[75]
Dan sekiranya Kami
menaruh belas kasihan kepada mereka serta Kami hapuskan kesusahan yang menimpa
mereka, nescaya mereka akan tetap terus meraba-raba dalam kesesatan mereka yang
melampaui batas itu.
[76]
Dan sesungguhnya
Kami telah menimpakan mereka dengan azab (di dunia), maka mereka tidak juga
tunduk patuh kepada Tuhan mereka dan tidak pula berdoa kepadaNya dengan
merendah diri (serta insaf dan bertaubat);
[77]
Sehingga apabila
Kami bukakan kepada mereka sebuah pintu yang menyebabkan azab yang berat, maka
mereka serta-merta berputus asa dengan sebabnya - dari mendapat sebarang
kebaikan.
[78]
Dan Dia lah jua yang
mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu
bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.
[79]
Dan Dia lah yang
menciptakan serta mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan
dihimpunkan.
[80]
Dan Dia lah yang
menghidupkan dan mematikan; dan Dia lah yang menentukan pertukaran malam dan
siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?
[81]
(Mereka tidak juga mahu
berfikir) bahkan mereka berkata seperti yang dikatakan oleh orang-orang dahulu
(yang ingkar);
[82]
Mereka berkata:
"Adakah apabila kami telah mati dan kami menjadi tanah dan tulang, adakah
kami akan dibangkitkan (hidup semula)?
[83]
"Demi sesungguhnya,
kami telah dijanjikan perkara ini - kami dan datuk nenek kami - dari dahulu
lagi; perkara ini hanyalah cerita dongeng orang-orang dahulu-kala."
[84]
Tanyakanlah (wahai
Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau
kamu mengetahui?"
[85]
Mereka akan
menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak
mahu ingat (dan insaf)?"
[86]
Tanyakanlah lagi:
"Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan
Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?"
[87]
Mereka akan
menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa
kamu tidak mahu bertaqwa?"
[88]
Tanyakanlah lagi:
Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat
melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi
daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!"
[89]
Mereka akan
menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". Katakanlah: "Jika
demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?"