Taha
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Taa' Haa.
[2]
Kami tidak menurunkan
Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
[3]
Hanya untuk menjadi
peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah. Allah
[4]
(Al-Quran)
diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
[5]
Iaitu (Allah)
Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
[6]
Dia lah jua yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di
antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.
[7]
Dan jika engkau
menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah
perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang
tersembunyi.
[8]
Allah! Tiada Tuhan
yang berhak disembah melainkan Dia, bagiNyalah segala nama yang baik.
[9]
Dan sudahkah sampai
kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?
[10]
Ketika ia melihat
api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku
ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya,
atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalan.
[11]
Maka apabila ia
sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa! " -
[12]
"Sesungguhnya
Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa
yang suci.
[13]
"Dan Aku telah
memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu.
[14]
"Sesungguhnya
Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan
dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
[15]
"Sesungguhnya hari
kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya -
supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.
[16]
"Maka janganlah
engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman
kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa.
[17]
"Dan apa
(bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?"
[18]
Nabi Musa menjawab:
"Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku
memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada
lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".
[19]
Allah Taala
berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!"
[20]
Lalu ia
mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang
bergerak menjalar.
[21]
Allah berfirman:
"Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan
mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.
[22]
"Dan kepitlah
tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan
tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.
[23]
"(Berlakunya
yang demikian itu) kerana Kami hendak memperlihatkan kepadamu sebahagian dari
tanda-tanda kekuasaan Kami yang besar.
[24]
"Pergilah
kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".
[25]
Nabi Musa berdoa
dengan berkata: "Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku;
[26]
"Dan
mudahkanlah bagiku, tugasku;
[27]
"Dan
lepaskanlah simpulan dari lidahku,
[28]
"Supaya mereka
faham perkataanku;
[29]
"Dan jadikanlah
bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.
[30]
"Iaitu Harun
saudaraku;
[31]
"Kuatkanlah
dengan sokongannya, pendirianku,
[32]
"Dan jadikanlah
dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku,
[33]
"Supaya kami
sentiasa beribadat dan memujiMu,
[34]
"Dan (supaya)
kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;
[35]
"Sesungguhnya
Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami".
[36]
Allah berfirman:
"Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai
Musa!
[37]
"Dan demi
sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu
masa yang lain sebelum ini.
[38]
"Ketika Kami
ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
[39]
"Letakkanlah
anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut
itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya;
dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu;
dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
[40]
"Ketika saudara
perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang
memungutmu:" Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh
memeliharanya?" Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu
supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu;
dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari
kesusahan pembunuhan itu; dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari
berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun
dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari
sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa!
[41]
"Dan Aku telah
memilihmu untuk menjadi RasulKu.
[42]
"Pergilah,
engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat pengurniaanKu dan janganlah kamu
berdua lemah dan cuai dalam menyebut serta mengingati Daku.
[43]
"Pergilah kamu
berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.
[44]
"Kemudian hendaklah
kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat
atau takut".
[45]
Mereka berdua
berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera
menyeksa kami, atau ia akan melampau batas".
[46]
Allah berfirman:
"Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku
mendengar dan melihat segala-galanya.
[47]
"Oleh itu,
pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya
kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut
kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang
kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu
adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk ugama Allah.
[48]
"Sesungguhnya
telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat
ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling
daripadanya".
[49]
(Setelah mereka
menyampaikan perintah Allah itu), Firaun berkata: "Jika demikian, siapakah
Tuhan kamu berdua, hai Musa?"
[50]
Nabi Musa menjawab:
"Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian
semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya
akan cara menggunakannya".
[51]
Firaun bertanya lagi:
"Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum-kaum yang telah lalu?"
[52]
Nabi Musa menjawab:
"Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah
Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Ia juga tidak pernah lupa".
[53]
(Dia lah Tuhan) yang
telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi
kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Ia juga telah menurunkan hujan dari
langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan
yang berlainan keadaannya.
[54]
Makanlah kamu
daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu; sesungguhnya
semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi
orang-orang yang berakal fikiran.
[55]
Dari bumilah Kami
ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya
pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.
[56]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang
membukti kekuasaan Kami; dalam pada itu ia mendustakannya dan enggan beriman.
