[4]
Dan jika mereka
mendustakanmu (wahai Muhammad), maka sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu
sebelummu telah juga didustakan (oleh kaumnya masing-masing). Dan (Ingatlah),
kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
[5]
Wahai umat manusia,
sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu
diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi
sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan
(kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).
[6]
Sesungguhnya Syaitan
adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu
dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari
penduduk neraka.
[7]
Orang-orang yang
kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang-orang yang beriman serta beramal
soleh, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.
[8]
Maka (fikirkanlah) adakah
orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia
memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang
menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya,
atau sebaliknya) ? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Ia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad)
kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.
[9]
Dan Allah jualah
yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami
halakan awan itu ke negeri yang mati (yang kering kontang); lalu Kami hidupkan
bumi sesudah matinya dengan (hujan dari awan) itu. Sedemikian itu pula
kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).
[10]
Sesiapa yang mahukan
kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah
Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya
segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan
ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik
(sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan
sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan),
adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau
berkesan) akan rosak binasa.
[11]
Dan Allah
menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Ia
menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung
seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya
melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui
Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan
seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi.
Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.