An-Nisaa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai sekalian manusia!
Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri
yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya
(isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan -
lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu
meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati
(mengawas) kamu.
[2]
Dan berikanlah
kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu
tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta
mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang
demikian) itu adalah dosa yang besar.
[3]
Dan jika kamu takut
tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin
dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari
perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang
tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah
dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.
Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak
melakukan kezaliman.
[4]
Dan berikanlah kepada
perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang
wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu
sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal)
itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
[5]
Dan janganlah kamu
berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta
(mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk
kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja
dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah
kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
[6]
Dan ujilah anak-anak
yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika
kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka)
telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka
hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang
melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka
dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya
maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah
ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan
kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang
menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan
segala yang kamu lakukan).
[7]
Orang-orang lelaki
ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang
perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama
ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang
telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
[8]
Dan apabila kerabat
(yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang
miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada
mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang
baik.
[9]
Dan hendaklah takut
(kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh)
orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula
meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka
akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka;
oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka
mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).
[10]
Sesungguhnya orang-orang
yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah
menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api
neraka yang menyala-nyala.
[11]
Allah perintahkan
kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian
seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika
anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga
dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang
sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu
bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang
ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati
tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka
bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa
orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.
(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh
si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu,
kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak
manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian
masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah;
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[12]
Dan bagi kamu satu
perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak
mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu
perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang
mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka
(isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu
tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka
(isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan,
sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.
Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak
meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki
(seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari
keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu)
lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat
sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang
diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang
tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap
satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[13]
Segala hukum yang
tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah
dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang
amat besar.
[14]
Dan sesiapa yang
derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan
dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya
azab seksa yang amat menghina.
[15]
Dan sesiapa yang
melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah
empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.
Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut,
maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka
sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar
(dari hukuman itu).
[16]
Dan (mana-mana) dua
orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit
kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka
bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah
mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha
Luas rahmatNya.
[17]
Sesungguhnya
penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang
melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera
bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya;
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[18]
Dan tidak ada
gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga
apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia:
"Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu
sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang
mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[19]
Wahai orang-orang
yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan
paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan
mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah
berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang
nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara
yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan
tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi
kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci
itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
[20]
Dan jika kamu hendak
mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang
kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu)
harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu.
Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan)
dosa yang nyata?
[21]
Dan bagaimana kamu
tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin
antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun
mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?
[22]
Dan janganlah kamu
berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu
kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu
adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi
seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).
[23]
Diharamkan kepada
kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan
anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan
saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak
saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan
saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang
dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi
kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan
mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu
berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih
kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi
isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[24]
Dan (diharamkan juga
kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya
yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan
hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu
perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari
(isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian
mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi
isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna),
sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa
mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami
isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar
pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[25]
Dan sesiapa di
antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan
perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara
kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba
perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui akan iman
kamu; kamu masing-masing (suami yang merdeka dan isteri dari hamba - abdi itu)
adalah berasal sama (dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan
mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya menurut yang patut.
Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan
bukan perempuan-perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai
teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan itu) berkahwin,
lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina), maka mereka dikenakan separuh dari
(hukuman) seksa yang ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka.
(Hukum perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang berkahwin dengan
hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-orang yang bimbang melakukan zina
di antara kamu; dan sabarnya kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba
perempuan) itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[26]
Allah menghendaki
(dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah
untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan
aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang
soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[27]
Dan Allah hendak
(membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang
(yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu)
hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan
penyelewengan yang besar bahayanya.
[28]
Allah (sentiasa)
hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan
berkeadaan lemah.
[29]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu
dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan
perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah
kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani
kamu.
[30]
Dan sesiapa berbuat
demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api
neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada
sesiapapun yang dapat menghalangnya).
[31]
Jika kamu menjauhkan
dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan
kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat
yang mulia (syurga).
[32]
Dan janganlah kamu
terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan
kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang
lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana
telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan
orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka
berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[33]
Dan bagi tiap-tiap
(lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang
berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan
mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk
bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada
mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[34]
Kaum lelaki itu
adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh
kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan)
atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah
membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka
perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya),
dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara)
ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.
Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz)
hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka
di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan
pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu,
maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya
Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[35]
Dan jika kamu
bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah
"orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari
keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang
tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah
akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.
