[182]
Tetapi sesiapa yang
mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa
(dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka
(waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka
tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[183]
Wahai orang-orang
yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[184]
(Puasa yang
diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu
yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka),
kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari
yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua
dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih
dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun
demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau
kamu mengetahui.
[185]
(Masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu
yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia
berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia
berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu
pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung
kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa
(sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
[186]
Dan apabila
hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka):
sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan
permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan
mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka
menjadi baik serta betul.