[57]
Firaun berkata:
"Patutkah engkau datang kepada kami untuk mengeluarkan kami dari negeri
kami dengan sihirmu, hai Musa?
[58]
"Kalau
demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan kepadamu sihir yang seperti itu untuk
melawanmu! Maka tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang
kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang sesuai bagi kedua
belah pihak".
[59]
Nabi Musa menjawab:
"Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan
hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".
[60]
Maka Firaun pun
berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan ahli-ahli sihir untuk menjalankan
tipu-dayanya, kemudian ia datang ke tempat perlawanan.
[61]
Nabi Musa berkata
kepada mereka: "Celakalah kamu kelak! Janganlah kamu mendakwa secara dusta
terhadap Allah, kerana dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu dengan azab
seksa; dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa".
[62]
Maka merekapun
berbantahan dan berunding sesama sendiri mengenai perkara sihir mereka, dan
mereka rahsiakan apa yang mereka rundingkan.
[63]
Mereka berkata:
"Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir yang bertujuan hendak
mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan
kepercayaan serta adat peraturan kamu yang utama.
[64]
"Oleh itu,
satukanlah segala cara helah kamu, kemudian datanglah beramai-ramai dalam satu
barisan untuk menentangnya; dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang
pada hari ini".
[65]
Mereka berkata: "Wahai
Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula
mencampak?"
[66]
Nabi Musa menjawab:
"Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan
tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda
berjalan, disebabkan sihir mereka.
[67]
Maka yang demikian
menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
[68]
Kami berfirman
kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah
yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.
[69]
"Dan
campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala
(benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka
lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan
beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".
[70]
(Nabi Musa pun
mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka
keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri
sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun
dan Nabi Musa".
[71]
Firaun berkata:
"Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu?
Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi
sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku
akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu
akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya
dan lebih kekal".
[72]
Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang
kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan
mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu,
hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau
hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
[73]
"Sesungguhnya
kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan
kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah
jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.
[74]
"Sebenarnya
sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka
sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan
tidak pula hidup.
[75]
"Dan sesiapa
yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal
yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi
darjatnya:
[76]
"(Iaitu)
Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan
dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat".
[77]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau
membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian
pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi
mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh
musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam".
[78]
Maka Firaun pun
mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya
diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang
sedahsyat-dahsyatnya.
[79]
Dan dengan itu
Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia
membawa mereka ke jalan yang benar.
[80]
Wahai Bani lsrail!
Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah
janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung
Tursina itu, dan kami turunkan kepada kamu "Mann" dan
"Salwa",
[81]
Serta Kami katakan:
Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan
janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan
ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya
binasalah ia.
[82]
Dan sesungguhnya Aku
yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan
beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan
kepadanya.
[83]
Dan apakah yang
menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai
Musa?.
[84]
Nabi Musa menjawab:
"Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera
datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku".
[85]
(Setelah selesainya
urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Sesungguhnya Kami
telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah
disesatkan oleh Samiri"
[86]
Maka kembalilah Nabi
Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; ia berkata: "Wahai
kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang
baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang
dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan
dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?"
[87]
Mereka menjawab:
"Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar
kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir)
itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang
demikian, maka demikianlah juga "Samiri" mencampakkan apa yang
dibawanya.
[88]
"Kemudian
Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor
anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: "Ini ialah
tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!"
[89]
Patutkah mereka
tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat
menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi
manfaat kepada mereka?
[90]
Dan demi
sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu:
"Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan
sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu,
ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".
[91]
Mereka menjawab:
"Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan)
kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".
[92]
(Sekembalinya), Nabi
Musa berkata: "Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika
engkau melihat mereka sesat,
[93]
"Daripada
menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?"
[94]
Nabi Harun menjawab:
"Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah
menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata
kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan
engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "
[95]
(Sesudah itu Nabi
Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: "Apa pula halmu,
wahai Samiri?"
[96]
Ia menjawab:"
Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku
mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya;
dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku".
[97]
Nabi Musa berkata
kepada Samiri: "Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan
dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam
kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ', dan sesungguhnya telah dijanjikan
lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas
daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama
menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur
dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.
[98]
"Sesungguhnya
Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi
pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu".
[99]
Demikianlah Kami
ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), sebahagian dari kisah-kisah umat manusia
yang telah lalu; dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi
Kami (sebuah Kitab Al-Quran yang menjadi) peringatan.