[36]
Dan hendaklah kamu
beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua;
dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan
anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan
jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar,
dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;
[37]
Iaitu orang-orang
yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua
yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami
telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;
[38]
Dan juga orang-orang
yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan
mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari
akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka
seburuk-buruk kawan ialah syaitan.
[39]
Dan apakah
(kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari
akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan
Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan
mereka.
[40]
Sesungguhnya Allah
tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan
kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan
menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.
[41]
Maka bagaimanakah
(keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan
dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap
perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai
saksi terhadap umatmu ini?
[42]
Pada hari itu
orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka
disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat
menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.
[43]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu
dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu
katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub
(berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi
bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di
antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan,
kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah
kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu
dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[44]
Tidakkah engkau
memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari
Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan), dan
mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.
[45]
Dan Allah lebih
mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh
kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah
Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka).
[46]
Di antara
orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab
Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi
Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati):
"Kami tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah
dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka
mengatakan): "Raaeina"; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya
memutar belitkan perkataan mereka dan mencela ugama Islam. Dan kalaulah mereka
berkata: "Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian
kepada kami", tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih
betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh
itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka).
[47]
Wahai orang-orang
yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan
(Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami
menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata -
tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti
rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah
melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka - Yahudi) yang melanggar larangan
bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.
[48]
Sesungguhnya Allah
tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua),
dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
[49]
Tidakkah engkau
perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan
(memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah
jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan
balasan mereka) sedikitpun.
[50]
Lihatlah (wahai
Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap
Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata.
[51]
Tidakkah engkau
perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah
diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda
yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata
kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu)
lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi
Muhammad s.a.w).
[52]
(Kaum Yahudi yang
demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan
sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati
sesiapa pun yang boleh menolongnya.
[53]
Patutkah ada bagi
mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak,
bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun
kebaikan kepada manusia.
[54]
Atau patutkah mereka
dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat
Nabi dan ugama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah
kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab
(ugama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka
kerajaan yang besar.
[55]
Maka di antara
mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa yang telah di
kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan ada pula di antara
mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan cukuplah dengan neraka
jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa mereka).
[56]
Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan
membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus,
Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab
sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[57]
Dan orang-orang yang
beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci
bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi.
[58]
Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,
(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
[59]
Wahai orang-orang
yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan
kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah)
RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
[60]
Tidakkah engkau
(hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa
mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada
(Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak
berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar
kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan
kesesatan yang amat jauh.
[61]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang
telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau
melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan
bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.
[62]
Maka bagaimana
halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang
telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil
bersumpah: "Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan
kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)".
[63]
Mereka itulah
orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh
itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta
katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka.
[64]
Dan Kami tidak
mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan
kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai
Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun
untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani.
[65]
Maka demi Tuhanmu
(wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan
engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka,
kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa
yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan
sepenuhnya.
[66]
Dan sesungguhnya
kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): "Bunuhlah diri kamu
sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu", nescaya mereka tidak
akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau
mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah
diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan
lebih meneguhkan (iman mereka).
[67]
Dan (setelah mereka
berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka - dari sisi Kami
- pahala balasan yang amat besar;
[68]
Dan tentulah Kami
pimpin mereka ke jalan yang lurus.
[69]
Dan sesiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga)
bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada
mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang
Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi
teman rakan (kepada orang-orang yang taat).
[70]
Yang demikian itu
adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan
balasan pahalanya).
[71]
Wahai orang-orang
yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh),
kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau
(jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.
[72]
Dan sesungguhnya ada
di antara kamu: orang-orang yang sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang
lain, daripada turut mara ke medan perang). Kemudian kalau kamu ditimpa
kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata: "Sesungguhnya Allah telah
mengurniakan nikmat kepadaku, kerana aku tidak turut berperang bersama-sama
mereka".
[73]
Dan demi
sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia (kemenangan) dari Allah, sudah
tentu ia mengatakan (dengan sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan kasih
mesra antara kamu dengannya: "Alangkah baiknya kalau aku turut serta
bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang amat besar?"
[74]
Oleh itu,
orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada
(kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah
(untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati
(gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala
yang besar.
[75]
Dan apakah yang
menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk
menegakkan ugama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas
dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa
dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah)
ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami
dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan
jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari
ancaman musuh)".
[76]
Orang-orang yang
beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang
pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan
pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah
lemah.
