Ar-Ruum
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Orang-orang Rom telah
dikalahkan -
[3]
Di negeri yang dekat
sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya -
[4]
Dalam masa tidak
sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan,
sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya
(kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
[5]
Dengan kemenangan
yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya,
dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Demikian dijanjikan
Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia
tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[7]
Mereka hanya
mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka
tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
[8]
Patutkah mereka
merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam
hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan
langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan
ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu,
(juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara
manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
[9]
Tidakkah mereka
telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana
kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat
daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta
memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan
orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa
keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan
kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak
sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[10]
Sesudah dibinasakan
di dunia maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah
seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat
keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.
[11]
Allah memulakan
kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari
kiamat), kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).
[12]
Dan semasa
berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan dia membisu serta
berputus asa.
[13]
Dan makhluk-makhluk
yang mereka jadikan sekutu-sekutu Allah itu tidak ada satupun daripadanya pemberi
syafaat melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal mereka berlaku kufur di
dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka sekutukan (dengan Allah)
itu.
[14]
Dan semasa
berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan
(setelah selesai perbicaraan).
[15]
Adapun kumpulan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di
taman Syurga dalam keadaan bersuka ria.
[16]
Dan sebaliknya
kumpulan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta
mendustakan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab
seksa selama-lamanya.
[17]
(Setelah kamu
mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada
pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.
[18]
Serta pujilah Allah
yang berhak menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di
bumi, dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang dan
semasa kamu berada pada waktu zuhur.
[19]
Ia mengeluarkan
sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari
sesuatu yang hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian
itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).
[20]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia
menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat
kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.
[21]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan
untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran)
bagi orang-orang yang berfikir.
[22]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian
langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berpengetahuan.
[23]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya
kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari
limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian
mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat
pengajaran).
[24]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan
kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan
(dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan
bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi
keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.
[25]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah
terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah
dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan
(supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar
(dari kubur masing-masing).
[26]
Dan sekalian makhluk
yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap
tunduk kepada hukum peraturanNya.
[27]
Dan Dia lah yang
memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula
sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya.
Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[28]
Ia mengemukakan
kepada kamu satu misal perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu:
Relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu
menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada
kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama-sama
berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta benda itu
dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat
demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu - yang setaraf dengan)
diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi
orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.
[29]
Orang-orang yang
zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik)
dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi
petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya
sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan
mereka dari azab.
[30]
(Setelah jelas
kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu,
wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama
Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari
semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada
ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia
tidak mengetahui.
[31]
Hendaklah kamu
(wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah
(dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan
kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari
mana-mana golongan orang musyrik -
[32]
Iaitu orang-orang
yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan
masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira
dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).
[33]
Dan apabila manusia
disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan
keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi
mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka
mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;
[34]
Dengan sebab itu,
mereka mengingkari nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka
(dikatakan kepada mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara),
kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".
[35]
Pernahkah Kami
menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia
menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?
[36]
Dan apabila Kami
beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa
daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah
dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
[37]
(Mengapa mereka
bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka)
bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan
adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya
(sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan
Allah) bagi orang-orang yang beriman.
[38]
Maka (bagi
menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta
orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik
bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah
orang-orang yang berjaya.
[39]
Dan (ketahuilah
bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah
kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang
di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian
sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah
semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh
pahala berganda-ganda.
[40]
Allah jualah yang
mencipta kamu; kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan
kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk
yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun
dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa
yang mereka sekutukan (denganNya).
[41]
Telah timbul
berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah
hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang
mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[42]
Katakanlah:
"Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang
yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang
musyrik".
[43]
(Jika demikian
keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah ugama yang betul,
sebelum datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada hari itu
manusia akan berpecah (kepada dua golongan).
[44]
Sesiapa yang kufur
ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan
sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah
orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing;
[45]
Kerana Allah akan
membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya.
Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.
[46]
Dan di antara
tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin
sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit
dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan
juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya
supaya kamu bersyukur.
[47]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul
kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya
keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang
berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab
Kami menolong orang-orang yang beriman.
[48]
Allah jualah yang
menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah
menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan
menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari
celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang
dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;
[49]
Dan sesungguhnya
mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang
telah berputus asa.
[50]
Maka lihatlah olehmu
kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya
(dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian
kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati.
Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[51]
Dan demi
sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat
tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali
kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).
[52]
(Maka janganlah
engkau berdukacita - wahai Muhammad - terhadap keadaan mereka yang demikian),
kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati
(hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang
pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan
keingkarannya).
[53]
Dan engkau tidak
akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya) supaya
menjauhi kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu)
melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat keterangan Kami,
kerana mereka orang-orang yang menurut perintah.
[54]
Allah yang
menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia
menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua
beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[55]
Dan semasa
berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan
bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat
sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari
memperkatakan yang benar).
[56]
Dan (bagi
menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: "Demi
sesungguhnya, kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai
ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang
dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui
(kebenarannya)".
[57]
Maka pada hari itu
tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka
kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk
memohon keredaan Allah.
[58]
Dan demi
sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan
perbandingan di dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau membawa
kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu akan
berkata: "Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan
palsu".
[59]
Demikianlah Allah
meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui
(kebenaran).
[60]
Oleh itu,
bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah
orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau
resah gelisah.