Al-Kahf
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Segala puji terentu bagi
Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran,
dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):
[2]
(Bahkan keadaannya)
tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran
(kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah,
dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan
amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
[3]
Mereka tinggal tetap
dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
[4]
Dan juga Al-Quran
itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:" Allah mempunyai
anak".
[5]
(Sebenarnya) mereka
tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk
nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka;
mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
[6]
Maka jangan-jangan
pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung
dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan
beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
[7]
Sesungguhnya Kami
telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami
hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
[8]
Dan sesungguhnya
Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang
tandus.
[9]
Adakah engkau
menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan
"Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan Kami?
[10]
(Ingatkanlah
peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka
berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan
berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama
kami".
[11]
Lalu Kami tidurkan
mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
[12]
Kemudian Kami
bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua
golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka
hidup (dalam gua itu).
[13]
Kami ceritakan kepadamu
(wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu
orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka
dengan hidayah petunjuk.
[14]
Dan Kami kuatkan
hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan
tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang
lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan
dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
[15]
(Mereka berkata pula
sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari
Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan
ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat
berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang
berdusta terhadap Allah.
[16]
Dan oleh kerana kamu
telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain
dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu
melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan
untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".
[17]
Dan engkau akan
melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila
ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu
lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan
kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah
yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau
tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan
yang benar) kepadanya.
[18]
Dan engkau sangka
mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam
tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka
menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka,
tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau
akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
[19]
Dan demikianlah pula
Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama
sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu
tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama
sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka
berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur;
sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar;
kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih
baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu
sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan
bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang
menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
[20]
"Sesungguhnya,
kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan
membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara
paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya
selama-lamanya".
[21]
Dan demikianlah Kami
dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa
janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat
itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang
itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati.
Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah
bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal
mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula
berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua
mereka".
[22]
(Sebahagian dari)
mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang
keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula
berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing
mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak
diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh
orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang
mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau
berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara
sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau
meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang
membincangkannya).
[23]
Dan janganlah engkau
berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan
lakukan yang demikian itu, kemudian nanti".
[24]
Melainkan (hendaklah
disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta
sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan
Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari
ini".
[25]
Dan mereka telah
tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan
sembilan lagi (dengan kiraan kamu).
[26]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya
lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya
(terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus
selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam
hukumNya.
[27]
Dan baca serta
turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang
dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat
tempat perlindungan selain daripadaNya.
[28]
Dan jadikanlah
dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan
mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah
semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya
kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi
orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi
pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan
tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
[29]
Dan katakanlah
(wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka
sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur
ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi
orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana
khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi
pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah
buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat
bersenang-senang.
[30]
Sebenarnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.
[31]
Mereka itu,
disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan
memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam;
mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah
Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.
[32]
Dan berikanlah
kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di
antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan
pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman
yang lain.
[33]
Kedua-dua kebun itu
mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami
juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
[34]
Tuan kebun itu pula
ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia
berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih
berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai".
[35]
Dan ia pun masuk ke
kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya
sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir,
kebun ini akan binasa selama-lamanya.
[36]
Dan aku tidak fikir,
hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku
(sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih
baik daripada ini.
[37]
berkatalah rakannya
kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar
kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih,
kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
[38]
Tetapi aku sendiri
percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku
tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
[39]
Dan sepatutnya
semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang
dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)?
Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding
denganmu,
[40]
Maka mudah-mudahan
Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang)
dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah
kebunmu itu tanah yang licin tandus.
[41]
Ataupun air kebun
itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak
akan dapat mencarinya lagi".
[42]
Dan segala tanaman
serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua
tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah
dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh
junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau
aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!"
[43]
Dan ia tidak
mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia
pula tidak dapat membela dirinya sendiri.
[44]
Pada saat yang
sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan
yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik
pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
[45]
Dan kemukakanlah
kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang
Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu
sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia
kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[46]
Harta benda dan anak
pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal
faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik
sebagai asas yang memberi harapan.
[47]
Dan (ingatkanlah)
hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat
(seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang
Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.
[48]
Dan mereka tetap
akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada
mereka): "Kamu sekarang telah datang kepada Kami - (berseorangan)
sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka,
bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk
melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)".
[49]
Dan
"Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan
melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di
dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab
ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar,
melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan
itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim
kepada seseorangpun.
[50]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada
Adam"; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin,
lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak
menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi
pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah
buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
[51]
Aku tidak memanggil
mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga
meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak
sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.
