Al-Fajr
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Demi waktu fajar;
[2]
Dan malam yang
sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);
[3]
Dan bilangan yang
genap serta yang ganjil;
[4]
Dan malam, apabila ia berlalu; -
[5]
Bukankah
yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang
berakal sempurna?
[6]
(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai
Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan
terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka)
[7]
Iaitu penduduk
"Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai
dengan penduduknya)
[8]
Yang
belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala
negeri (pada zamannya)?
[9]
Dan
(terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu
tempat tinggalnya)?
[10]
Dan
(terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh?
[11]
(Semuanya
itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing).
[12]
Lalu
mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.
[13]
Dengan yang demikian,
Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab;
[14]
Sesungguhnya Tuhanmu
tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)
[15]
(Dalam pada itu
manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka
kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan
hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus
bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah
memuliakan daku!"
[16]
Dan sebaliknya
apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan
rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan
katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
[17]
Jangan demikian,
(sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang
yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim,
(malah kamu menahan apa yang Ia berhak menerimanya);
[18]
Dan kamu tidak
menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin;
[19]
Dan kamu sentiasa
makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya),
[20]
Serta kamu pula
sayangkan harta secara tamak haloba!
[21]
Jangan sekali-kali
bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di
atasnya dan) diratakan serata-ratanya,
[22]
Dan (perintah)
Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan
perintah),
[23]
Serta diperlihatkan
neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan
ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi
kepadanya?
[24]
Ia akan berkata: "Alangkah
baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!"
[25]
Maka
pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang
ditimpakan oleh) Allah.
[26]
Dan
tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan
belengguNya.
[27]
(Setelah menerangkan
akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa
orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan
disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa
tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
[28]
"Kembalilah
kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang
diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
[29]
"Serta masuklah
engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
[30]
"Dan masuklah
ke dalam SyurgaKu! "