[77]
Tidakkah engkau
(hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan
kepada mereka: "Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan
perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah
zakat". (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka
diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada
manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun
lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami,
mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak
biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?"
Katakanlah (wahai Muhammad): "Harba benda yang menjadi kesenangan di dunia
ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari
akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih
mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit
pun".
[78]
Di mana jua kamu
berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam
benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan
(kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan
kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari
(sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad):
"Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi
Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami
perkataan (nasihat dan pengajaran)?
[79]
Apa jua kebaikan
(nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua
bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami
telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai
seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang
membuktikan kebenaran hakikat ini).
[80]
Sesiapa yang taat
kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa
yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad),
kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka
dari melakukan kesalahan).
[81]
Dan mereka (golongan
munafik) berkata: "(Kami) taat", kemudian apabila mereka keluar dari
majlismu, segolongan dari mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang
lain daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu). Sedang Allah
(perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka rancangkan itu; maka
berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka, (janganlah dihiraukan apa yang
mereka rancangkan), serta berserahlah kepada Allah; kerana cukuplah Allah
menjadi Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).
[82]
Patutkah mereka
(bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu
(datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang
banyak di dalamnya.
[83]
Dan apabila datang
kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus
menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada
Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di
antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak
mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana
limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas)
menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya
dan luas ilmunya di antara kamu).
[84]
Oleh itu,
berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari
pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri.
Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang
dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang
yang kafir itu. Dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah
berat azab seksaNya.
[85]
Sesiapa yang
memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala)
daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan
mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[86]
Dan apabila kamu
diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam),
maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau
balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung
tiap-tiap sesuatu.
[87]
Allah, tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu
pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang
lebih benar perkataannya daripada Allah?
[88]
Maka apakah yang
menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua golongan terhadap kaum munafik itu,
padahal Allah telah menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa
yang telah mereka usahakan? Adakah kamu pula hendak memberi pertunjuk kepada
orang-orang yang telah disesatkan oleh Allah? Padahal sesiapa yang telah
disesatkan oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk
menyelamatkannya.
[89]
. Mereka suka kalau
kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan
yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu
mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga
mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau
mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di
mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang
pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;
[90]
Kecuali orang-orang
yang pergi (meminta perlindungan) kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian
setia antara kamu dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu
sedang hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi kaumnya.
Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan mereka berkuasa melawan kamu,
kemudian tentulah mereka memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan
kamu (dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak memerangi
kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak menjadikan
bagi kamu sesuatu jalan (yang membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.
[91]
Kamu juga akan
dapati golongan-golongan yang lain (yang pura-pura Islam) supaya mereka beroleh
aman dari pihak kamu, dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya) supaya
mereka beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap kali
mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera terjerumus ke
dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan kamu (dan terus mengganggu
atau berpihak kepada musuh), dan (tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu
dan juga (tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka
hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka di mana sahaja kamu
menemuinya; kerana merekalah orang-orang yang Kami jadikan bagi kamu alasan
yang terang nyata untuk bertindak terhadapnya.
[92]
Dan tidak harus sama
sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan
tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka
(wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman
serta membayar "diah" (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada
ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya).
Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang
memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar
kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia
(orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada
ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar
"diah" (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan
seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari
hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan
berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima
taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.
[93]
Dan sesiapa yang
membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam,
kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta
menyediakan baginya azab seksa yang besar.
[94]
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela
Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya),
dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan
kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat):
"Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan
tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan
dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu)
kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga
keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan
memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan
nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan
janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati
dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.
[95]
Tidaklah sama
keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan
orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran -
dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela
Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang
dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak
turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu
(dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga),
dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal
duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang
amat besar;
[96]
Iaitu beberapa
darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[97]
Sesungguhnya
orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya
diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas
oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:
"Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka
menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi".
Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan
kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu
keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu
adalah seburuk-buruk tempat kembali.
[98]
Kecuali orang-orang
yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang
tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula
mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).
[99]
Maka mereka (yang
demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah
Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[100]
Dan sesiapa yang
berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia
akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang
makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada
Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya
telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[101]
Dan apabila kamu
musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan"
(memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.
Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
[102]
Dan apabila engkau
(wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau
mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari
mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka
menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka
hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan
hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana
menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah)
bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta
menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai
lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat
menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa
meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan
disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah
berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu
azab seksa yang amat menghina.
[103]
Kemudian apabila
kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan
mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka
dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya
sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang
beriman, yang tertentu waktunya.