[100]
Sesiapa yang
berpaling ingkar dari peringatan Al-Quran itu, maka sesungguhnya ia pada hari
kiamat menanggung beban (dosa) yang berat.
[101]
Mereka kekal di
dalam (azab) dosa itu; dan amatlah buruknya tanggungan itu bagi mereka pada
hari kiamat,
[102]
(Iaitu) hari ditiup Sangkakala,
dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan
kelabu matanya.
[103]
Mereka
berbisik-bisik sesama sendiri: "Kamu telah tinggal hanya sepuluh
sahaja".
[104]
(Allah berfirman):
Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang
yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: "Tiadalah kamu
tinggal melainkan satu masa yang amat singkat".
[105]
Dan mereka (yang
kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka
jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin.
[106]
"Lalu Ia
membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin".
[107]
Engkau tidak akan
melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi.
[108]
Pada hari itu mereka
menurut seruan panggilan yang menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari
menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah
rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.
[109]
Pada hari itu, tidak
berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang
diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang
diredai perkataannya.
[110]
Allah mengetahui apa
yang di hadapan mereka (dari hal-hal dunia), dan apa yang di belakang mereka
(dari perkara akhirat); sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi.
[111]
Dan segala muka akan
tunduk dengan berupa hina kepada Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal
Mentadbirkan makhluk selama-lamanya; dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah
orang yang menanggung dosa kezaliman.
[112]
Dan sesiapa yang
mengerjakan sebarang apa dari amal-amal yang soleh, sedang ia beriman, maka
tidaklah (seharusnya) ia merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari
pahalanya.
[113]
Dan demikianlah Kami
telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah
terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia
seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari
faedah mereka.
[114]
Maka Maha Tinggilah
Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan
janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai
dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai
Tuhanku, tambahilah ilmuku".
[115]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia
lupa; dan kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.
[116]
Dan (ingatkanlah peristiwa)
ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam",
lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.
[117]
Maka, Kami
berfirman: "Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi
isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga,
kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.
[118]
"Sesungguhnya
telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam
Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.
[119]
"Dan sesungguhnya
engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas
matahari".
[120]
Setelah itu maka
Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam,
mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya,
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"
[121]
Kemudian mereka
berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat
masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan
dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai
hajatnya).
[122]
Kemudian Tuhannya
memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima
taubatnya serta diberi petunjuk.
[123]
Allah berfirman:
"Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan
setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang
kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya
ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.
[124]
"Dan sesiapa
yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah
baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat
dalam keadaan buta".
[125]
Ia berkata:
"Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal
aku dahulu melihat?"
[126]
Allah berfirman:
"Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu,
lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari
ini dilupakan serta ditinggalkan".
[127]
Dan demikianlah Kami
membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat
keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan
lebih kekal.
[128]
Adakah tersembunyi
serta belum jelas lagi kepada mereka: berapa banyak Kami telah binasakan dari
kamu-kaum yang terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-alik
melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya pada yang demikian
ada tanda-tanda (untuk mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal
fikiran.
[129]
Dan jika tidaklah
kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu (wahai Muhammad), dan satu tempoh yang
ditentukan nescaya balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.
[130]
Oleh itu, bersabarlah
engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan
memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan
beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang;
supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan).
[131]
Dan janganlah engkau
menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami
berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang
merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya;
sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.
[132]
Dan perintahkanlah
keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun
bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah
yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertaqwa.
[133]
Dan mereka yang
kafir berkata: "Mengapa ia tidak membawa kepada kami satu tanda mukjizat
dari Tuhannya yang membuktikan kebenarannya?" Bukankah telah datang kepada
mereka berbagai-bagai keterangan dan khasnya Al-Quran yang menjadi kenyataan
yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu?
[134]
Dan sekiranya Kami
binasakan mereka dengan sesuatu azab sebelum datangnya Rasul Kami membawa
Al-Quran ini, tentulah mereka akan berkata pada hari kiamat: "Wahai Tuhan
Kami! Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami
menurut ayat-ayat keteranganMu yang dibawanya, sebelum kami menjadi hina
(dengan azab di dunia), dan mendapat malu (dengan azab di akhirat)?"
[135]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka
tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang
berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk".