Az-Zalzalah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

[1]

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,

[2]

Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,

[3]

Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"

[4]

Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:

[5]

Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).

[6]

Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.

[7]

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

[8]

Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!