At-Tagaabun
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah; bagiNyalah
kuasa pemerintahan, dan bagiNyalah segala pujian; dan Ia
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[2]
Dia lah yang
mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu yang kafir dan ada
sebahagian dari kamu yang beriman; dan Allah Maha Melihat akan
segala yang kamu kerjakan (serta membalas masing-masing).
[3]
Ia menciptakan
langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan
berhikmat, dan Ia menentukan bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu;
dan kepadaNyalah tempat kembali.
[4]
Ia mengetahui segala yang ada di
langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang
kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung
di dalam dada;
[5]
Bukankah
telah sampai kepada kamu berita orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu mereka
merasai kesan yang buruk dari perbuatan kufur mereka; dan mereka (pada hari
akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[6]
(Balasan)
yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi Rasul-rasul
(yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas
nyata, maka mereka berkata:" Patutkah manusia (yang seperti kami - menjadi
Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami?" Lalu mereka kufur
ingkar serta berpaling (dari kebenaran); dan Allah pun menyatakan tidak
berhajatNya (kepada iman dan ketaatan mereka lalu membinasakan mereka); dan
Allah sememangnya Maha Kaya, lagi tetap Terpuji.
[7]
(Di antara
sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan
bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan
(sesudah mati). Katakanlah: "Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan,
kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
[8]
Oleh itu, berimanlah
kamu kepada Allah dan kepada rasulNya serta kepada penerangan cahaya Al-Quran -
yang Kami turunkan. Dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
[9]
(Ingatkanlah)
masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), -
itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang
beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan
dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah
kemenangan yang besar.
[10]
Dan
orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah
ahli neraka, kekalah mereka di dalamnya; dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali.
[11]
Tidak ada kesusahan (atau
bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa
yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya
(untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[12]
Dan taatlah kamu
kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan
taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang
buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan
(perintah-perintah) dengan jelas nyata.
[13]
Allah, tiada Tuhan
melainkan Dia; dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang
beriman wajib berserah diri.
[14]
Wahai orang-orang
yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan
anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta
berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak
marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[15]
Sesungguhnya
harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi
Allah jualah pahala yang besar.
[16]
Oleh itu bertaqwalah
kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan
pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan
belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya
daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang
berjaya.
[17]
Dan kalau kamu
memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya
Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa
kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang
berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang
bersalah supaya bertaubat).
[18]
Dia lah yang
mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dia lah jua) yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.