As-Saff
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]
Segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Wahai orang-orang yang
beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
[3]
Amat besar
kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak
melakukannya.
[4]
Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang
teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
[5]
Dan (ingatlah
peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku!
Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini
Pesuruh Allah kepada kamu?" Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran
yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat
hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada
kaum yang fasik - derhaka.
[6]
Dan (ingatlah juga
peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil,
sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab
yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira
dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama:
Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan
yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!"
[7]
Dan tidak ada yang
lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah,
sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi
hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
[8]
Mereka sentiasa
berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka,
sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak
suka (akan yang demikian).
[9]
Dia lah yang telah
mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama
yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas
segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
[10]
Wahai orang-orang
yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan
kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?
[11]
Iaitu, kamu beriman
kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama
Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik
bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[12]
(Dengan itu) Allah
akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat
tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar.
[13]
Dan ada lagi limpah
kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat
(masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada
orang-orang yang beriman.
[14]
Wahai orang-orang yang
beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana
(keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada
penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" Mereka menjawab:
"Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak
berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak
lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang
beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang
menang.