya
Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan
memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan
amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
[10]
Dan bahawa orang-orang
yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
[11]
Dan manusia berdoa
dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan
memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.
[12]
Dan Kami jadikan
malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami
hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan
tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah
kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab
(bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk
dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran)
dengan sejelas-jelasnya.
[13]
Dan tiap-tiap
seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari
kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan
didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
[14]
(Lalu Kami
perintahkan kepadanya): "Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau
sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang
telah engkau lakukan)".
[15]
Sesiapa yang beroleh
hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk
yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang
sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya
juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang
lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun
sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang
salah).
[16]
Dan apabila sampai
tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan
(lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka
(supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka
berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya
sehancur-hancurnya.
[17]
Dan berapa banyak
umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah
Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.
[18]
Sesiapa yang
menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia
apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami
sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam
keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
[19]
Dan sesiapa yang
menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat
dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian
keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
[20]
Tiap-tiap golongan
dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka
dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu
tersekat (dari sesiapapun).
[21]
Lihatlah bagaimana
Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki
pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar
tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan
kelebihannya.
[22]
Janganlah engkau
adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau
akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.
[23]
Dan Tuhanmu telah
perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun).
[24]
Dan hendaklah engkau
merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan
doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat
kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[25]
Tuhan kamu lebih
mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang
bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun
bagi orang-orang yang bertaubat.
[26]
Dan berikanlah
kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya
masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang
melampau.
[27]
Sesungguhnya
orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu
pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
[28]
Dan jika engkau
terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu
yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan
hati.
[29]
Dan janganlah engkau
jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau
menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau
dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.
[30]
Sesungguhnya Tuhanmu
lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang
demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan
hamba-hambaNya.
[31]
Dan janganlah kamu
membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki
kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah
satu kesalahan yang besar.
[32]
Dan janganlah kamu
menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan
satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
[33]
Dan janganlah kamu
membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan
alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya
Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu,
janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia
adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
[34]
Dan janganlah kamu
menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal
dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus
hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan
dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
[35]
Dan sempurnakanlah
sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang
demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang
mendatangkan pahala di akhirat kelak).
[36]
Dan janganlah engkau
mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan
ditanya tentang apa yang dilakukannya.
[37]
Dan janganlah engkau
berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan
dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi
gunung-ganang.
[38]
Tiap-tiap satu
perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.
[39]
Perintah yang
demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai
Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah
sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke
dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat
Allah).
[40]
(Jika demikian
wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai
anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu
telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya
anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah
memperkatakan dusta yang amat besar.
[41]
Dan sesungguhnya
Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan
berbagai cara di dalam Al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan
mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak
menjadikan mereka melainkan bertambah liar.
[42]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kalaulah ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah,
sebagaimana yang mereka katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari
jalan kepada Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).
[43]
Maha Sucilah Allah
dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.
[44]
Langit yang tujuh
dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi
Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi
kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi
Maha Pengampun.
[45]
Dan apabila engkau
membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad
dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding
yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.
[46]
Dan Kami jadikan
(perasaan itu sebagai) tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga
sebagai penyumbat pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan
mendengar kebenaran Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama
Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan diri.
[47]
Kami lebih
mengetahui akan tujuan mereka mendengar Al-Quran semasa mereka mendengar
bacaanmu (wahai Muhammad), dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika
orang-orang yang zalim itu berkata (sesama sendiri): "Kamu tidak menurut
melainkan seorang yang kena sihir".
[48]
Lihatlah (wahai
Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan engkau dengan yang bukan-bukan, maka
dengan sebab itu mereka sesat, sehingga mereka tidak dapat mencari jalan
kebenaran.
[49]
Dan mereka berkata:
"Adakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, adakah kita akan
dibangkitkan semula dengan kejadian yang baharu?"
[50]
Katakanlah (wahai
Muhammad):" Jadilah kamu batu atau besi -
[51]
Atau lain-lain
makhluk yang terlintas di hati kamu sukar hidupnya, (maka Allah berkuasa
menghidupkannya)!" Mereka pula akan bertanya: "Siapakah yang akan
mengembalikan kita hidup semula?" Katakanlah: "Ialah Allah yang
menjadikan kamu pada mulanya!" Maka mereka akan menganggukkan kepala
mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?"
Katakanlah: "Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!"
[52]
(Ingatlah akan) hari
Ia menyeru kamu lalu kamu menyahut sambil memuji kekuasaanNya, dan kamu
menyangka, bahawa kamu tinggal (dalam kubur) hanya sebentar.
[53]
Dan katakanlah
(wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata
dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran);
sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan
yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi
manusia.
[54]
Tuhan kamu lebih
mengetahui akan keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada
kamu; atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu
kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai urusan mereka.
[55]
Dan Tuhanmu (wahai
Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di
bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas
setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.
[56]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa
(boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak
berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat
memindahkannya".
[57]
orang-orang yang mereka
seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya
(dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya,
serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya;
sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.
