Al Maaidah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai orang-orang
yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan
bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang
akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang
ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan
ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa
yang Ia kehendaki.
[2]
Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai
syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai
binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai
kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke
Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka
(dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat
Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah
kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana
mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu
menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)
dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha
Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[3]
Diharamkan kepada
kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar
mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang
disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati
dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk,
dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum
habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga)
kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu
adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa
(daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat
perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar
kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari
ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan
nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.
Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang
diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia
memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[4]
Mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi
mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan)
yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang
pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih
binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu)
sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa
yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu
melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri
dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan
hisabNya"
[5]
Pada masa ini
dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan
makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi
kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu
memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan
perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan
yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari
kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu
beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah
bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan
simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka
sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak
dari orang-orang yang rugi.
[6]
Wahai orang-orang
yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas
kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan
kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua
belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka
bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau
dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air,
atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan
mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu:
sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah
tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia
berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya
kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
[7]
Dan kenanglah nikmat
Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang
telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami
taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati)
yang ada di dalam dada.
[8]
Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil
itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[9]
Allah menjanjikan
kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh
keampunan dan pahala yang besar.
[10]
Dan orang-orang yang
kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran), merekalah ahli neraka.
[11]
Wahai orang-orang
yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu
ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk
menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu.
Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah
bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri.
[12]
Dan demi
sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka
menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari
kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan
Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu
(memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang,
serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta
menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah
(dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik
(bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan
dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu
sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang
betul"
[13]
Maka dengan sebab
mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami
jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka
sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan
memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka
melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka
dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat
yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh
itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan,
kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik
amalannya.
[14]
Dan di antara
orang-orang yang berkata:" Bahawa kami ini orang-orang Nasrani", Kami
juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan
(meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu
Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke
hari kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka
kerjakan.
[15]
Wahai Ahli Kitab!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan
menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum)
yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan
tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah
datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah
Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
[16]
Dengan (Al-Quran)
itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada
sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari
gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan
izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
[17]
Demi sesungguhnya,
kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni
Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana
siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu
membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di
muka bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan
langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua
yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[18]
Orang-orang Yahudi
dan Nasrani berkata: "Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat
disayangiNya". Katakanlah (wahai Muhammad): "(Kalau betul demikian),
maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu? (Sebenarnya
bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah manusia
biasa di antara manusia-manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya), demikian
juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah
kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya,
dan kepada Allah jualah tempat kembali"
[19]
Wahai Ahli Kitab!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad, s.a.w) yang
menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan)
Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada
hari kiamat): "Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa berita
gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami)". Kerana
sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira
dan juga pembawa amaran. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[20]
Dan (ingatkanlah
mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai
kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia
menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu
bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia
memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun
dari umat-umat (yang ada pada masa itu)".
[21]
(Nabi Musa berkata
lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah
diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik
undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang
rugi (di dunia dan di akhirat)".
[22]
Mereka menjawab:
"Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan
sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya;
kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke
negeri itu)".
[23]
Berkatalah dua
lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang
telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka
melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah
orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah
(setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang
beriman"
[24]
Mereka (menolak
dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri
itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah
engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk
menunggu".
[25]
Nabi Musa (merayu
kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat
menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu
pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".
[26]
Allah berfirman:
"Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama
empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang
masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita
terhadap kaum yang fasik itu".
[27]
Dan bacakanlah
(wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan
Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua
mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak
diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya
aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima
(korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
[28]
"Demi
sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku
tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana
sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
[29]
"Sesungguhnya
aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri.
Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan
orang-orang yang zalim".
[30]
Maka nafsu jahat
(Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia
membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
[31]
Kemudian Allah
hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya,
diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil)
berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku
tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat
saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang
menyesal.
[32]
Dengan sebab (kisah
pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya
sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan
membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka
seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga
keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada
mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian,
sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi
orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.
[33]
Hanyasanya balasan
orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan
di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan
tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau
dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau
dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang
demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak
mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
[34]
Kecuali orang-orang
yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman
itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[35]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan
kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan
berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh
kejayaan.
[36]
Sesungguhnya
orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala
yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka
menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan
itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
[37]
Mereka sentiasa
berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali
akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.
[38]
Dan orang lelaki
yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan
mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga
sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
[39]
Maka sesiapa yang
bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal
usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[40]
Tidakkah engkau
mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan
mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya).
Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai Rasul Allah!
Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera
menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan
mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman;
demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka
mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan
lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini
mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari
tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika disampaikan kepada
kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada
kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan sesiapa yang dikehendaki Allah
kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun
(yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak
mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat
kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.
[42]
Mereka sangat suka
mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah
dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara
mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari
mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat
membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara
mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil.
[43]
Dan (sungguh
menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi
mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling
pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah
orang-orang yang beriman.
[44]
Sesungguhnya Kami
telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang
menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah)
menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan
pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara
dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula
adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu
janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu
(dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan
janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit
(kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa
yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana
mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
[45]
Dan kami telah
tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan
jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan
telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka
hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya,
maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum
dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim.
[46]
Dan Kami utuskan
Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil),
untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah
berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya
yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya
dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[47]
Dan hendaklah Ahli
Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya;
dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,
maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
[48]
Dan Kami turunkan
kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk
mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan
untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka
(Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah
engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang
telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara
kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti
oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu
satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu
(dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu
berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada
Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa
yang kamu berselisihan padanya.
[49]
Dan hendaklah engkau
menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah
supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh
Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah
itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab
setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia
itu adalah orang-orang yang fasik.
[50]
Sesudah itu,
patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada
orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum
yang lebih pada daripada Allah.
[51]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu
sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada
setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman
rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu.
Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
[52]
Dalam pada itu,
engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera
berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata:
"Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta
pertolongan mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan
(kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya
(terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal
mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.
[53]
Dan (telatah kaum
munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata: "Adakah mereka
ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar
sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?" Telah
gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang yang rugi.
[54]
Wahai orang-orang
yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi
murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan
mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap
orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir,
mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak
takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia
Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha
Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
[55]
Sesungguhnya
Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang
mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk
menjunjung perintah Allah).
[56]
Dan sesiapa yang
menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya
(maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada
ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
[57]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu
sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab
sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan
bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
[58]
Dan apabila kamu
menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai
ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum
yang tidak berakal.
[59]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami
melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang
diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu,
dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik".
[60]
Katakanlah:
"Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di
sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh
Allah dan dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai
kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk
kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul".
[61]
Dan apabila mereka
(orang-orang Yahudi atau munafik itu) datang kepada kamu, mereka berkata:
"Kami telah beriman". Padahal sesungguhnya mereka itu masuk menemui
kamu dengan kekufurannya, dan sesungguhnya mereka keluar (dari sisi kamu)
dengan kekufurannya juga; dan (hendaklah mereka ingat), Allah lebih mengetahui
akan apa yang mereka sembunyikan.
[62]
Dan engkau lihat
kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan
serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah
lakukan.
[63]
Alangkah baiknya
kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka melarang mereka dari
mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram?
Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
[64]
Dan orang-orang
Yahudi itu berkata: "Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir)",
tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa
yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat
dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang
Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari
tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur;
dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga
hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah
memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi,
sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.
[65]
Dan sekiranya Ahli
Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka
kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam
Syurga-syurga yang penuh nikmat.
[66]
Dan kalau mereka
bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam)
Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka
(Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit)
dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan
kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.
[67]
Wahai Rasul Allah!
Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau
tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah
engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari
(kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada
kaum yang kafir.
[68]
Katakanlah:
"Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu ugama sehingga kamu
tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada
Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu
Al-Quran)" Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai
Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada
kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang
kafir itu.
[69]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan
orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah
(dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari
akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya
kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
[70]
Demi sesungguhnya!
Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan
kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang - seorang
Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu
mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang
sebahagian lagi.
[71]
Dan mereka juga
menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan
mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu
kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal
Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.
[72]
Demi sesungguhnya! Telah
kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni
Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil!
Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah
haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah
seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim".
[73]
Demi sesungguhnya
telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu
dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka
katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan
dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[74]
Oleh itu tidakkah
mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka
mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan
balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[75]
Tiadalah Al-Masih
Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya
beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka
berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami
jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang
menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan
(oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).
[76]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang
tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi
manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
[77]
Katakanlah: "Wahai
Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar,
dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini
dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat
(jauh) dari jalan yang betul"
[78]
Orang-orang kafir
Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil)
melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan
mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
[79]
Mereka sentiasa
tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan
ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang
mereka telah lakukan.