[104]
Dan janganlah kamu
lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau
kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita
sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang
mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[105]
Sesungguhnya Kami
menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran,
supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah
tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela
bagi orang-orang yang khianat.
[106]
Dan hendaklah engkau
memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[107]
Dan janganlah engkau
berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat,
lagi sentiasa berdosa.
[108]
Mereka
menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak
menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada
bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang
tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi
PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
[109]
Sedarlah! Kamu ini
adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah
membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang
akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak?
Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang
disediakan oleh Allah)?
[110]
Dan sesiapa yang
melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat)
kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[111]
Dan sesiapa yang
mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk
(menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[112]
Dan sesiapa yang
melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang
yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat
dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.
[113]
Dan kalaulah tidak
kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya
berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak
menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri;
dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan
(selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah
(pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak
mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah
besar.
[114]
Tidak ada kebaikan
pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang
menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia.
Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah,
tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
[115]
Dan sesiapa yang
menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran
pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan
orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan
(kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan
memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah
seburuk-buruk tempat kembali.
[116]
Sesungguhnya Allah
tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa
jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa
yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah
sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
[117]
Apa yang mereka
sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang
lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan
yang derhaka;
[118]
Yang telah dilaknat
oleh Allah, dan yang telah mengatakan: "Demi sesungguhnya, aku akan
mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi
pengikutku);
[119]
"Dan demi
sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi
sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi
sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak),
lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh
mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil
Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya
rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.
[120]
Syaitan sentiasa
menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan
angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain
hanyalah tipu daya semata-mata.
[121]
Mereka itu, tempat akhirnya
ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri
daripadanya.
[122]
Dan orang-orang yang
beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya,
sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya
daripada Allah?
[123]
(Balasan yang baik
yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan
kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan
Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan
itu, dan ia pula tidak akan mendapat - selain dari Allah - seorang pun yang
akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.
[124]
Dan sesiapa yang
mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka
mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau
dikurangkan balasannya) sedikitpun.
[125]
Dan tidak ada yang
lebih baik ugamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah
(dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut
ugama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana
itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.
[126]
Dan bagi Allah
jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Allah sentiasa
Meliputi (pengetahuanNya dan kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu.
[127]
Dan mereka meminta
fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan.
Katakanlah olehmu: "Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu
mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan
kepada kamu dalam Kitab (Al-Quran) ini mengenai perempuan-perempuan yatim yang
kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan
yang kamu suka berkahwin dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak yang lemah
(yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan
keperluan) anak-anak yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang
kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahuinya."
[128]
Dan jika seorang
perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian),
atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat
perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana
perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat
bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat
semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam
pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya
Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[129]
Dan kamu tidak akan dapat
berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh
(hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat
sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain
seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki
(keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang
zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[130]
Dan jika keduanya
bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah
kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha
Bijaksana.
[131]
Dan bagi Allah
jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan demi sesungguhnya,
Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan
juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan jika kamu
kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya,
lagi Maha Terpuji.
[132]
Dan bagi Allah
jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan cukuplah Allah sebagai
Pengawal (yang mentadbirkan dan menguasai segala-galanya).
[133]
Jika Allah
menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan
gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang
demikian itu.
[134]
Sesiapa yang mahukan
pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah
disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa
Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
[135]
Wahai orang-orang
yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan
keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah,
sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.
Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu
terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu
bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu,
janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan.
Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi
saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa
yang kamu lakukan.
[136]
Wahai orang-orang
yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab
Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada
Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang
kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan
Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan
kesesatan yang amat jauh.
[137]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman
semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah
lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka,
dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.
[138]
Sampaikanlah khabar
berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka
azab seksa yang tidak terperi sakitnya;
[139]
(Iaitu) orang-orang
yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan
orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari
kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya
kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya).
[140]
Dan sesungguhnya
Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran),
iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan
diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul)
dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana
sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti
mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang
kafir di dalam neraka jahannam.
[141]
(Mereka yang munafik
itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu)
kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan),
berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut berjuang
bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta
rampasan perang)". Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang
menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir
itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari
(serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia
perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari
kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir
untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
[142]
Sesungguhnya
orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan
perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula
tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan
munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan
malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada
manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula
tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali
(jarang-jarang).
[143]
Mereka berkeadaan
"muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan
kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula
berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh
Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk
menyelamatkannya.