[58]
Dan tiada sesebuah
negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami
menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah
tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).
[59]
Dan tiada yang
menghalang Kami dari menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan
kerana jenis mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan
di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina sebagai
mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka berlaku zalim
kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun mukjizat-mukjizat itu
melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya
kalau mereka tidak beriman).
[60]
Dan (ingatlah)
ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu
meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami
menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu
melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan)
pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan
berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan
dengan kekufuran yang melampau.
[61]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada
Adam"; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah
aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"
[62]
Ia berkata lagi:
"Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?
Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan
memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di
antaranya)".
[63]
Allah berfirman
(kepada iblis): "Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!
Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka
Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
[64]
Dan desak serta
pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah
penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan
mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan
anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu)". Padahal
tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
[65]
Sesungguhnya
hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis)
mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah
Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
[66]
Tuhan kamulah yang
menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki
dari limpah kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada kamu.
[67]
Dan apabila kamu
terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu)
makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan
kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah
manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).
[68]
Adakah kamu -
(sesudah diselamatkan ke darat) - merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa
Allah akan menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan
menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu;
kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?
[69]
Atau adakah kamu
merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali
lagi ke laut, kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah
belahkan segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab
kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh menuntut bela
tentang itu terhadap Kami?
[70]
Dan sesungguhnya
Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan
berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki
kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka
dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
[71]
(Ingatlah) hari Kami
menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa
diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan
sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik)
sedikitpun.
[72]
Dan (sebaliknya)
sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia
juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
[73]
Dan sesungguhnya
nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami
telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang
lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah mereka menjadikan
engkau sahabat karibnya.
[74]
Dan kalaulah tidak
Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau
sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.
[75]
Jika (engkau
melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda
semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau
tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.
[76]
Dan sesungguhnya
mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi
(Makkah) dengan tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika
berlaku demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan
sedikit masa sahaja.
[77]
(Demikianlah)
peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu
dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi
peraturan Kami yang tetap itu.
[78]
Dirikanlah olehmu
sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah)
sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan
(keistimewaannya).
[79]
Dan bangunlah pada
sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud"
padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan
menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
[80]
Dan pohonkanlah
(wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam
urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku
daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku
dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",
[81]
Dan
katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara
yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu
perkara yang tetap lenyap".
[82]
Dan Kami turunkan
dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan
rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak
menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan
kerugian jua.
[83]
Dan apabila Kami
kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari
bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.
[84]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri;
maka Tuhan kamu lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul
jalannya".
[85]
Dan mereka bertanya
kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan
kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
[86]
Dan sesungguhnya
jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan
kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami
untuk mengembalikannya.
[87]
(Tetapi kekalnya
Al-Quran itu) hanyalah sebagai rahmat dari tuhanmu; sesungguhnya limpah
kurnianya kepadamu (wahai Muhammad) amatlah besar.
[88]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan
tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka
tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun
mereka bantu-membantu sesama sendiri".
[89]
Dan sesungguhnya
Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini,
dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam
pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.
[90]
Dan mereka berkata:
"Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga
engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
[91]
Atau (sehingga)
engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau
mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar
terus-menerus.
[92]
Atau (sehingga)
engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau
katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk
kami menyaksikannya.
[93]
Atau (sehingga)
engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke
langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit
sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami
membacanya". Katakanlah (wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku!
Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?
[94]
Dan tiadalah yang
menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka
hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul,
sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah mengutus seorang
manusia menjadi Rasul?"
[95]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kalau ada di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal
mendiaminya, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat
yang menjadi rasul".
[96]
Katakanlah lagi:
"Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia
Amat Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan
hamba-hambaNya".
[97]
Dan sesiapa yang diberi
hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai
kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan
mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan
himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas
mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka
Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api
yang menjulang-julang.
[98]
Balasan mereka yang
sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka
berkata: "Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah
Kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
[99]
Tidakkah mereka mahu
memikirkan dan meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa
menciptakan orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal
Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya.? Dalam
pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran.
[100]
Katakanlah (wahai
muhammad): "jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika
itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan
sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut".
[101]
Dan sesungguhnya
Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata
(membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani
Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan
mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: "Sesungguhnya aku fikir,
engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir"
[102]
Nabi Musa menjawab:
"Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang
menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan
langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya
aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
[103]
Maka Firaun pun
berkira hendak mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu Kami tenggelamkan dia
bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.
[104]
Dan Kami katakan
kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): "Tinggalah kamu di
negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke
[105]
Dan dengan cara yang
sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi
segala kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad)
melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang beriman) dan
pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
[106]
Dan Al-Quran itu
Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat
tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.
[107]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman
kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana
sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan
Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan
khusyuk);
[108]
Serta mereka
menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji
Tuhan kami tetap terlaksana. "
[109]
Dan mereka segera
tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.
[110]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama
"Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu
adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta
mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga
janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana
antara itu.
[111]
Dan katakanlah:
"Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada
bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan
sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya
dengan bersungguh-sungguh!"