At-Tahriim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Wahai Nabi! Mengapa
engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau
hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu,
Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[2]
Sesungguhnya Allah
telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari
sumpah kamu (dengan membayar denda - kaffarah); dan Allah ialah Pelindung yang
mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
[3]
Dan
(ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah
seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu
menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah
menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya
itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya)
dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak
malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya
bertanya: "Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? " Nabi menjawab: "Aku diberitahu oleh Allah Yang
Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang
nyata dan yang tersembunyi) ".
[4]
Jika kamu berdua
bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya),
kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang
menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan
sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya)
kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta
orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan
malaikat-malaikat - juga menjadi penolongnya.
[5]
Boleh jadi, jika
Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan
baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, - yang menurut perintah,
yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang
berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara.
[6]
Wahai orang-orang
yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang
bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan
dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak
menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan
mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
[7]
Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam
neraka): "Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah
kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya
telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan
apa yang kamu telah kerjakan".
[8]
Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha",
mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan
memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada
hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman
bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di
hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka
berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita):
"Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami,
dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu".
[9]
Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik,
serta bertindak keras terhadap mereka. Dan
(sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk
tempat kembali.
[10]
Allah mengemukakan
satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang
kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman
dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut;
mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari
hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka
berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang
berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka
dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari
pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang
yang masuk (ke situ)".
[11]
Dan Allah
mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya)
kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak
terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah
rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan
perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang
zalim";
[12]
Dan juga (satu misal
perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan)
yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki;
tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan
Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan
(sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran
Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang
yang tetap taat.