[80]
Engkau melihat
banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka.
Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka
(pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula
tetap kekal di dalam azab (neraka).
[81]
Sekirany mereka
beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya,
nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan
tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.
[82]
Demi sesungguhnya
engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya
kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang
musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali
kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata:
"Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu,
disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan
kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
[83]
Dan apabila mereka
mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau
melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui
(melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata:
"Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci
Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi
saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
[84]
"Dan tidak ada
sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang
sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya
Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang
soleh"
[85]
Lalu Allah
memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang
telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang
demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan (sebaliknya)
orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka
itulah ahli neraka.
[87]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah
dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang
telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang melampaui batas.
[88]
Dan makanlah dari
rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan
bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira
salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk
bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang
sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah
memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu
(biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau
memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda
yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah
denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah
sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
[90]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan
mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji)
dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
[91]
Sesungguhnya Syaitan
itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah
dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada
melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu
kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai
menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan
menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya
kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas
nyata.
[93]
Tidak ada dosa bagi
orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah
mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal
yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap
bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.
[94]
Wahai orang-orang
yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram)
dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan
(mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya
sesiapa yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat
orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka
baginya azab yang tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu
sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja,
maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang
buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di
antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan
dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu
memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang
diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari
perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi
(kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa,
lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.
[96]
Dihalalkan bagi kamu
binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi
kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam
pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama
kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu
akan dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan
Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan
ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan
binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian
itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di
langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui
akan tiap-tiap sesuatu.
[98]
Ketahuilah oleh
kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan
derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi
orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).
[99]
Tidak ada kewajipan
yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan
(perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu
lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
[100]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya
yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai
orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
[101]
Wahai orang-orang yang
beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika
diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya
mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu.
Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang
tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha
penyabar.
[102]
Sesungguhnya
perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh
suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab
pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).
[103]
Allah tidak
sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah dan
tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan
perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal
fikirannya
[104]
Dan apabila
dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan
oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka
menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami
mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek
mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?
[105]
Wahai orang-orang
yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang
oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu
apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah
dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu
semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu
telah lakukan.
[106]
Wahai orang-orang
yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia
mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di
antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan kamu, jika kamu
dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa maut.
Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan
mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan
nama Allah (dengan berkata: "Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah
kami untuk mendapat sesuatu harta benda, walaupun orang itu dari kaum kerabat,
dan kami tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi
(sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami
menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang
yang berdosa".
[107]
Kemudian jika
didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan dosa (kerana
berdusta atau mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi saksi itu), maka
hendaklah dua orang yang lain menggantikan tempat mereka dari waris-waris si
mati lebih dekat, yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang
sebenarnya), kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata):
"Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada
persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan kami tidak
melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah kami dengan itu
termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.
[108]
(Hukum-hukum dan
peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang lebih dekat untuk
mereka memberi keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau untuk
mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati)
sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu
bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan
(ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[109]
(Ingatlah) hari
(kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya:
"Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu,
ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?" Rasul-rasul itu menjawab:
"Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang
tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha
Mengetahui akan segala perkara yang ghaib"
[110]
(Ingatlah) ketika
Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan
kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau
dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan
sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan
hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika
engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau
tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah
ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan
(ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan
(ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika
engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat),
lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: "Bahawa ini hanyalah
sihir yang terang nyata"
[111]
Dan (ingatlah)
ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi
Isa): "Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab:
"Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang
Islam (yang menyerah diri kepada Allah)"
[112]
Dan (ingatlah)
ketika orang orang Hawariyyiin berkata: "Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah
kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari
langit?" Nabi Isa menjawab: "Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar
kamu orang-orang yang beriman".
[113]
Mereka berkata:
"Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat),
dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan
yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya
menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri"
[114]
Isa ibni Maryam (pun
berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah
kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi
kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang
kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan
kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau
jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".
[115]
Allah berfirman:
"Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu,
kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu),
maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah
Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk".
[116]
Dan (ingatlah)
ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata
kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? '
" Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak
bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada
mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa
yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu;
kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang
ghaib.
[117]
"Aku tidak
mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku
mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan
adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan
menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian
apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi
keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.
[118]
"Jika Engkau
menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya
mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya
Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
[119]
Allah berfirman:
"Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur
kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia.
Itulah kejayaan yang amat besar".
[120]
Allah jualah yang
menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua
yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.