[144]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat
dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan
alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?
[145]
Sesungguhnya
orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari
(lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat
sesiapa pun yang boleh menolong mereka.
[146]
Kecuali orang-orang
yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang
salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta mengerjakan
ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu
ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah
akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.
[147]
Apa gunanya Allah
menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman
(kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan
orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan
mereka).
[148]
Allah tidak suka
kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk
mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[149]
Jika kamu melahirkan
sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang
dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha
Kuasa.
[150]
Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang
yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya,
dan (orang-orang yang) berkata: "Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul
itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain", serta bertujuan hendak
mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:
[151]
Mereka itulah
orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami telah menyediakan bagi
orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina.
[152]
Dan orang-orang yang
beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan mereka pula tidak membeza-bezakan
(imannya terhadap) seseorang pun di antara Rasul-rasul itu, (maka) mereka yang
demikian, Allah akan memberi mereka pahala mereka. Dan (ingatlah) adalah Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[153]
Ahli Kitab (kaum
Yahudi) meminta kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada
mereka sebuah Kitab dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana
sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar dari itu. Mereka
berkata: "(Wahai Musa) perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata
(supaya kami dapat melihatNya dan percaya kepadaNya)". Lalu mereka
disambar oleh petir dengan sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah);
kemudian mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan yang
sedemikian itu (ketika mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi
Musa kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).
[154]
Dan Kami telah
mengangkat "Gunung Tursina" ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar
akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami
perintahkan mereka: "Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan
merendah diri" dan Kami juga perintahkan mereka: "Janganlah kamu
melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu", dan Kami
telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan
mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).
[155]
Maka (Kami laknatkan
mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur
ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi
dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: "Hati
kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi
Muhammad)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah
memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak
beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).
[156]
Demikian juga (Kami
laknatkan mereka) dangan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap
Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya.
[157]
Dan juga
(disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah
membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak
membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan
bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya
orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka
berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada
sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut
sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.
[158]
Bahkan Allah telah
mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[159]
Dan tidak ada
seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa
sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap
mereka.
[160]
Maka disebabkan
kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas
mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan
disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.
[161]
Dan juga
(disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya,
dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi
dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang
kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[162]
Tetapi orang-orang
yang teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang
yang beriman, sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu
(Al-Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu daripadamu, - khasnya
orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan orang-orang yang menunaikan zakat,
serta yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; mereka itulah yang Kami akan
berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.
[163]
Sungguhnya Kami
telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah
memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian
daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi
Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi
Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga
Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.
[164]
Dan (Kami telah
mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu
sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan
Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung,
tidak ada perantaraan).
[165]
Rasul-rasul (yang
Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang
beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat
maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan
untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan
Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[166]
(Orang-orang kafir
itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai
Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang
telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya, dan malaikat
juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran
Al-Quran ini).
[167]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir serta menghalang orang-orang lain dari jalan Allah
(ugama Islam), sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
[168]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir serta berlaku zalim, Allah tidak sekali-kali akan
mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kepada mereka:
[169]
Selain dari jalan
neraka jahanam, yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya; dan balasan
yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[170]
Wahai sekalian umat
manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w)
dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang
demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur ingkar (maka
kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana
sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; dan Allah
sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
[171]
Wahai Ahli kitab
(Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu,
dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar;
sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan
Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh
daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan
janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada
mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah
ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah
jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi
Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).
[172]
(Nabi Isa) Al-Masih
tidak sekali-kali enggan dan angkuh daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian
juga (sikap) malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah). Dan sesiapa yang
enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan memperhambakan diri) kepada
Allah, serta ia berlaku sombong takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka
semua kepadaNya.
[173]
Sesudah itu,
orang-orang yang beriman beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala
(balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka.
Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan berlaku sombong
takbur, maka Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya, dan mereka pula tidak akan memperoleh sesiapa pun - yang lain dari
Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.
[174]
Wahai sekalian umat
manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami
pula telah menurunkan kepada kamu (Al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang
menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan
yang kekal di akhirat kelak).
[175]
Oleh itu,
orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran
Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (yang khas
iaitu Syurga) dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira), dan Allah akan
menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan ugama Islam), yang membawa
kepadaNya.
[176]
Mereka (orang-orang
Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah
Kalaalah). Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara
Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia
mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu
perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati; dan ia pula (saudara lelaki
itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya
tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya
mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya
mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian
seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan". Allah menerangkan
(hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.