Al-Hajj
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai umat manusia,
bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara
yang amat besar.
[2]
Pada hari kamu melihat
(peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan
anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan
anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka
sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
[3]
Dan ada di antara
manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah
sebati dengan kejahatan.
[4]
Yang telah
ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia,
maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.
[5]
Wahai umat manusia,
sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup
semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia)
kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik
air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang
disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara
yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan
Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang
Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami
mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai
ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang
dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan
umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu
yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat
bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah
tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah
ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
[6]
(Kedua-dua
kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan
Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang
menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[7]
Dan bahawa
sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya,
dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula)
orang-orang yang di dalam kubur.
[8]
Dan ada di antara
manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan
tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang
keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi
kebenaran;
[9]
Ia membantah sambil
memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya
dan orang lain dari jalan ugama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia, dan
Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak;
[10]
(Dengan dikatakan
kepadanya): "Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu
sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada
hamba-hambaNya".
[11]
Dan ada di antara
manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu
kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula
ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya).
(Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang
terang nyata.
[12]
Ia menyeru dan
menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat
membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah
kesesatan yang jauh terpesong.
[13]
Ia menyeru dan
menyembah makhluk yang - dengan perbuatan demikian - mudaratnya lebih dekat
dari manfaat yang diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan
seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan disembahnya itu.
[14]
Sesungguhnya Allah
akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa yang
ditentukanNya.
[15]
Sesiapa yang
menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan menolong Nabi Muhammad dalam
dunia ini dan di akhirat kelak, maka hendaklah ia menghulurkan tali (serta
mengikatnya) di bumbong rumahnya, kemudian hendaklah ia menjerut lehernya
(supaya ia mati tercekek); dalam pada itu hendaklah ia memikirkan lebih dahulu,
adakah tipu dayanya itu dapat menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan
kemarahannya?
[16]
Dan demikianlah pula
Kami menurunkan Al-Quran itu sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan
sesungguhnya Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut peraturan dan undang-undangNya).
[17]
Bahawasanya
orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan
orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik,
sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat,
kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[18]
Tidakkah engkau
mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada
Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang,
dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta
sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak
ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa
yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat
memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.
[19]
Inilah dua golongan (mukmin
dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang
kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan
atas kepala mereka air panas yang menggelegak,
[20]
Yang dengannya
dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka.
[21]
Dan mereka pula
disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.
[22]
Tiap-tiap kali
mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka
dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang
membakar!"
[23]
Sesungguhnya Allah
akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang
mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang
emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.
[24]
Dan mereka diberi
petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan
Allah Yang Amat Terpuji.
[25]
Sesungguhnya
(amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan
Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami
jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) - sama
ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang
berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang
zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.
[26]
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya,
lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun
denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf,
dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan
sembahyang).
[27]
"Dan serukanlah
umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke
(rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis
unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang
jauh.
[28]
"Supaya mereka menyaksikan
berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan
menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada
mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang
demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah
makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
[29]
"Kemudian
hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan
nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua
sejarahnya itu".
[30]
Itulah yang wajib
dipatuhi; dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian
menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu
binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang
haramnya), maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan
berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta, -
[31]
(Amalkanlah
perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak
mempersekutukan sesuatu pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu
yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar
oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang
membinasakan).
[32]
Demikianlah (ajaran
Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah
orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari
sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
[33]
Kamu beroleh
berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu
masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya ketika
sampai di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.
[34]
Dan bagi tiap-tiap
umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya
mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka;
binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah
Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan
sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk
taat -
[35]
Iaitu orang-orang
yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang
yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang
yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari
rezeki yang Kami berikan kepadanya.
[36]
Dan Kami jadikan
unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar
ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu;
oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas
tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah
sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang
yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu
(menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
[37]
Daging dan darah
binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah,
tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari
kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu
membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita
gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha
supaya baik amalnya.
[38]
Sesungguhnya Allah
membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.
[39]
Diizinkan berperang
bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana
sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk
menolong mereka (mencapai kemenangan).
[40]
Iaitu mereka yang
diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang
benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami
ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia
menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat
pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang
(kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama
Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;
-
[41]
Iaitu mereka (umat
Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya
mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah)
bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
[42]
Dan jika mereka
(yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah
pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi
Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul
masing-masing;
[43]
Dan (demikian juga)
kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
[44]
Dan juga penduduk
Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada
orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan
yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
[45]
Maka bukan sedikit
negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu
runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah
terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).
[46]
Oleh itu, bukankah
ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan
yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka
dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi
kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang
sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati
yang ada di dalam dada.
[47]
Dan mereka meminta
kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak
sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka):
sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai
seribu tahun dari yang kamu hitung.
[48]
Dan bukan sedikit
negeri-negeri yang Aku beri tempoh, sedang penduduknya berlaku zalim; kemudian
Aku menimpakannya dengan azab seksa; dan (ingatlah) kepada Akulah tempat
kembali.
[49]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai sekalian manusia, aku tidak lain hanyalah seorang Rasul
pemberi amaran yang menjelaskan keterangan-keterangan kepada kamu".
[50]
Maka orang-orang
yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang
mulia.
[51]
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami,
mereka itulah ahli neraka.
[52]
Dan tidaklah Kami
mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia
bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka
Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai
cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh
Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[53]
(Yang demikian)
kerana Allah hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan
bagi orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang
hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada
dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.
[54]
Dan juga supaya
orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar
dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati
mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang
beriman ke jalan yang lurus.
[55]
Dan orang-orang
kafir tetap di dalam keraguan terhadap Al-Quran hingga datang kepada mereka
saat kiamat secara mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang tidak ada
kebaikan untuk mereka.
[56]
Kuasa pemerintahan
pada hari kiamat itu tertentu bagi Allah. Ia akan menghukum di antara mereka.
Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga
yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan;
[57]
Dan orang-orang yang
kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh azab
seksa yang menghina.
[58]
Dan orang-orang yang
berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu
Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
[59]
Sudah tentu Allah
akan memasukkan mereka (yang tersebut itu) ke tempat yang mereka sukai
(Syurga), dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[60]
Demikianlah (janji
balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan
orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi
sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah) sesungguhnya
Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[61]
(Pertolongan yang
dijanjikan Allah tetap berlaku) kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu
keadaan sebagaimana kuasaNya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang
pada malam (silih berganti); dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Melihat.
[62]
Bersifatnya Allah
dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia
lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah
selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
[63]
Tidakkah engkau
melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi
ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta
lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan
hal-ehwal sekalian makhlukNya).
[64]
Segala yang ada di
langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua
Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[65]
Tidakkah engkau
melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu,
dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia
pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya;
sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat
manusia.
[66]
Dan Dia lah yang
menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu
semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.
[67]
Bagi tiap-tiap umat,
Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka
janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan
serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya
engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
[68]
Dan jika mereka
mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: "Allah Amat"
mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[69]
"Allah akan
menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu
berselisihan padanya".
[70]
Bukankah engkau
telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di
bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz);
sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.
[71]
Dan mereka menyembah
yang lain dari Allah iaitu benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang
keterangan membenarkannya, dan yang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan
mengenainya dan (ingatlah) tiadalah bagi orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan syirik) itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan (di dunia
dan di akhirat).
[72]
Dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan dapat
melihat pada muka orang-orang yang kafir itu tanda marah dan benci,
hampir-hampir mereka hendak menerkam dan menyerang orang-orang yang membacakan
ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian,
mahukah, aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi daripada apa yang
telah menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh
Allah kepada orang-orang yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali!
"
[73]
Wahai umat manusia,
inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan
bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari
Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka
berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu
dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya
lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang
diminta (daripada menunaikannya).
[74]
Mereka (yang kafir
musyrik) itu tidak menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya
(sebagaimana yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi
Maha Kuasa.
[75]
Allah memilih
utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[76]
Ia mengetahui apa
yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka; dan kepada
Allah jualah kembalinya segala urusan.
[77]
Wahai orang-orang
yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan
beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah
amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
[78]
Dan berjihadlah kamu
pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu
(untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung
sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim.
Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam
(Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan
kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang
memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).
Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah
kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya)
Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.