[112]
(Mereka itu ialah):
orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara
(untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang
menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga
batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang
beriman (yang bersifat demikian).
[113]
Tidaklah
dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi
orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata
bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
[114]
Dan bukanlah
istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang
dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya
musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.
[115]
Dan Allah tidak
sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Ia memberi hidayah
petunjuk kepada mereka, sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka
wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[116]
Sesungguhnya Allah
jualah yang menguasai segala alam langit dan bumi; Ia
menghidupkan dan mematikan; dan tidaklah ada bagi kamu selain dari Allah
sesiapa pun yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.
[117]
Sesungguhnya Allah
telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya
(berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati
segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah
menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani
terhadap mereka.