[45]
Dan kalaulah Allah
mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal
jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka
bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan
serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang
tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas
masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat
keadaan hamba-hambaNya.
Yaa Siin
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
[1]
Yaa, Siin.
[2]
Demi Al-Quran yang
mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,
[3]
Sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,
[4]
Yang
tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).
[5]
Al-Quran itu,
diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,
[6]
Supaya
engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama
tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.
[7]
Demi sesungguhnya,
telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu
beriman.
[8]
Sesungguhnya
Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran
sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka;
(lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah
mereka terdongak.
[9]
Dan
Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu
sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan
dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang
menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada
hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan
itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
[10]
Dan (dengan sebab
itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran
atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.
[11]
Sesungguhnya
peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang
engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia
tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh
itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala
yang mulia.
[12]
Sesungguhnya
Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka
telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka
tinggalkan.
Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu
dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.