[18]
Sesiapa yang
menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia
apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami
sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam
keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
[19]
Dan sesiapa yang menghendaki
akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha
yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya,
diberi pahala akan amal usahanya.
[20]
Tiap-tiap golongan
dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka
dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu
tersekat (dari sesiapapun).
[21]
Lihatlah bagaimana
Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian
Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan
perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.
[22]
Janganlah engkau
adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau
akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.
[23]
Dan Tuhanmu telah
perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking
menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang
bersopan santun).
[24]
Dan hendaklah engkau
merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan
doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat
kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[25]
Tuhan kamu lebih
mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang
bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun
bagi orang-orang yang bertaubat.
[26]
Dan berikanlah
kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya
masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang
melampau.
[27]
Sesungguhnya
orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu
pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.