Luqman
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Ini ialah ayat-ayat
Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
[3]
Menjadi hidayah
petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik
[4]
Iaitu orang-orang
yang mendirikan sembahyang, dan memberi zakat, serta mereka yakin tentang
adanya hari akhirat.
[5]
Mereka itulah yang tetap
mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang
berjaya.
[6]
Dan ada di antara
manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita
dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan
(dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang
pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai
ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
[7]
Dan apabila dibacakan
kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada
penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab
yang tidak terperi sakitnya.
[8]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang
penuh dengan berbagai nikmat,
[9]
kekalan mereka di
dalamnya. Demikian dijanjikan Allah - janji yang tetap benar; dan Dia lah jua
yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[10]
Ia menciptakan
langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia
mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak
menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan
Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis
tanaman yang memberi banyak manfaat.
[11]
Ini (semuanya
adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah
diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)?
(Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan
syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.
[12]
Dan sesungguhnya
Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan
kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)".
Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya
sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada
Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[13]
Dan (ingatlah)
ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat
kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan
Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar".
[14]
Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya
dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir
menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan
yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan
(ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
[15]
Dan jika mereka
berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau -
dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau
taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.
Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan
amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya,
maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.
[16]
(Luqman menasihati
anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada
sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta
ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap
akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya
Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang
tersembunyi.
[17]
"Wahai anak
kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta
laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas
segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
[18]
"Dan janganlah
engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak
suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[19]
"Dan
sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa
berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
[20]
Tidakkah kamu memperhatikan
bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan
yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir
dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah
mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau
sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang
menerangi kebenaran.
[21]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah
diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:" (Tidak), bahkan Kami hanya
menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah
mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu
(melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang
marak menjulang?
[22]
Dan sesiapa yang
berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha
mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan
(tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala
urusan.
[23]
Dan sesiapa yang
kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang
kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan
memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
[24]
Kami akan berikan
mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan
memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.
[25]
Dan sesungguhnya
jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:
"Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan
menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad):
"Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang
demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui
(hakikat tauhid dan pengertian syirik).
[26]
Allah jua yang
memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua
yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[27]
Dan sekiranya segala
pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan
dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis
Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[28]
(Bagi Allah Yang
Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal
membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya,
hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[29]
Tidakkah engkau
memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada
malam (silih berganti), dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah
makhluk-makhlukNya)? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang
telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[30]
Bersifatnya Allah
dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah
Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka
sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
Dia lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
[31]
Tidakkah engkau
memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat Kurnia
Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda
kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan
dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh
pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.
[32]
Dan (orang-orang
yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak
yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua
berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya
semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka
sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada
Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti
kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi
amat tidak mengenang budi.
[33]
Wahai sekalian manusia,
bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya
seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan
seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa
masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka
janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu
diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani
melanggar perintah Allah.
[34]
Sesungguhnya di sisi
Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang
menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang
ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul
mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan
tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.