Al-Furqaan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Maha berkat Tuhan
yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan
dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
[2]
Tuhan yang menguasai
pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak
mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan
takdir yang sempurna.
[3]
Dan mereka (yang
kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, yang
tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh
penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan benda-benda itu pula
tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah untuk dirinya
sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, atau pun membangkitkan
hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.
[4]
Dan orang-orang yang
kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang
direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain".
Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan
yang zalim dan dusta.
[5]
Dan mereka berkata
lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala,
yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu
dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)".
[6]
Katakanlah (Wahai
Muhammad): "Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala
rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[7]
Dan mereka pula
berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar
(seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya
malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya
(sebagai saksi yang membenarkannya).
[8]
"Atau diberikan
perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk ia
makan hasilnya". Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada
orang-orang yang beriman): "Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang
tidak siuman".
[9]
Lihatlah (Wahai
Muhammad) bagaimana mereka membuat untukmu berbagai misal perbandingan (yang
bukan-bukan), dengan sebab itu sesatlah mereka, sehingga mereka tidak mendapat
jalan petunjuk.
[10]
Maha Berkat Tuhan
yang jika Ia kehendaki tentulah Ia akan mengadakan untukmu (di dunia ini)
sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka katakan itu, iaitu syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta mengadakan untukmu
istana-istana (yang tersergam indah).
[11]
(Mereka bukan sahaja
mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami telah
sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang
menjulang-julang.
[12]
Apabila neraka itu melihat
mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang
menggelegak dan mengeluh.
[13]
Dan apabila mereka
dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka
dibelenggu, menjeritlah mereka di
[14]
(Lalu dikatakan
kepada mereka): "Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini
sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya
(kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)".
[15]
Bertanyalah (kepada
mereka): "Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau
Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?"
Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.
[16]
Mereka beroleh di
dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya.
Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang
dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).
[17]
Dan (ingatkanlah)
hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka
sembah yang lain dari Allah, lalu Ia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang
telah dipuja dan disembah itu): "Kamukah yang menyesatkan hamba-hambaKu
itu atau mereka yang sesat jalan?"
[18]
Mereka menjawab:
"Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut bagi kami
mengambil sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung yang disembah (dan
tidak patut juga kami menyeru orang menyembah kami); tetapi engkau (wahai Tuhan
kami) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka dan kepada datuk neneknya
sehingga mereka lalai dan cuaikan ajaran ugamaMu, dan menjadilah mereka kaum
yang binasa".
[19]
Maka (dikatakan pula
kepada golongan itu): "Sesungguhnya mereka (yang kamu puja dan sembah) itu
telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan kamu). Oleh itu,
kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh sebarang
pertolongan". Dan sesiapa yang berlaku zalim di antara kamu (wahai umat
manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan merasakannya azab seksa yang
besar.
[20]
Dan Kami tidak
mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang
tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari
kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah
kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu
sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).
[21]
Dan berkatalah pula
orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: "Mengapa tidak
diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?" Demi
sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri,
dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.
[22]
(Ingatkanlah) hari
mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi
orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata:
"Semoga kita jauh - dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)".
[23]
Dan Kami tujukan
perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka
pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.
[24]
Ahli-ahli Syurga
pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya.
[25]
Dan (sebutkanlah
perihal) hari segala langit pecah-belah (disertakan) dengan kumpulan awan (yang
berisi malaikat), dan (pada hari yang tersebut) diturunkan malaikat itu dengan
cara berpasuk-pasukan.
[26]
Kuasa pemerintahan
yang sebenar-benarnya pada hari itu adalah tertentu bagi Allah Yang Maha
melimpah rahmatNya, dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada
orang-orang kafir.
[27]
Dan (ingatkanlah)
perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan
dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia
dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?
[28]
"Wahai
celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi
sahabat karib!
[29]
"Sesungguhnya
dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia
disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia
(yang menjadikan dia sahabat karibnya)".
[30]
Dan berkatalah
Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini
satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".
[31]
Dan demikianlah Kami
jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan
cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan
mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).
[32]
Dan orang-orang yang
kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad
semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara
(beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad)
dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.
[33]
Dan mereka tidak
membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan
Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk
menangkis segala yang mereka katakan itu).
[34]
Orang-orang yang
akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya,
merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya.
[35]
Dan sesungguhnya
Kami telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya
Nabi Harun, sebagai menteri bersamanya.
[36]
Lalu Kami
perintahkan: "Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat
keterangan Kami"; maka (kesudahannya) Kami binasakan kaum itu
sehancur-hancurnya.
