[17]
Maka bukanlah kamu
yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang
menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang
melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah
jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk
mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan)
daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[18]
Demikianlah
(caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah
sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.
[19]
Jika kamu (hai
orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar)
maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan
disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad,
s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali
(memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan
perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun,
sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya
Allah beserta orang-orang yang beriman.
[20]
Wahai orang-orang
yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling
daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).
[21]
Dan janganlah kamu
menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: "Kami
dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan
mematuhinya).
[22]
Sesungguhnya
sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah
orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan
akal fikirannya).
[23]
Dan kalaulah Allah mengetahui
ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan
mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga
(dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil
memalingkan diri.
[24]
Wahai orang-orang
yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia
menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan
ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara
seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu
akan dihimpunkan.
[25]
Dan jagalah diri
kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara
khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah
bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.