[52]
Dan (ingatkanlah)
masa Allah berfirman: "Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu
(untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana
makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami jadikan untuk mereka
bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.
[53]
Dan orang-orang yang
berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan
jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk
mengelakkan diri daripadanya.
[54]
Dan demi
sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran
ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya
manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.
[55]
Dan tiada yang
menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada
mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan
mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah
menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.
[56]
Dan tidak Kami
mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi
amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk
menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan
amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.
[57]
Dan tidaklah ada
yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya,
lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua
tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan
tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada
memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan
mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan
keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk
selama-lamanya.
[58]
Dan Tuhanmu Maha
Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di
dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan
azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan
bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat
perlindungan, yang ialah daripadanya.
[59]
Dan penduduk
negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan
kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan
mereka.
[60]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan
berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku
berjalan terus bertahun-tahun".
[61]
Maka apabila mereka
berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan
mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan
lorong di bawah tanah.
[62]
Setelah mereka
melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: "Bawalah
makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam
perjalanan kita ini".
[63]
Temannya berkata:
"Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu?
Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa
daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah
menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan".
[64]
Nabi Musa berkata:
"Itulah yang kita kehendaki "; merekapun balik semula ke situ, dengan
menurut jejak mereka.
[65]
Lalu mereka dapati
seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari
Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
[66]
Nabi Musa berkata
kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa
yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk
bagiku?"
[67]
Ia menjawab:
"Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar
bersamaku.
[68]
Dan bagaimana engkau
akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?
[69]
Nabi Musa berkata:
"Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak
akan membantah sebarang perintahmu".
[70]
Ia menjawab: "Sekiranya
engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun
sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".
[71]
Lalu berjalanlah
keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi
Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu
menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu
perkara yang besar".
[72]
Ia menjawab:
"Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat
bersabar bersamaku?"
[73]
Nabi Musa berkata:
"Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan
janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku
(menuntut ilmu)".
[74]
Kemudian keduanya
berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia
membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang
bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan
satu perbuatan yang mungkar!"
[75]
Ia menjawab:
"Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali
akan dapat bersabar bersamaku?"
[76]
Nabi Musa berkata:
"Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka
janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup
mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan
bantahanku".
[77]
Kemudian keduanya
berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar,
mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan
menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak
runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah
engkau berhak mengambil upah mengenainya!"
[78]
Ia menjawab:
"Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu
maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar
mengenainya.
[79]
Adapun perahu itu
adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku
bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti
ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
[80]
Adapun pemuda itu,
kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia
akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
[81]
Oleh itu, kami ingin
dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik
daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.
[82]
Adapun tembok itu
pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di
bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula
adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan
dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari
Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut
fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan
perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
[83]
Dan mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan
bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang
perihalnya":
[84]
Sesungguhnya Kami
telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya
jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
[85]
Lalu ia menurut
jalan (yang menyampaikan maksudnya).
[86]
Sehingga apabila ia
sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair
yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar).
Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain!
Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara
baik terhadap mereka".
[87]
Ia berkata:
"Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan
menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya
dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
[88]
Adapun orang yang
beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami
akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati".
[89]
Kemudian ia berpatah
balik menurut jalan yang lain.
[90]
Sehingga apabila ia
sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang
kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
[91]
Demikianlah halnya;
dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
[92]
kemudian ia berpatah
balik menurut jalan yang lain.
[93]
Sehingga apabila ia
sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir
mereka tidak dapat memahami perkataan.
[94]
Mereka berkata:
"wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan
kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran
kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah
tembok di antara kami dengan mereka?"
[95]
Dia menjawab:
"(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih
baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu
beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup
yang kukuh.
[96]
Bawalah kepadaku
ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup
lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan
berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia
menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga
cair supaya aku tuangkan atasnya".
[97]
Maka mereka tidak dapat
memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
[98]
(Setelah itu)
berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada
itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur,
dan adalah janji Tuhanku itu benar".
[99]
Dan Kami biarkan
mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan
yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan
makhluk-makhluk seluruhnya di
[100]
Dan Kami perlihatkan
neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang
jelas nyata;
[101]
(Iaitu) orang-orang
yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada
mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.
[102]
Maka adakah
orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai
makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka?
Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu
sebagai tempat tetamu.
[103]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang
paling rugi amal-amal perbuatannya?
[104]
(Iaitu) orang-orang
yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka
menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka
lakukan".
[105]
Merekalah
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan
denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan
memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[106]
(Mereka yang
bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar,
dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
[107]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka
Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
[108]
Mereka kekal di
dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
[109]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah
Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah
Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya,
sebagai bantuan".
[110]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu,
diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu,
sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam
ibadatnya kepada Tuhannya".