[37]
Mereka sentiasa
berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal
mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab
seksa yang tetap kekal.
[38]
Dan orang lelaki
yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan
mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang
mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[39]
Maka sesiapa yang
bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu
dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[40]
Tidakkah
engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai Rasul Allah!
Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera
menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan
mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman;
demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka
mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan
lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini
mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari
tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika disampaikan kepada
kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada
kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan sesiapa yang dikehendaki Allah
kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun
(yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang
yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia,
dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.