[37]
Dan (demikian juga)
kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan
mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi contoh) bagi umat
manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim; azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[38]
Dan (demikian juga
Kami telah binasakan) Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan banyak lagi
dalam zaman-zaman di antara masa yang tersebut itu.
[39]
Dan masing-masing,
telah Kami berikan kepadanya contoh tauladan yang mendatangkan iktibar, dan
masing-masing telah Kami hancurkan sehancur-hancurnya.
[40]
Dan demi
sesungguhnya, mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) telah melalui bandar
yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk, maka (mengapa mereka masih
berdegil), tidakkah mereka selalu dapat menyaksikannya? (Mereka tidak fikirkan
yang demikian itu satu balasan kufur) bahkan mereka adalah orang-orang yang
tidak ingatkan adanya kebangkitan hidup semula (untuk menerima balasan).
[41]
Dan apabila mereka
melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan (sambil
mereka berkata): "Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya?
[42]
"Sebenarnya ia
hampir-hampir dapat menyesatkan kami dari tuhan-tuhan kami, jika tidaklah
kerana kami tetap teguh menyembahnya". Dan mereka akan mengetahui kelak
ketika mereka melihat azab seksa: siapakah yang sebenar-benarnya sesat
jalannya.
[43]
Nampakkah (wahai
Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang
dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya
jangan sesat?
[44]
Atau adakah engkau
menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau
sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan
(bawaan) mereka lebih sesat lagi.
[45]
Tidakkah engkau
melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu
terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya
tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari
sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;
[46]
Kemudian Kami tarik
balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.
[47]
Dan Dia lah Tuhan
yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk
berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.
[48]
Dan Dia lah Tuhan
yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya,
dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,
[49]
Untuk Kami hidupkan
dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian
dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang
ramai.
[50]
Dan demi
sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di
antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta
bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku
kufur.
[51]
Dan kalau Kami
kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi
amaran.
[52]
Oleh itu, janganlah
engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah
dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar
dan bersungguh-sungguh.
[53]
Dan Dia lah Tuhan
yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan
dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara
kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.
[54]
Dan Dia lah Tuhan
yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka
dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa
(menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).
[55]
Dan mereka (yang musyrik)
menyembah benda-benda yang lain dari Allah, yang tidak memberi manfaat kepada
mereka (yang menyembahnya) dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada mereka
(yang tidak menyembahnya); dan orang yang kafir selalu menjadi pembantu (bagi
golongannya yang kafir) untuk menderhaka kepada tuhannya.
[56]
Dan tidaklah Kami
mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada
orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
[57]
Katakanlah:
"Aku tidak meminta kepada kamu sebarang balasan bagi apa yang aku
sampaikan kepada kamu, selain daripada berimannya seseorang yang mahu
mendapatkan jalan sampainya kepada keredaan Allah".
[58]
Dan berserahlah
engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah
dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa
hambaNya;
[59]
Tuhan yang
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam
enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang
Maha Pemurah); maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang Mengetahuinya.
[60]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): "Sujudlah kamu kepada
Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)!" Mereka bertanya: "Dan siapakah
Ar-Rahman itu? Patutkah kami sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan
kami?" Dan perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar
ingkar.
[61]
Maha Berkat Tuhan
yang telah menjadikan di langit, tempat-tempat peredaran bintang, dan
menjadikan padanya matahari serta bulan yang menerangi.
[62]
Dan Dia lah yang
menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat
(memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).
[63]
Dan hamba-hamba (Allah)
Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan
santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan
kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari
perkara yang tidak diingini;
[64]
Dan mereka (yang
diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka
pada malam hari dengan sujud dan berdiri,
[65]
Dan juga mereka yang
berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari
kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan
[66]
Sesungguhnya neraka
Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk";
[67]
Dan juga mereka
(yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah
melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka
adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
[68]
Dan juga mereka yang
tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa
yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang
dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang
demikian, akan mendapat balasan dosanya;
[69]
Akan digandakan
baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu
dengan menerima kehinaan, -
[70]
Kecuali orang yang
bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu,
Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[71]
Dan sesiapa yang
bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat
kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat;
[72]
Dan mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat
melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan
sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri
daripadanya.
[73]
Dan juga mereka
(yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan
dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya
secara orang-orang yang pekak dan buta.
[74]
Dan juga mereka
(yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat
keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah
kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
[75]
Mereka itu semuanya
akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran
mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di
dalamnya,
[76]
Mereka kekal di
dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat
tinggal.
[77]
Katakanlah (wahai
Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan menghargai kamu
kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui
bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana
doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku
itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi
itu) akan menimpa kamu".