An-Nuur
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Ini ialah satu
"surah" yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta
Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat
(mengamalkannya).
[2]
Perempuan yang
berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari
keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas
kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu
beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa
yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
[3]
Lelaki yang berzina
(lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau
perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin
dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan
perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.
[4]
Dan orang-orang yang
melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian
mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh
kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya;
kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; -
[5]
Kecuali orang-orang
yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki
amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Dan orang-orang yang
menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang
mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada
syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama
Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; -
[7]
Dan sumpah yang kelima
(hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari
orang-orang yang dusta.
[8]
Dan bagi
menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia
bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu
sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; -
[9]
Dan sumpah yang
kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika
suaminya dari orang-orang yang benar.
[10]
Dan kalaulah tidak
kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah
tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah
kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).
[11]
Sesungguhnya
orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari
kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi
kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh
hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil
bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang
besar (di dunia dan di akhirat).
[12]
Sepatutnya semasa
kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan,
menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata:
"Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
[13]
Sepatutnya mereka
(yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana
mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah,
adalah orang-orang yang dusta.
[14]
Dan kalaulah tidak
kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di
akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut
campur dalam berita palsu itu; -
[15]
Iaitu semasa kamu
bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan
memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai
pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil,
pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
[16]
Dan sepatutnya
semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami
memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik
ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".
[17]
Allah memberi
pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian
ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[18]
Dan Allah
menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya
orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan
orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala
perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
[20]
Dan kalaulah tidak
kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah
tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan
ditimpa azab dengan serta-merta).
[21]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang
menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya)
melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak
kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang
pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah
membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya);
dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui
[22]
Dan janganlah
orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah
tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin
serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah
mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka
supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihani.
[23]
Sesungguhnya
orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya,
yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan
dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh
azab seksa yang besar;
[24]
Pada hari lidah
mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka
sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.
[25]
Pada hari itu Allah
akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka
mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha
Adil, lagi nyata keadilanNya.
[26]
(Lazimnya)
perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki
yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya)
perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki
yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah
bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat);
mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan
yang mulia.
[27]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah
kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada
penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat
(mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).
[28]
Maka sekiranya kamu
tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke
dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu
"baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian
adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang
kamu lakukan.
[29]
Tidaklah menjadi
salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak
didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui
akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
[30]
Katakanlah (wahai
Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan
mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat
Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
[31]
Dan katakanlah
kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung
kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka
melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau
anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau
anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka,
atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan
kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat
perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan
apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian
kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
[32]
Dan kahwinkanlah
orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang
yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin,
Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah
Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
[33]
Dan orang-orang yang
tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya
sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan
hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian
untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah
kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada
sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian);
dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.
Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala
mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup
di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah - sesudah
paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[34]
Dan sesungguhnya,
Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan
(hukum-hukum suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan
berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi
orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
[35]
Allah yang menerangi
langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran)
adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu
dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang
yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang
banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari
semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah
kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan
cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur
hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya
berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah
mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[36]
(Nur hidayah petunjuk
Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang
diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta
diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan
memuji Allah pada waktu pagi dan petang.
[37]
(Ibadat itu
dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh
perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan
mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang
padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
[38]
(Mereka mengerjakan
semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa
yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan
sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan
tidak terhitung.
[39]
Dan orang-orang yang
kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata
yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya)
sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang
disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari
amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di
sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya);
dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[40]
Atau (orang-orang
kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita
di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah
atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis -
apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama
sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang
peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh
sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).
[41]
Tidakkah engkau
mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih
kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung
yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut
keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan
memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
[42]
Dan bagi Allah
jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan kepada Allah sahaja tempat
kembali (sekalian makhluk).
[43]
Tidakkah engkau
melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian
Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal
berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan
Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang
ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya,
dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang
terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan
menghilangkan pandangan.
[44]
Allah menukarkan
malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi
pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya
berfikir.
[45]
Dan Allah
menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di
antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan
dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah
menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[46]
Demi sesungguhnya,
Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan
berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa
yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.
[47]
Dan (di antara orang-orang
yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata:
"Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat";
kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul)
sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi
orang-orang yang sebenarnya beriman.
[48]
Dan (bukti
berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah
RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan
serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika
keputusan tidak menguntungkan mereka).
[49]
Dan (sebaliknya)
jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya
dengan tunduk taat (menerima hukumnya).
[50]
(Mengapa mereka
bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur),
atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana
mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah
dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri
orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).
[51]
Sesungguhnya
perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke
pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu
di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami
taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
[52]
Dan sesiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta,
menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang
yang beroleh kemenangan.
[53]
Dan mereka (yang
munafik) bersumpah dengan nama Allah, dengan sebebar-benar sumpahnya: bahawa
jika engkau (wahai Muhammad) perintahkan mereka (keluar berjihad), tentulah
mereka akan keluar. Katakanlah: " Janganlah kamu bersumpah, (taat kamu
itu) taat yang terkenal (dustanya). Sesungguhnya Allah Amat Mendalam
pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan".
[54]
Katakanlah lagi (kepada
mereka): " Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah.
Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul
Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula
bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. Dan jika kamu taat
kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasul Allah
hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan
penjelasan yang terang nyata".
[55]
Allah menjanjikan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat
Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang
kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang
sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan
mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka;
dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami
ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak
mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur
ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
[56]
Dan dirikanlah kamu
akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah;
supaya kamu beroleh rahmat.
[57]
Janganlah engkau
menyangka orang-orang kafir itu akan dapat melemahkan kekuasaan Allah (daripada
menimpakan azab kepada mereka) di dunia, sedang tempat kembali mereka ialah
neraka; dan sesungguhnya neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
[58]
Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari
kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam
tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian
kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa
bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah
bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang
yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung
rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu
ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[59]
Dan apabila
kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin
sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu,
meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang
menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.
[60]
Dan mana-mana
perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan
berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya,
dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan
mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu
adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
[61]
Tidak ada salahnya
bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada
salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu
perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga
tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan
di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di
rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau
di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu
(sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah
emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau
di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama
atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu
memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah
cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang
menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.
[62]
Sesungguhnya
orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada
Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah
dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka
meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya.
Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah
orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin
kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi
sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah
untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[63]
Janganlah kamu
jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau
panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu
yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan
bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat
serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
[64]
Ketahuilah!
Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi.