At-Tuur
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Demi Gunung Tursina;
[2]
Dan demi Kitab yang
tertulis dengan rapi -
[3]
Pada lembaran
[4]
Dan demi "Al-Baitul
Makmur";
[5]
Dan demi bumbung
yang tinggi;
[6]
Dan demi laut yang
penuh tepu (dengan kepanasan); -
[7]
Sesungguhnya azab
Tuhanmu tetap berlaku; -
[8]
Tidak ada sesiapapun
yang dapat menolaknya; -
[9]
Pada hari langit
(dan segala isinya) bergegar dengan sekuat-kuatnya.
[10]
Dan gunung-ganang
bergerak dari tempatnya dengan cara yang luar biasa.
[11]
(Apabila berlaku
yang demikian), maka kecelakaan dan kebinasaanlah pada hari itu bagi
orang-orang yang mendustakan kebenaran;
[12]
Iaitu orang-orang yang
leka bermain-main dalam kesesatan.
[13]
Pada hari mereka
ditolak ke alam neraka Jahannam dengan penolakan yang sekasar-kasarnya,
[14]
(Dan dikatakan
kepada mereka): "Inilah api neraka yang dahulu kamu mendustakannya.
[15]
"Maka adakah
ini sihir juga (sebagaimana yang kamu katakan terhadap keterangan Rasul Kami
dahulu?), atau kamu tidak nampak (kenyataannya sebagaimana kamu tidak nampak di
dunia dahulu akan kebenaran Rasul Kami)?
[16]
"Rasalah
bakarannya; kemudian sama ada kamu bersabar (menderita azabnya) atau tidak
bersabar, sama sahaja (tidak ada faedahnya) kepada kamu, kerana kamu tidak
dibalas melainkan dengan apa yang kamu telah kerjakan".
[17]
Sesungguhnya
orang-orang yang bertaqwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat kesenangan
(yang tidak ada taranya).
[18]
Mereka bersenang
lenang dengan apa yang dikurniakan oleh Tuhan mereka, dan mereka dipelihara
Tuhan dari azab neraka.
[19]
(Dan dikatakan
kepada mereka): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat
serta baik kesudahannya, dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan".
[20]
Mereka duduk
berbaring di atas pelamin-pelamin yang berderet; dan Kami jadikan kawan teman
mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.
[21]
Dan orang-orang yang
beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami
hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga);
dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka;
tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.
[22]
Dan (penduduk Syurga
itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging
dari berbagai jenis yang mereka ingini.
[23]
Mereka di dalam
Syurga itu (kerana melahirkan kemesraan antara satu dengan yang lain):
berebut-rebut mengambil piala yang berisi arak yang tidak menyebabkan timbul
(dari peminumnya) perkara yang sia-sia dan tidak pula menyebabkan (peminumnya
menanggung) dosa.
[24]
Dan mereka dilayani
oleh anak-anak muda lelaki yang sentiasa beredar di sekitar mereka, (yang
cantik parasnya) seolah-olah anak-anak muda itu mutiara yang tersimpan dengan
sebaik-baiknya.
[25]
Dan (dengan berada
dalam nikmat itu) mereka berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya.
[26]
Mereka berkata:
"Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami -
selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah),
[27]
"Maka Allah
mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab
neraka.
[28]
"Sesungguhnya
kami dahulu tetap menyembahNya (dan memohon pertolonganNya). Kerana
sesungguhnya Dia lah sahaja yang sentiasa melimpahkan ihsanNya, lagi Yang Maha
Mengasihani".
[29]
Maka hendaklah
engkau (wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan ajaran-ajaran
Al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan janganlah dihiraukan golongan yang
ingkar), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu (yang dilimpahkanNya kepadamu itu)
bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.
[30]
(Mereka menuduh Nabi
Muhammad dengan yang bukan-bukan), bahkan mereka mengatakan: "(Muhammad)
itu seorang penyair yang kami tunggu-tunggu saat kebinasaannya".
[31]
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu tuduh itu), maka
sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang menunggu bersama-sama kamu (akan
apa yang dijanjikan oleh Allah Taala)".
[32]
Adakah mereka
disuruh oleh akal fikiran mereka melemparkan tuduhan-tuduhan yang sedemikian
itu, atau sememangnya mereka suatu kaum yang melampaui batas (dalam keingkaran
dan kedegilannya)?
[33]
(Bukan sahaja mereka
ingkar dan degil) bahkan mereka berkata: "Dia (Muhammad) telah mereka-reka
Al-Quran itu". (Tuduhan mereka yang demikian tidak berasas) bahkan mereka
sengaja tidak mahu beriman!
[34]
(Kalau tidak) maka
hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah)
seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.
[35]
(Mengapa mereka
tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya,
atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?
[36]
Adakah mereka yang
mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah
orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).
[37]
Adakah pada tangan
mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan
sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan
segala-galanya?
[38]
Adakah mereka
mempunyai tangga (untuk naik ke langit), yang dengannya mereka dapat mendengar
(apa yang diperintahkan dan ditetapkan oleh Allah? Jika ada) maka biarlah orang
mereka yang mendengar itu membawa sesuatu bukti yang menyatakan kebenarannya.
[39]
Adilkah (kamu
sediakan) bagi Allah - anak-anak perempuan (yang kamu benci), dan untuk kamu -
anak-anak lelaki (yang kamu sukai)?
[40]
Pernahkah engkau
(wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam
yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu
(sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?
[41]
Adakah pada sisi
mereka (Lauh Mahfuz yang mengandungi) perkara-perkara yang ghaib, lalu mereka
menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu)?
[42]
(Mereka tidak cukup
dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang buruk sahaja) bahkan mereka hendak
melakukan rancangan jahat (terhadapmu wahai Muhammad; tetapi mereka tidak akan
berjaya) kerana orang-orang yang kafir itulah yang akan ditimpa balasan
rancangan jahatnya.
[43]
(Apabila datangnya
balasan rancangan jahat itu maka) adakah bagi mereka Tuhan (yang dapat
menyelamatkan mereka) selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa yang mereka
sekutukan itu.
[44]
Dan kiranya mereka
melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa mereka), mereka akan
berkata: "(Itu adalah) awan yang bertompok - berlapis-lapis!"
[45]
(Kalau keingkaran
dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai
Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya
mereka akan binasa -
[46]
(Iaitu) hari segala
rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah
kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.
[47]
Sesungguhnya
orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang
tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
[48]
Dan (dengan yang
demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh
kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan
serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau
bangun.
[49]
Dan juga hendaklah
engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang
tenggelam (pada waktu subuh).