[77]
Dan Kami jadikan
zuriat keturunannya sahaja orang-orang yang tinggal hidup (setelah Kami
binasakan kaumnya yang ingkar).
[78]
Dan Kami kekalkan baginya
(nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian:
[79]
"Salam
sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! "
[80]
Demikianlah
sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang
baik.
[81]
Sesungguhnya Nabi
Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
[82]
Kemudian Kami
tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).
[83]
Dan sesungguhnya di
antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah
Nabi Ibrahim.
[84]
Ketika ia mematuhi
perintah tuhannya dengan hati yang suci murni.
[85]
Ketika ia berkata
kepada bapanya dan kaumnya: " Apa yang kamu sembah?
[86]
"Patutkah kamu
menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan
kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)?
[87]
"Maka bagaimana
fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?"
[88]
Kemudian ia
memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di
langit),
[89]
Lalu berkata:
"Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)".
[90]
Setelah (mendengar
kata-katanya) itu, mereka berpaling meninggalkan dia.
[91]
Lalu ia pergi kepada
berhala-berhala mereka secara bersembunyi, serta ia bertanya (kepada
berhala-berhala itu, secara mengejek-ejek): "Mengapa kamu tidak makan?
[92]
"Mengapa kamu
tidak menjawab?"
[93]
Lalu ia memukul
berhala-berhala itu dengan tangan kanannya (sehingga pecah berketul-ketul).
[94]
(Setelah kaumnya
mengetahui hal itu) maka datanglah mereka beramai-ramai kepadanya.
[95]
(Bagi menjawab
bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang
kamu pahat?
[96]
"Padahal Allah
yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!"
[97]
(Setelah tak dapat
berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah
tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang
menjulang-julang itu".
[98]
Maka mereka (dengan
perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang
menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak
berjaya maksudnya).
[99]
Dan Nabi Ibrahim
pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia
akan memimpinku (ke jalan yang benar).
[100]
" Wahai
Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang
soleh!"
[101]
Lalu Kami berikan
kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang
penyabar.
[102]
Maka ketika anaknya
itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama
dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya
aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa
pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang
diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang
yang sabar".